Home » » Ketagihan berbelanja

Ketagihan berbelanja

Oleh HUMA QURESHI

Bagi sesetengah orang, tabiat membeli-belah boleh menjadi tidak terkawal dan mereka ini sebenarnya menghadapi apa yang dikenali sebagai oniomania.


DALAM masa dua hari sahaja, kawan saya telah menghabiskan kira-kira RM12,781.

"Saya membeli sebuah beg tangan Mulberry (RM2,378) pada hari Jumaat dan beberapa kaca mata hitam Bulgari (RM2,213) pada hari Sabtu. Oh ya, dan satu tiket penerbangan bernilai RM3,087," katanya sambil menghitung jari-jemarinya.

Dia mendakwa dirinya bukan shopaholic dan menegaskan bahawa dia tahu mengawal perbelanjaannya. Biarpun dia turut menyatakan tahu bila untuk menjelaskan hutang kad kredit dan menghentikan perbelanjaan, tabiat perbelanjaan terbarunya ini seakan bercanggah dengan apa yang diperkatakan. Tetapi bagaimanakah anda dapat menentukan jika anda seorang yang gila berbelanja?

"Hanya kerana anda suka membeli pakaian tidak bermakna anda gila membeli-belah. Seseorang seperti Victoria Beckham boleh kuat berbelanja tetapi ini tidak bererti dia ketagih. Cuma dia menikmatinya kerana dia mampu membayar untuk apa sahaja.

Sesiapa sahaja akan berpuas hati apabila membeli-belah, bukankah begitu?" demikian tegas Profesor Alexander Gardner yang merupakan seorang pakar psikologi pengguna dan juga ahli Persatuan Psikologi Britain.

Memang benar. Terapi membeli-belah sesungguhnya merupakan satu cara terbaik melepaskan tekanan. Hari-hari yang teruk akan diceriakan dengan hanya membeli-belah seperti mendapatkan sepasang kasut.

Namun, bagi sesetengah orang, tabiat membeli-belah boleh menjadi tidak terkawal. Nama jolokan tidak rasmi yang diberikan kepada tabiat ini adalah Sindrom Madame Bovary (heroin pemboros Gustave Flaubert).

Bagi pakar-pakar perubatan pula, ia lebih dikenali sebagai oniomania iaitu tabiat membeli-belah secara kompulsif. Ia merupakan satu tindakan tidak terkawal dan boleh memudaratkan kerana lazimnya oniomania memberi petanda kepada masalah berkaitan harga diri yang lebih serius.

Mereka yang berbelanja secara kompulsif biasanya berbelanja secara obsesif bukan kerana mereka memerlukannya tetapi berbelanja menceriakan diri biarpun adakalanya tidak mampu.

Pengasas pusat pemulihan dan kaunseling Promis, Dr. Robert Lefever dari Britain yang juga pernah ketagih membeli-belah berkata, sifat seperti sentiasa memikirkan tentang perkara yang sama, berbelanja sendirian, menyembunyikan barangan yang dibeli, berbelanja lebih daripada yang dirancang, berbelanja untuk memperbaiki mood dan menghabiskan lebih banyak masa membeli-belah daripada mengekalkan hubungan baik sesama ahli keluarga lazimnya boleh dilihat dalam diri seseorang yang ketagih membeli-belah.

"Hampir kesemua jenis ketagihan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap diri sendiri. Ini kerana pada kebiasaannya, anda akan cuba menggantikan apa yang diperlukan untuk terus hidup dalam dunia materialistik dan sukar mengawal nafsu anda. Keperluan anda bertambah sehingga anda mengabaikan bahana akibat penggunaan emosi dan kewangan melampau," kata Dr. Martin Skinner, seorang pakar psikologi sosial di Universiti Warwick.

Jadi, seperti dadah, tabiat berbelanja menjadi sebati. Akan tetapi, sebaik sahaja nafsu membeli hilang, anda akan dikejutkan dengan realiti kehidupan apabila menerima bil kad kredit pula.

"Ia akan menjadi satu kitaran yang kejam. Pembeli kompulsif sukar kembali ke pangkal jalan kerana mereka sememangnya terdorong untuk berbelanja. Jadi, mereka ingin memiliki segalanya biarpun tidak mampu. Pada ketika ini mereka akan berasa sedih apabila melihat bilnya tetapi terus berbelanja untuk membebaskan diri daripada kemurungan.

"Seseorang dalam situasi seperti ini perlu belajar bahawa terdapat kaitan antara kebaikan dan keburukan berbelanja selepas melihat kenyataan bil kad kredit itu nanti," katanya.

Kemudahan yang diberikan oleh kad kredit membuatkan tabiat berbelanja semakin sukar dibendung. Satu kajian baru-baru ini mendedahkan kira-kira satu pertiga daripada warga Britain baik lelaki mahupun wanita, berbelanja demi diri sendiri biarpun tahu tidak mampu memilikinya.

Masalah hutang Nicola Green, 24, yang mencecah RM159,914 akibat terlebih berbelanja bermula sejak hari pertama dia mendapat kad kredit pada usia 18 tahun.

"Pada mulanya, saya mempunyai had belanja sebanyak RM1,279 dan mula membelanjakannya untuk pakaian, DVD dan sebagainya.

"Saya langsung tidak tahu-menahu mengenai kad kredit. Malah, saya juga tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan hutangnya sehinggalah diberitahu oleh rakan setugas. Jadi, saya mulai membuat bayaran secara ansuran setiap bulan, memikirkan segala akan selesai," katanya.

Nicola yang merupakan seorang pegawai pentadbiran dari Ilford memiliki empat kad kredit yang kesemuanya digunakan untuk membeli pakaian.

Pada ketika itu, dia baru mendapat kerja pertama dan memperoleh pendapatan sebanyak RM86,324 setahun. Walaupun dia sedar dia tidak memiliki wang yang cukup, misalnya untuk membeli sepasang jean Von Dutch yang berharga RM1,151, dia tetap berbelanja.

"Apabila saya ternampak pakaian yang saya suka dalam majalah, saya terasa ingin memilikinya. Jadi, akhirnya saya akan dilihat di Top Shop dan menghabiskan sekitar RM1,279 untuk pakaian sekali gus.

"Atas alasan tertentu, saya berasa lebih seronok membeli banyak pakaian sekali gus daripada berbelanja sedikit demi sedikit. Setiap kali membuat pembayaran, saya akan berfikir 'Ini ialah bayaran minimum, bayaran minimum' dan berkali-kali saya cuba menjustifikasinya," terangnya.

Tambahnya lagi, ibunya ada kalanya tidak tahan dengan kerenahnya dan menasihati agar saya tidak membeli-belah jika tidak mampu. Jadi, saya akan menyembunyikan barangan yang dibeli di bawah tangan sebelum dibawa masuk ke dalam bilik tidur.

Menurut Lefever, ketagihan terhadap membeli-belah adalah lebih kepada mengubah perasaan dalaman menerusi penampilan luaran anda. Mengimbas kembali, Nicola masih sukar mengenal pasti mengapa dia membeli begitu banyak pakaian dan tidak memikirkan ia satu masalah.

"Pada asalnya, saya hanya berbelanja sakan seorang diri kerana saya rasa sangat bosan. Jika saya tiada apa-apa rancangan pada hujung minggu atau menghadapi tekanan, saya akan menuju ke kedai. Sebab itulah satu-satunya cara yang boleh menggembirakan saya. Sekarang, saya tidak tahu ke mana perginya semua wang saya," katanya.

Pada November 2006, Nicola telah mendapatkan perkhidmatan sebuah syarikat untuk melangsaikan hutang RM63,922 daripada RM159,870 yang terpaksa ditanggungnya.

Sekarang dia hanya perlu membayar RM1,425 setiap bulan selama lima tahun seterusnya untuk melangsaikan kesemua hutangnya.

"Setiap hari saya akan menerima surat dari bank dan saya sudah takut untuk membukanya. Ia begitu menyedihkan kerana tidak mempunyai sesen pun tidak pernah terlintas di fikiran saya selama ini," katanya.

Nicola mempunyai pakaian di dalam almarinya yang tidak pernah dipakai yang masih dilengkapi dengan tanda harga. Namun, dia memberitahu, dia kini sudah mampu 'membersihkan otaknya' untuk tidak lagi berbelanja sesuka hati. - GUARDIAN



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom