Home » » Hubungan Minda Dengan Piano

Hubungan Minda Dengan Piano

Oleh ABD. HALIM HADI

KEUPAYAAN muzik menyentuh hati, membakar semangat dan mengubat kedukaan membuktikan impaknya yang besar terhadap perasaan dan pemikiran manusia.

Sejak berkurun lamanya, kesan bunyi daripada gubahan irama meninggalkan impak dalam kehidupan manusia, malah sifat dominasinya banyak mempengaruhi dan mengembangkan sesebuah kebudayaan.

Sejarah tidak dapat membuktikan tarikh sebenar ia mula memainkan peranan, tapi antara penggunaan paling awal muzik oleh manusia yang dikesan adalah sebagai pembakar semangat ketika peperangan.

Kekuatannya tidak lagi dipertikaikan malah telah lama diperakui. Manuskrip sastera Islam kuno, Hikayat Seribu Satu Malam juga pernah menggambarkan muzik sebagai makanan, ubat dan kipas kepada sesetengah kelompok manusia.

Secara sains, muzik terhasil daripada getaran yang dilakukan secara berulang-ulang pada kadar yang berbeza-beza dengan menggunakan objek tertentu lantas menghasilkan irama yang bersimfoni.

Bermula dengan ketukan objek-objek keras oleh manusia pra sejarah, kemajuan dalam penghasilan muzik berubah kepada kaedah yang lebih pelbagai seperti tiupan dan petikan alat bertali.

Di antara alat muzik yang dimainkan di dunia sejak dulu hingga sekarang, piano muncul sebagai alat muzik yang paling mempersona, versatil, lengkap dan paling meluas digunakan.

Sebahagian menganggapnya sebagai raja segala peralatan muzik kerana mempunyai susunan oktaf yang paling banyak (satu oktaf bersamaan lapan not bunyi). Jika gitar elektrik memilik dua oktaf, piano memiliki tujuh set oktaf.

Daripada nada paling rendah (basson) hinggalah yang paling tinggi (piccolo), not-not yang kompleks pada piano meliputi kesemua alat-alat muzik lain.

Kebolehannya beriringan dengan hampir kesemua alat muzik lain juga menjadikannya antara instrumen terpenting dalam penghasilan sesebuah melodi.

Di Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah, pembelajarannya telah lama dijadikan subjek persekolahan, manakala di sekolah muzik, kelas piano diwajibkan sekurang-kurangnya selama satu semester.

Piano dan Minda

Apakah keistimewaan yang menjadikan alat itu begitu popular? Kajian membuktikan pembelajaran piano pada usia kanak-kanak mampu menggalakkan perkembangan otak dan membantu minda berkembang dengan lebih cepat.

Teori itu diperkukuhkan dengan penemuan menakjubkan oleh dua pakar psikologi, Dr. Frances Ruascher dan Dr. Gordon Shawl sekitar akhir tahun 90-an, melalui eksperimen mereka yang mengaitkan muzik dengan kebolehan menggunakan akal fikiran terhadap sekumpulan pelajar.

Hasil kajian selama dua tahun itu mendapati kanak-kanak yang diajar bermain piano dan keyboard mempunyai kebolehan berfikir 34 peratus lebih baik daripada yang menerima latihan menyanyi, komputer atau tidak menerima apa-apa latihan.

Secara keseluruhan pula, kajian juga menyatakan muzik berupaya meningkatkan fungsi otak yang diperlukan dalam bidang matematik, sains, kejuruteraan dan permainan catur.

Persoalannya, bagaimana dengan hanya bermain piano fungsi otak dan kognitif manusia boleh berkembang dengan baik?

Mega baru-baru ini berkunjung ke Pameran Muzik Yamaha di Mid Valley dan menemui dua ‘genius piano’.

Pemain piano gred 8, Wan Malini Wan Shamsir, 16, membuka tirai persembahan dengan lagu Traumerei dan Mr. Bean Theme Song yang memukau perhatian pengunjung di pusat membeli-belah itu.

Mula bermain piano sejak berusia enam tahun, Wan Malini kini berada pada peringkat paling akhir dalam Assosiate Board Royal School of Music sebelum melangkah pembelajaran piano ke peringkat diploma.

Malini berkata, minat kepada alat muzik itu timbul selepas dia berkunjung ke rumah jirannya yang memiliki sebuah keyboard.

‘‘Ketika itu saya berada di Jepun kerana mengikut keluarga yang bekerja di sana. Saya terima banyak pendedahan kerana kebanyakan rumah dan sekolah di sana mempunyai piano atau keyboard.

‘‘Selepas pulang ke tanah air, ibu dan bapa membelikan saya sebuah keyboard dan menghantar saya ke kelas piano pada setiap minggu,” kata pelajar Pusat Muzik Maestro, di Subang Jaya, Selangor, itu.

Katanya, pembelajaran piano walaupun hanya selama 30 minit sehari sangat menyeronokkan serta membantu membentuk disiplin dan meningkatkan kemampuan untuk fokus sepanjang pembelajaran di sekolah.

‘‘Selain mudah menguasai subjek matematik, saya juga memiliki koordinasi yang kuat di antara mata dan tangan.

‘‘Saya juga mudah bergaul dengan orang ramai dan belajar banyak perkataan bahasa Inggeris setiap kali kelas,” kata pelajar Sekolah Menengah Sri Kuala Lumpur itu.

Ditanya kaitan alat muzik itu dengan penguasaan subjek matematik, dia berpendapat, keupayaan membaca nota-nota muzik secara spontan banyak membantunya menyelesaikan permasalahan ilmu hisab dengan lebih pantas.

‘‘Belajar piano membolehkan saya menumpukan perhatian dengan lebih baik untuk melakukan congak,’’ ujarnya.

Katanya, pembelajaran dalam kelas yang menitikberatkan perancangan rapi (dalam sususan not) membantu saya melakukan sesuatu tanpa banyak kesilapan.

Bagaimanapun, bakat Malini bukan hanya pada piano, sebaliknya gadis yang bercita-cita menjadi pereka animasi itu juga berkebolehan melukis kartun dan memainkan beberapa lagi alat muzik seperti gitar, bass, trombon dan saksofon.

Ibunya, Roslina Suchanya pula berpendapat, minat Malini yang mendalam pada muzik berupaya mengalihkan perhatian anak sulungnya itu daripada anasir-anasir sosial yang tidak sihat.

‘‘Bagi saya ini adalah cara yang sihat untuk memenuhkan masa lapang mereka daripada terjebak dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral,” jelasnya.

Katanya, kebolehan Malini memainkan lagu-lagu berirama klasikal dan 21 Century itu juga membuahkan hasil melalui bayaran persembahan pada majlis keraian di rumah-rumah orang kenamaan.

Sementara itu, kesan positif piano kepada perkembangan minda kanak-kanak turut dikongsi oleh Nurul Huda Abdul Rahman, yang mula menghantar anaknya ke kelas piano sejak berusia empat tahun.

Anaknya, Aleesya Nadine Mohd. Alimin, 7, yang berada di gred sembilan Yamaha Junior Extension Course, pada pameran itu menerima tepukan gemuruh selepas memainkan lagu Winter Sonata menggunakan Electone ELB 01.

Menurut Nurul Huda, kelas piano yang diberikan kepada anaknya itu bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penting dalam kehidupan seperti disiplin, berkeyakinan diri, selesa bergaul dan mempunyai daya kreativiti,” ujarnya.

Dia yang boleh bermain alat muzik yang sama berkata, faedah daripada pembelajaran muzik bukan hanya menjadikan kanak-kanak lebih pintar malah ia turut mempengaruhi personaliti.

‘‘Anak saya seorang yang periang kerana di rumah dia diajar memainkan lagu kanak-kanak dan lagu yang berentak rancak.

‘‘Muzik seperti itu dapat menjauhkan dirinya daripada perasaan sedih dan tertekan,” tambahnya.

Tahun demi tahun, sains terus mencari kesan dan pengaruh muzik terhadap minda. Menakjubkan mereka menemui pelbagai bukti yang menyokong teori mereka.

Selain mempengaruhi perkembangan otak, muzik juga dipercayai dapat memberi kesan positif kepada wanita hamil dan bayi yang dikandung.

Kemerduan alat muzik khususnya yang berirama klasikal dikatakan menghasilkan gelombang alpha yang memberi ketenangan dan perasaan santai kepada ibu dan bayi di dalam kandungan.

Berdasarkan penyelidikan di Jepun, dianggarkan lebih daripada 60 peratus wanita di negara itu mendengar muzik berentak perlahan sepanjang tempoh kehamilan.



1 Komen:

Unknown berkata...

btul 2...seronoknya klau dpt blja main piano..=)

Catat Ulasan

 
Chatroom