Home » » » Fara Fauzana mahu lebih langsing

Fara Fauzana mahu lebih langsing

Oleh: BINTU RASYADA A. RAHMAN

PENYAMPAI radio Hot FM, Fara Fauzana sering diejek ‘drumstick’ oleh rakan setugas, Faizal Ismail dek kerana saiz pahanya yang agak berisi. Mengakui dia sendiri kurang selesa dengan bentuk tubuhnya terutama di bahagian kaki, Fara berusaha untuk mendapatkan potongan yang diidamkan. Berbanding penampilan awalnya dalam industri seni, dia kini jauh lebih berbeza. Kalau dulu badannya agak berisi dan kurang bergaya, namun kini kelihatan lebih menawan serta lebih langsing setiap kali muncul di kaca televisyen.

Tentu peminat Fara ingin tahu juga apa rahsia penyampai kesayangan mereka ini yang khabarnya berjaya menurunkan berat badan lebih 10 kilogram.

Menurutnya yang bakal mengacara Anugerah Juara Lagu ke-22 bersama Ally Iskandar, Faizal dan juga Cheryl Samad malam ini, tiada tip khusus yang diamalkan sebaliknya kesibukan kerja yang banyak membantu ‘membuang lebihan lemak-lemak di badan.’

Apa pun katanya, dia sangat bahagia dengan kehidupannya kini dan tidak kisah dengan usikan rakan-rakan sekerja kerana itu cara mereka bergurau senda serta dalam masa yang sama menghiburkan pendengar-pendengar setia saluran radio mereka.

Makna kesihatan bagi Fara Fauzana?
Mendapat tidur yang cukup, melakukan senaman dengan teratur dan perlu mengeluarkan peluh. Tapi tak semestinya dengan cara bersenam saja, boleh juga dengan mengunjungi spa dan bersauna.

Cara Fara menjaga kesihatan?
Saya memang bangun awal setiap hari. Pukul 5 pagi dah bangun, bersiap untuk ke konti. Biasanya saya jarang tidur balik waktu tengah hari atau petang. Mungkin sebab sudah biasa dengan aktiviti seharian yang sibuk. Malam pula saya akan tidur sekitar pukul 10 hingga 12 malam. Tapi saya akan pastikan pulang ke rumah sekitar pukul 8 malam kalau tak ada sebarang program supaya badan boleh berehat.

Dulu ketika awal penglibatan Fara dalam bidang ini, badan agak berisi, bagaimana berjaya mengurangkannya?

Waktu saya bersama skuad Perodua Era, kerja saya banyak berjalan dengan rakan setugas, lepas letih kami banyak makan. Mungkin sebab tu berisi.

Sejak bila mula kurus?
Sekarang ini saya tak banyak keluar rumah. Kerja pun duduk saja, makan pun dah kurang. Lagipun saya kerap bersenam. Saya rasa mungkin dengan jadual yang agak sibuk ini menyumbang kepada penurunan berat badan.

Berapa berat badan sekarang?
50 kilogram dengan ketinggian 160 sentimeter. Dulu berat saya 60 kilogram lebih.

Berapa kerap Fara bersenam?
Seminggu dalam dua tiga kali juga saya pergi gim dan berenang.

Dari segi pemakanan?
Tidak terlalu berpantang sebab saya pun bukan makan banyak sangat. Cuma sekarang lebih fokus untuk kecilkan sedikit ukuran badan terutama bahagian kaki iaitu paha. Saya ni berangka besar. Tapi kira sekarang dah jauh lebih baik dari dulu.

Matlamat Fara?
Mahu jadi yang lebih baik dari sebelumnya.

Fara selalu nampak ceria, kalau berhadapan dengan masalah bagaimana mengatasi?

Saya ni ‘transparent.’ Apa yang orang nampak inilah saya. Kalau marah pun memang saya tak sembunyi-sembunyi. Rakan-rakan setugas dah faham dengan perangai saya. Tapi saya tak suka campur aduk hal peribadi dengan kerja.



1 Komen:

beautybimbo berkata...

Kak fara..bgla semangat kuruskan paha kami kaum wanita ni..!!

Catat Ulasan

 
Chatroom