Home » » Snek sihat untuk keluarga

Snek sihat untuk keluarga

TABIAT makan snek atau kudapan untuk mengalas perut antara waktu makan sudah menjadi cara hidup masyarakat Malaysia di rumah, di tempat kerja dan sebelum tidur! Yang pasti, hampir semua orang mengambil snek sekurang-kurangnya sekali sehari.

Makanan snek yang sihat menambah serat dan nutrien ke dalam diet tanpa menambah kalori yang tidak diingini. Malah, ia boleh memberi tenaga sepanjang hari dan mengelakkan daripada makan berlebihan pada waktu makan.

Kanak-kanak mendapat lebih manfaat daripada snek yang sihat, kerana mereka lazimnya tidak mendapat khasiat secukupnya daripada makanan yang diambil tiga kali sehari. Snek dapat membekalkan makanan tambahan untuk kanak-kanak serta sumber kalori dan mineral bagi orang dewasa (65 tahun ke atas).
Pendidikan pemakanan yang menekankan pengambilan snek menjadi lebih mudah dan berkesan apabila ia menggalakkan pengambilan tenaga tambahan antara waktu makan, bukan semasa makan, bagi orang dewasa yang lebih tua.

Kebanyakan makanan snek biasa mengandungi banyak lemak, gula dan natrium. Pengambilan terlalu banyak makanan ini sebagai snek boleh memudaratkan kesihatan. Oleh itu, memilih makanan yang sihat untuk kudapan adalah sama penting dengan memilih makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Berikut adalah beberapa petua memilih snek yang sihat untuk keluarga:

* Untuk mengelakkan berat badan bertambah, jangan ambil terlalu banyak makanan snek, selangkan tiga hingga empat jam antara waktu makan dan pengambilan snek.

* Jadikan kudapan sebahagian daripada amalan pemakanan keluarga setiap hari.

* Membekalkan snek yang sihat kepada anak anda untuk dibawa ke sekolah setiap hari boleh mengurangkan kemungkinan mereka membeli kudapan tidak sihat daripada penjaja tepi jalan selepas waktu sekolah.

* Bawa snek sihat ke tempat kerja untuk mengelakkan kelaparan dan membekalkan tenaga apabila bekerja hingga lewat petang atau malam.

* Pilih snek yang rendah kalori. Makanan manis dan berlemak mungkin kurangi nutrien, manakala makanan masin seperti kerepek kentang boleh menyahhidratkan anda. Makanan ini hendaklah diambil secara sederhana atau terhad.

* Simpan snek berkhasiat yang sedia untuk dimakan dalam peti sejuk/almari dapur.

* Libatkan anggota keluarga memilih snek sihat seperti memilih buah-buahan, sayur-sayuran dan keju supaya mereka lebih berminat untuk memakannya.

* Beri anak-anak anda makanan snek pada waktu yang tetap, seperti menjelang tengah hari dan menjelang petang.

* Jangan biarkan kanak-kanak (dan orang dewasa!) mengudap sepanjang hari.
Cubalah pelbagai snek berikut yang lebih berkhasiat dan sihat:

* Buah-buahan segar adalah antara snek yang terbaik kerana ia rendah kalori dan kaya dengan vitamin! Epal, pear dan oren mudah dibawa. Buah-buahan tempatan mudah dipotong dan dihidangkan.

* Hidangkan salad buah-buahan dengan yogurt rendah lemak untuk menambah pengambilan kalsium seisi keluarga anda.

* Segenggam kismis atau sultana kering kaya dengan zat besi & serat, menjadikannya taburan atas salad yang lazat dan berkhasiat.

* Hidangkan sepotong kek span pandan dengan teh hijau.

* Pulut hitam kukus dengan inti atau taburan kelapa parut di atasnya boleh dijadikan snek lazat yang kaya dengan serat.

* Gantikan pisang goreng dengan memakan pisang segar,rebus atau dipanggang.

* Jagung panggang, rebus atau kukus adalah snek kaya dengan serat (jangan tabur garam & sapu marjerin atau mentega).

* Biskut bijirin penuh rendah lemak dihidangkan dengan mentega kacang atau keju kaya dengan vitamin, mineral dan serat.

* Segenggam kacang kuda rebus rendah lemak tetapi kaya dengan serat.

* Tauhu sumbat kaya dengan serat dan khasiat kebaikan kacang soya.

Akhir sekali, cubalah bertih jagung (popcorn) rendah lemak yang dimasak dalam ketuhar gelombang mikro! Snek bijirin penuh ini kaya dengan serat dan mineral.

Jadi, lupakan kentang goreng, pisang goreng atau roti canai. Cubalah snek lazat dan sihat yang disenaraikan di atas. Anda akan mendapat serat, vitamin dan mineral tambahan sebanyak kira-kira 50 hingga 100 kalori! Ingatlah, sedikit snek boleh melengkapkan diet, bukan merosakkannya. Anggaplah snek cara untuk membantu anda dan keluarga mengamalkan diet sihat, bukan peluang untuk menjamu atau memuaskan selera! Jangan lupa bergiat aktif dan bersenam.

(Rencana ini disumbangkan oleh Jacob‘s - jenama biskut dan kraker yang dipercayai untuk pemakanan yang seimbang dan gaya hidup aktif dan sihat).



1 Komen:

Ila berkata...

Menariknya blog ni. Keep it up dear !

Catat Ulasan

 
Chatroom