Home » » Pelaburan emas kaedah syarak

Pelaburan emas kaedah syarak

Pelaburan emas ikut syarak

Mutakhir ini terdapat pelbagai bentuk pelaburan. Ia tidak terhad pada wang tunai, malah membabitkan pelbagai instrumen lain. Ini termasuklah pelaburan emas yang didakwa oleh banyak pihak mampu menjana keuntungan kepada pelabur terbabit.

Berhubung pelaburan emas, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-96 yang bersidang pada Oktober 2011 membincangkan mengenai parameternya.

Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan parameter pelaburan emas dengan syarat seperti berikut:

* Syarat umum jual beli - Mestilah memenuhi semua rukun jual beli digariskan syarak, iaitu pihak yang berakad, item (barang) pertukaran dan sighah menurut uruf diamalkan. Jika suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, ia dikira tidak sah.

* Pihak yang berakad - Mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (ahliyyah al-Ta'aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria seperti baligh, berakal dan rasyid.

Jika pihak berakad seorang gila atau kanak-kanak sama ada mumayiz atau tidak, jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak mumayiz adalah tidak sah kerana jual beli ini membabitkan barang yang tinggi nilainya.

Akad jual beli juga mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.

* Harga belian (al-thaman) - Hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

* Barang belian (al-muthman) - Hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan suatu tidak dimiliki adalah tidak sah.

Barang belian juga hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika ia tidak dapat diserahkan kepada pembeli ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad itu tidak sah.

Malah, barang belian hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah seperti:

i-Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli atau sebelum akad dalam tempoh tidak menjejaskan sifatnya.

ii-Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku ketika proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii-Menentukan sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya (kebiasaannya) tidak menimbulkan pertikaian.

Dalam konteks emas, penentuannya dengan mengenal pasti tahap ketulenan emas sama ada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat) atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999).

Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, sama ada dalam bentuk syiling, wafer dan jongkong. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifatnya.

* Sighah - Dalam jual beli ia adalah suatu yang menunjukkan kepada keredaan kedua-dua pihak untuk memeterai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku sama ada melalui pertuturan atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya.

Manakala jual beli secara mu'ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha.

Dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan: "Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun."

Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri dan kadarnya.

Sementara itu, bagi jual beli emas bercirikan item ribawi seperti emas jongkong dan syiling emas (tidak termasuk perhiasan emas), terdapat syarat tambahan yang perlu dipenuhi iaitu:

i-Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terbabit dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak melakukan transaksi itu berpisah daripada majlis akad.

ii-Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan - Sumber Portal JAKIM



 
Chatroom