Home » » Selamat tinggal pinggang ramping

Selamat tinggal pinggang ramping

Wanita dengan bentuk badan berisi, gempal atau gemuk, mungkin disifatkan oleh doktor perubatan mahupun terapi kecantikan sebagai bentuk badan yang tidak sempurna.

Bagaimanapun, berbeza bagi ahli antropologi yang berpandangan ia sebenarnya sebagai kunci kejayaan dari segi ekonomi kepada golongan ini.

Persoalannya sekarang, apakah bentuk badan berisi gempal dan comel ini akan menjadi trend sepanjang tahun 2009?

Budaya mengagungkan bentuk badan seperti jam pasir (hour-glass) dengan pinggang yang kecil, pinggul seksi dan paha langsing ala Marilyn Monroe, mungkin tidak perlu dipertahankan lagi.

Ini kerana menurut Elizabeth Cashdan dari University of Utah, Amerika Syarikat, hormon yang menjadikan wanita secara fizikalnya lebih kuat, kompetatif dan lebih berkemampuan menangani tekanan, juga cenderung untuk mengagihkan semula lemak dari pinggul ke pinggang.

Oleh itu, mengikut ramalan Cashdan dalam jurnal Current Anthriopology keluaran Disember 2008, dalam situasi di mana wanita sentiasa berdepan dengan tekanan untuk menambah pendapatan keluarga, mereka mungkin terpaksa melupakan keinginan mendapatkan bentuk tubuh sempurna.

Sehingga hari ini, ahli sains (dan masyarakat Barat) beranggapan bentuk tubuh seperti jam pasir yang meliuk-lentuk lebih unggul berbanding bentuk badan lain seperti pear atau silinder.

Ini berasaskan hasil kajian perubatan yang menunjukkan nisbah ukuran pinggang-ke-pinggul sebanyak 0.7 centimeter (cm) atau kurang (bermakna pinggang lebih kecil berbanding pinggul atau bentuk seperti jam pasir), ia turut dikaitkan dengan kesuburan tinggi dan kadar penyakit kronik yang lebih rendah.

Selain itu, penyelidikan lepas juga mendedahkan bahawa lelaki lebih menyukai isteri atau teman wanita yang mempunyai nisbah 0.7 cm atau kurang.

Kecenderungan itu memang masuk akal kerana mengikut ahli psikologi, nisbah yang rendah itu adalah isyarat yang berguna untuk menunjukkan wanita tersebut sihat dan subur.

Bagaimanapun hakikatnya, wanita di seluruh dunia lebih ramai memiliki nisbah pinggang-ke-pinggul yang lebih besar (lebih kepada bentuk silinder berbanding jam pasir).

Untuk melihat secara lebih spesifik, Cashdan mengumpulkan data dari 33 negara bukan penduduk Barat dan empat negara Eropah. Penemuan mendapati purata nisbah ukuran pinggang-ke-pinggul wanita di sana adalah di atas 0.8 cm.

Jadi, jika 0.7 cm adalah nombor 'ajaib' bagi faktor kesihatan dan pilihan lelaki, mengapa pula kebanyakan wanita mempunyai nisbah yang lebih tinggi.

Dalam hal ini, ia dikaitkan dengan hormon. Androgen, sekumpulan hormon yang turut mengandungi testosterone, telah meningkatkan nisbah pinggang-ke-pinggul wanita dengan cara meningkat visera lemak pada keliling pinggang.

Bagaimanapun, pada masa sama, peningkatan paras androgen dikaitkan juga dengan peningkatan tenaga, stamina dan tahap kompetatif seseorang.

Cortisol, sejenis hormon yang membantu tubuh menangani tekanan, juga meningkatkan lemak di keliling pinggang.

Cashdan berkata, paras hormon dikaitkan dengan nisbah pinggang-ke-pinggul yang lebih tinggi boleh membawa faedah dari segi kesihatan, terutama ketika dalam tekanan.

"Kelebihan ini mungkin lebih penting daripada keinginan untuk mendapat pinggang yang ramping dan bentuk badan seperti jam pasir," katanya.

Di Jepun, Greece dan Portugal, di mana wanitanya kurang berdikari dari segi ekonomi, golongan lelakinya lebih memandang kepada wanita yang mempunyai pinggang ramping, berbanding lelaki di United Kingdom atau Denmark, di mana masyarakatnya lebih memandang kepada kesaksamaan gender.

Dan di sesetengah masyarakat bukan Barat yang menghadapi kesukaran untuk mendapat makanan dan wanitanya memikul tanggungjawab untuk menyara keluarga, golongan lelakinya lebih menyukai wanita yang nisbah pinggang-ke-pinggul lebih tinggi.

"Lelaki mungkin lebih menyukai wanita berpinggang ramping, tetapi mereka juga mahukan isteri atau teman wanitanya yang teguh, kuat, berjaya dari segi ekonomi dan kompetatif.

"Dan bagi wanita, minat lelaki bukanlah segala-galanya. Tepuk dada tanya selera," kata Cashdan.

Oleh Siti Zaleha Jorimai



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom