Home » » Tip Memelihara Kucing: Luang Masa Dandan Si Comel

Tip Memelihara Kucing: Luang Masa Dandan Si Comel

Tip Memelihara Kucing: Luang Masa Dandan Si Comel

Kucing berbulu bersih dan bersinar menandakan si comel bukan saja sihat, malah mengambil makanan berkhasiat. Selain itu, mendandan si comel juga boleh menggalakkan pertumbuhan bulu yang berkilat.

Kucing secara semula jadinya adalah haiwan pembersih. Justeru, kita tidak perlu mendandan si comel terlalu kerap, terutama jika si comel mempunyai bulu yang pendek.

Kucing berbulu panjang perlu didandan dengan lebih kerap, biasanya sekali sehari. Jika si comel sudah membiasakan dirinya didandan, anda dan si comel pasti menikmati saat manis ini. Ia mungkin gelisah pada awalnya justeru, luangkan masa untuk bermain dengannya supaya ia membiasakan diri disentuh dan dibelai.

Bulu yang gugur perlu dibuang dengan sikat atau berus lembut. Sikat di bahagian kepala dulu dan seterusnya di bahagian badan, ekor dan kaki.

Bagi si comel berbulu panjang, bulu itu mudah tersimpul. Simpulan harus diuraikan terlebih dulu dan ini harus dilakukan pendandan profesional atau pakar haiwan. Jika badan si comel kotor, bersihkannya dengan mengelap badan kucing menggunakan kain bersih separuh basah tanpa sebarang sabun.

Waktu mendandan, ambillah masa untuk memeriksa kulitnya bagi mengesan ketumbuhan, ruam, nanah atau sebarang petanda yang menunjukkan ia tidak sihat.

Kajian menunjukkan kucing juga boleh menjadi bosan terutama apabila ia ditinggalkan sendirian di rumah oleh pemiliknya yang bekerja. Ia hanya menghabiskan masa antara tidur dan bermain.



Untuk mengurangkan kebosanan si comel, anda boleh menggantung cermin di kawasan ia bermain. Bukan saja ia mengasyikkan, malah ia membantu si comel bergaul.

Permainan yang merangsang si comel juga pilihan yang baik seperti bola berat yang berguling ke arah yang tidak dapat diduga atau mainan getah yang boleh digigit serta didapati dalam pelbagai bentuk dan tekstur.

Pasang pintu khas untuk kucing supaya si comel mempunyai kebebasan untuk keluar atau masuk ke rumah. Jika ia dikurung dalam rumah, pastikan ia mempunyai jalan keluar atau masuk melalui tingkap atau pintu depan bagi membolehkannya melihat persekitaran di luar.

Kucing memang gemar mencakar, justeru gunakan tiang yang dilapik kayu atau kanvas serta tali berloceng bagi memuaskan naluri si comel yang suka mencakar bagi memelihara kukunya dalam keadaan yang baik.

Untuk makanan kucing, anda boleh mencuba produk keluaran Whiskas dalam masa seminggu. Seperti manusia, si comel gemarkan pilihan dan memberikannya pilihan membantu si comel anda menjadi kurang cerewet serta dapat menikmati pelbagai rangkaian perisa.

Oleh Rahayu Mohd Salleh



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom