Home » » Etnik: Orang Tatau Sarawak

Etnik: Orang Tatau Sarawak

Walau bukan berkaitan jasa atau pengorbanan dilakukan demi kepentingan bangsa dan negara, peribahasa ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ tetap sinonim dengan senario semasa kehidupan satu daripada 42 etnik terkini di Sarawak, iaitu Orang Tatau.


Ini kerana suku kaum tergolong dalam etnik utama Orang Hulu di daerah Tatau di bahagian tengah Bumi Kenyalang itu kini di ambang kepupusan, hanya tinggal lapan orang yang dikatakan benar-benar berdarah minoriti berkenaan, itupun masing-masing sudah memasuki era warga emas. Sungguhpun demikian, nama Tatau tercatat dalam peta Sarawak sebagai sebuah daerah yang kini pesat membangun dengan menjadikan pekan yang juga dikenali dengan nama Tatau - pusat pentadbiran, ekonomi, sosial dan pendidikan kawasan yang berhampiran Bintulu itu.

Selain etnik Tatau, daerah dengan keluasan 4,945.8 kilometer persegi itu, kini didiami sekitar 30,000 penduduk pelbagai kaum, antaranya Iban, Melanau, Cina, Punan, Beketan, Kayan dan Kenyah.

Daerah berkenaan dinamakan sedemikian sempena nama etnik Tatau yang diriwayatkan sebagai imigran pertama meneroka penempatan bermula di hulu sungai, kemudian berpindah randah ke hilir hingga ke kawasan Pekan Tatau kini.

Kewujudan suku kaum dipercayai berasal dari Kalimantan, Indonesia dengan golongan tuanya masih mengamalkan kepercayaan animisme itu kini tidak lagi diketahui ramai melainkan golongan tua termasuk etnik lain di daerah berkenaan.
Malah penulis yang cuba mendapatkan taburan dan kawasan penempatan terkini suku kaum itu daripada sumber Muzium Sarawak sebelum menerjah ke Pekan Tatau dan pedalamannya, juga gagal kerana kekurangan maklumat mutakhir mengenainya.

Penulis yakin suku kaum itu wujud di daerah Tatau kerana pernah mendengar kehidupan mereka yang lazimnya dipanggil Orang Tatau oleh masyarakat tempatan ketika berkhidmat sebagai guru di pedalaman daerah berkenaan kira-kira 28 tahun lalu.

Berbekalkan keyakinan itu, Rumah Jalong yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menaiki bot dari Pekan Tatau diterjah setelah dikhabarkan ia satu-satunya rumah panjang di daerah berkenaan didiami orang Tatau yang masih ada.

Memang benar keturunan asal suku kaum itu di ambang kepupusan, fikir penulis kerana daripada sejumlah 190 rumah panjang di daerah berkenaan, cuma sebuah didiami etnik Tatau dengan penghuninya seramai 108 orang.

Ketua Kampung atau Tuai Rumah Panjang Jalong, Jalong Ak Anyik, 62, yang akur dengan hakikat itu mengesahkan cuma tinggal lapan orang berketurunan asal orang Tatau, manakala yang lain berdarah campuran berikutan perkahwinan dengan kaum lain.

Beliau salah seorang daripada etnik Tatau asal bagaimanapun, berkata semua penghuni Rumah Jalong dikategorikan Orang Tatau walaupun asalnya suku kaum lain. Jika ada pemuda atau gadis kaum lain berkahwin dengan suku kaum itu dan tinggal di Rumah Panjang Jalong serta mengamalkan cara hidup etnik berkenaan, mereka juga dikira Orang Tatau.

“Berdasarkan cerita lisan orang tua, datuk nenek kami berasal dari Kalimantan, Indonesia dan meneroka kawasan ini sebagai penempatan baru sejak beratus tahun lalu. Pada awalnya keturunan kami sangat ramai, bagaimanapun kini tinggal beberapa kerat saja," katanya ketika ditemui di Rumah Jalong, Tatau yang dinamakan sempena namanya sebagai ketua rumah panjang itu, baru-baru ini.

Sungguhpun cuma sebuah rumah panjang etnik Tatau yang masih tinggal, darah keturunan suku kaum itu dikatakan ‘mengalir’ di mana-mana rumah panjang etnik lain di daerah berkenaan berikutan perkahwinan campur.

Jalong yang juga berkahwin campur dengan perempuan Iban menjelaskan, peristiwa suku kaum itu diserang sejenis penyakit ganjil pada peringkat awal penempatan antara faktor utama keturunannya berkurangan.

Begitupun, populasi etnik Tatau semakin hilang, melainkan namanya terus menjadi sebutan, Jalong yang berpegang kepercayaan pagan berusaha sedaya mampu mengekal cara dan adat resam kehidupan suku kaumnya supaya terus kekal.

Sekalipun dilanda arus pembangunan dan permodenan, katanya, sebagai ketua beliau bertanggungjawab mengekalkan warisan suku kaum sejak berzaman itu, contohnya dari segi cara hidup dan penggunaan bahasa Tatau di kalangan penghuni Rumah Jalong.

Oleh itu, tidak hairanlah jika semua orang rumah panjang itu berusaha menggunakan bahasa Tatau ketika berkomunikasi antara satu sama lain, termasuk di kalangan kaum lain yang menjadi keluarga baru minoriti itu.

“Di kalangan kami terutama dalam perbualan harian, seboleh-bolehnya bahasa Tatau digunakan untuk berhubung, termasuk oleh kaum lain yang berkahwin dengan anak buah saya dan tinggal di rumah panjang ini.

“Mereka mesti cakap bahasa kami. Pada awalnya mereka tidak tahu dan faham tetapi setelah sebulan dua bersama, mereka tahu, faham dan dapat menguasainya dengan baik.

“Bagi orang luar yang datang ke rumah kami atau ketika berinteraksi di tempat lain, lazimnya kami gunakan bahasa yang boleh mereka fahami. Contohnya, jika dengan orang Melayu, bahasa Melayu digunakan, dengan orang Iban, bahasa Iban pula kami gunakan. Begitu juga dengan kaum lain,” katanya.

Jalong berkata bahasa Tatau tidak sukar kerana sebahagian kosa katanya, terutama dari segi bunyi mudah diingat, selain mempunyai persamaan sebutan dengan bahasa suku kaum lain.

Sebagai contoh, katanya, bagi perkataan 'makan' atau 'minum' sesuatu, dalam bahasa Tatau disebut 'kuman asik' untuk makan nasi, 'kuman mi' untuk makan mi, dan 'kuman milo' bagi minum milo.

Ikatan persaudaraan kukuh di rumah panjang

MENCANTUMKAN cerita asal usul penempatan tiga suku kaum tergolong dalam etnik utama Orang Ulu di daerah Tatau, Sarawak, iaitu Tatau, Punan Kakus dan Beketan, terbukti mereka mempunyai hubungan serumpun sejak awal, terutama dari segi keturunan.

Ini kerana sejak peringkat awal penempatan mereka di daerah berkenaan dianggarkan 300 tahun lalu, malah hingga kini pun, masih berlaku perkahwinan campur antara pemuda dan gadis tiga suku kaum itu.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika ada Orang Tatau yang menyatakan saudara mereka tinggal di rumah panjang suku kaum Punan Kakus atau Beketan yang juga mendiami kawasan tepi Sungai Tatau serta dua lagi sungai di hulu daerah berkenaan, iaitu Sungai Kakus dan Sungai Anap.

Seperti Orang Tatau, seseorang dari suku kaum lain juga dianggap etnik Punan Kakus jika tinggal di rumah panjang sama dan mengamalkan cara hidup minoriti itu, begitu juga dengan suku kaum Beketan.

Tuai Rumah Panjang Ado yang mengetuai etnik Punan Kakus, Ado anak Bilung, 53, berkata sejak awal penempatan minoriti berasal dari Belaga di daerah Tatau juga membabitkan perkahwinan ketua kaumnya dengan anak perempuan orang kenamaan suku kaum Tatau.

“Sewaktu nenek moyang kami berhijrah ke sini (daerah Tatau), Orang Tatau sudah ada... lalu raja kami berkahwin dengan puteri orang besar kaum Tatau. Sebab itulah dari segi keturunan sekarang, walaupun berlainan etnik, ada yang bersaudara.

“Keadaan ini berterusan, perkahwinan bukan saja membabitkan Orang Tatau atau Beketan, malah kaum lain juga ada yang berkahwin dengan suku kaum Punan Kakus,” katanya.

Kebanyakan perkara khususnya membabitkan adat, kebudayaan dan kepercayaan ketiga-tiga suku kaum itu juga tidak jauh berbeza dan mereka juga saling memahami terutama dari segi adat resam dan cara hidup.

Bagi menjaga kebajikan serta menjalankan pelbagai urusan berkaitan Orang Ulu di daerah Tatau yang juga merangkumi suku kaum Kayan dan Kenyah, seorang daripada etnik terbabit dilantik kerajaan sebagai ketua, kini Penghulu Sanok.

Bekas guru besar beberapa sekolah rendah yang juga penduduk tempatan, Salamun Ibrahim, mengesahkan perkara itu berlaku kerana beliau sendiri yang berketurunan Melanau Muslim mempunyai saudara mara dekat di kalangan etnik Tatau.

Oleh Mohamad Muda



Affiliates

 
Chatroom