TINA telah bekerja kuat sepanjang hari dan berasa tertekan atau stres. Beliau telah berjumpa ramai pelanggan, menghadiri beberapa mesyuarat dan kini terpaksa kembali semula ke pejabat untuk menghabiskan kerja. Semasa berjam-jam menulis kertas kerja, Tina telah menghabiskan dua kepingan coklat yang besar, satu beg kerepek, tiga keping donat dan beberapa tin minuman berkarbonat.
Kumar mendapati anjing kesayangannya telah hilang dari rumah apabila beliau pulang dari pejabat. Oleh kerana sangat sedih serta rasa kehilangan, beliau telah mencari ketenangan dengan memakan aiskrim. Tiga puluh minit kemudian, Kumar telah menghabiskan sekotak aiskrim yang bersaiz besar. Dia berterusan meratapi kehilangan haiwan peliharaan kesayangannya itu dengan cara ini sehingga hampir sebulan.
* Apabila makan mendatangkan keburukan
Walaupun anda mungkin tidak mempunyai pengalaman yang sama seperti Tina atau Kumar, namun anda mungkin pernah melalui hari-hari di mana emosi atau perasaan anda mempengaruhi cara makan dan minum.
Apabila ini berlaku, anda mungkin akan makan walaupun ketika berasa kenyang. Sememangnya tabiat makan kadang kala dipengaruhi oleh perasaan atau emosi seseorang.
Misalnya, anda mungkin akan makan atau minum dengan terlalu banyak semasa sesuatu peristiwa yang menggembirakan berlaku.
Kebanyakan daripada kita menggunakan perayaan atau perjumpaan sebagai alasan untuk makan atau minum dengan banyak. Selepas itu, kita akan nekad mengurangkan makan atau minum di kemudian hari.
Namun demikian, anda mungkin juga akan makan atau minum dengan terlalu banyak apabila mendapati segalanya tidak mengikuti apa yang dikehendaki.
Ini mungkin berkaitan dengan tekanan kerja, masalah keluarga atau peribadi serta kerana cuaca buruk telah menghalang anda daripada keluar membeli belah!
Menurut kehendak nafsu sekali-sekala adalah sesuatu yang normal. Walau bagaimanapun, apabila makan secara berlebihan menjadi suatu kebiasaan, ia menjadi suatu tabiat yang tidak sihat.
Adakah anda mendapati diri anda sentiasa memakan jenis makanan yang kurang berkhasiat dengan banyak akibat mengikut perasaan anda? Contohnya, terlalu banyak coklat atau aiskrim.
* Kekecewaan membuatkan saya makan
Anda mungkin tidak suka melihat lemak yang berlebihan pada tubuh anda dan telah berhasrat untuk mengurangkan berat badan. Jadi, anda telah bermula dengan berlapar tetapi lama kelamaan terpaksa menyerah kalah kerana sememangnya sangat sukar untuk berlapar secara berterusan.
Anda kemudiannya telah mula untuk makan semula (mungkin lebih banyak daripada yang sepatutnya), tetapi rasa bersalah apabila berbuat demikian.
Anda juga mungkin akan rasa kecewa kerana telah melanggar rejim diet anda. Daripada memulihkan keadaan, anda telah mula untuk makan mengikut nafsu.
Ini telah menyebabkan kenaikan berat badan dan rasa kecewa melihat keadaan fizikal anda di mana ini semua akan mencetus satu lagi lingkaran diet yang tidak teratur.
Apabila corak ini telah menjadi suatu tabiat jangka panjang, anda mungkin akan lebih berisiko tinggi untuk mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Biasanya, obesiti juga akan berkait dengan masalah kesihatan serius seperti diabetes, kolesterol darah tinggi serta tekanan darah tinggi.
* Makan semasa stres
Stres jangka panjang atau kronik boleh menjejaskan tabiat makan anda. Mungkin ada masanya apabila anda akan rasa terlalu tertekan akibat tanggungjawab kerja atau peribadi sehingga anda terpaksa menggunakan makanan atau minuman untuk mencari kelegaan.
Pada saat-saat begini, sesetengah individu juga akan meningkatkan pengambilan minuman beralkohol, menjadi kurang aktif serta mempunyai tahap kawalan diri serta harga diri yang semakin rendah.
Sebarang tumpuan yang telah anda berikan terhadap apa yang dimakan serta segala kebimbangan lain tentang makanan dan juga diet anda turut akan dilupakan semasa mengalami tekanan atau stres yang kronik.
Bermula dengan anda mengawal makanan, kini ia pula yang mengawal diri anda. Walau bagaimanapun, stres yang berpanjangan bukan sahaja akan menjejaskan tabiat makan serta berat badan anda.
Stres juga telah dikenalpasti sebagai salah satu faktor yang meningkatkan risiko penyakit jantung dan penyakit-penyakit serius yang lain.
Selain itu, stres juga akan menjejaskan sistem imun, mengakibatkan penuaan pramatang di samping menyebabkan asma menjadi semakin teruk serta mencetus gangguan tekanan psikosomatik.
* Mengatasi makan mengikut nafsu
Jika makan terlalu banyak telah menjadi suatu tabiat, maka perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah membentuk kesedaran tentang tabiat makan anda.
Setelah menyedari tabiat anda, cuba kenal pasti perasaan atau situasi yang akan menyebabkan anda makan mengikut nafsu, contohnya stres kerja, kebosanan atau kemurungan.
Setelah mengenalpasti faktor-faktor ini, berusaha pula untuk mengawal serta menyediakan suatu pelan tindakan untuk mengatasinya.
Jika anda tidak boleh melakukannya seorang diri, cubalah mencari seseorang yang anda rasa selesa untuk bercakap ataupun mengadu.
Mungkin anda berdua akan boleh mencari penyelesaian kepada masalah makan mengikut nafsu anda.
Anda juga boleh mendapatkan bantuan perubatan profesional jika mendapati masalah makan serta minum mengikut nafsu anda sudah sampai ke tahap di luar kawalan.
Adalah penting bagi anda untuk sentiasa beringat bahawa makan atau minum mengikut nafsu sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah anda.
Ingatlah bahawa terdapat banyak lagi perkara-perkara yang menyeronokkan yang boleh dilakukan semasa anda berasa gembira, sedih atau mengalami tekanan daripada hanya makan dan minum!
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan