Home » » Keracunan makanan - penyebab, tanda dan cara elak

Keracunan makanan - penyebab, tanda dan cara elak

Keracunan makanan

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) tahu ramai di antara kita yang gemar membawa keluarga makan di luar terutamanya ke tempat-tempat tumpuan ramai. Pun begitu, walaupun baik makan diluar ada risikonya tersendiri. Anda dan keluarga terdedah kepada keracunan makanan yang berpunca daripada organisma, racun atau toksin dan bahan-bahan kimia.

Keracunan organisma berlaku akibat keadaan persekitaran yang ada menggalakkan organisma mikro tersebut hidup dengan meluas. Misalnya, dalam cuaca panas, lembap dan kotor. Organisma mikro ini juga boleh menghasilkan racun dan bahan-bahan kimianya sendiri.

Bakteria boleh muncul dalam makanan melalui tiga cara:

- penyediaan makanan yang kotor dan tidak teliti

- makanan yang tidak dihadam dengan sempurna; dan

- makanan yang terdedah pada suhu persekitaran (30 darjah celcius).

Antara lain, susu atau makanan yang bersusu seperti keju dan krim; masakan berlemak; roti dan kuih-muih; makanan laut seperti kerang; daging - lembu, ayam dan ikan; makanan dalam tin yang telah kemik atau yang kembung pada bahagian atasnya ataupun telah berkarat merupakan jenis-jenis makanan yang paling mudah dicemari bakteria.

Keadaan yang menggalakkan bakteria mencemari dan menyebabkan berlakunya pencemaran bakteria dalam makanan boleh berlaku pada makanan mentah yang tidak disimpan di tempat dingin.

Pencemaran juga boleh berlaku pada makanan dalam tin terdedah kepada hawa yang tinggi selepas dibuka atau makanan yang basah dan berair yang ditinggalkan di tempat yang panas dan juga pada makanan seperti buahbuahan dan sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan baik.

Jika anda terambil makanan-makanan yang dicemari ini, dan mengalami tanda-tanda rasa mual, muntah-muntah, cirit-birit (diarea), peningpening serta gangguan perut ini bermakna anda mungkin mengalami keracunan makanan.

Ada juga yang lebih serius yang mana ia melibatkan keracunan sistem saraf. Keadaan ini lebih berbahaya bagi kanak-kanak.

Tanda-tanda penyakit tertentu akibat keracunan

- Shigeliosis atau Disenteri: Tanda-tanda mula dalam masa 1-7 jam selepas makan. Selain daripada tanda-tanda umum berlaku juga darah, nanah atau lender dalam najis.

- Keracunan akibat kuman staphylococcus: Ini keadaan yang agak sering berlaku. Tandanya dirasai dalam jangka masa 1 hingga 8 jam selepas makan, serta berlarutan antara 24 hingga 48 jam. Tandatandanya agak umum.

- Penyakit gastrousus: Mengalami tanda-tanda mulai 24 jam dengan mengalami diarea, mual, muntah-muntah dan ini boleh berlarutan hingga beberapa hari.

- Salmonelosis: Tanda-tanda umum dirasakan selepas 24 hingga 48 jam.

- Gastroenteritis: Mengalami tanda-tanda bermula 2 hingga 5 hari selepas makan. Selain daripada tanda-tanda umumnya, demam dan kelesuan mungkin berlaku seolah-olah penyakit selesema. Jika tidak dirawat boleh mengakibatkan penyakit yang lebih teruk lagi seperti limfadenitis dan artritis.

CARA MENGELAKKAN KERACUNAN MAKANAN

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan:

- Membasuh tangan dengan teliti sebelum menyediakan makanan atau semasa terhenti selepas gangguan.

- Mengasingkan makanan yang telah dimasak dengan makanan yang belum dimasak atau yang masih mentah. Ini kerana makanan yang telah dimasak lebih mudah tercemar berbanding dengan makanan yang belum dimasak.

- Pilih makanan yang telah diproses (atau dimasak) untuk menjaga keselamatan.

- Banyak makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran agak selamat dalam keadaan semulajadinya. Yang selainnya mungkin tidak begitu selamat jika tidak diproses.

- Masak makanan dengan teliti kerana banyak makanan mentah tercemar dengan "kuman" membawa penyakit. Contohnya daging dan susu.

- Makan makanan yang telah dimasak serta-merta. Apabila makanan telah menjadi sejuk, "kuman" lebih mudah mencemarinya. Lebih lama dibiarkan, lebih tinggi risikonya.

- Simpan makanan yang telah dimasak dengan cermat dalam keadaan yang sesuai - panas atau dingin.

- Panaskan semula makanan dengan teliti. Ini adalah cara yang paling baik untuk menjauhi daripada "kuman" yang mungkin muncul semasa dalam simpanan.

- Jaga kebersihan dapur serta permukaan tempat memasak.

- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com



 
Chatroom