Home » » Memiliki postur yang baik

Memiliki postur yang baik

Adakah memiliki postur yang baik penting? Jawapannya, ya. Dekan Klinik-klinik di Universiti Sains Kesihatan Kebangsaan di Lombard, Jeffrey Bergin pernah berkata, kedudukan postur yang teruk boleh menyebabkan tulang terbentuk secara abnormal.

Kanak-kanak yang tidak mempunyai postur yang baik akan mengalami kesakitan kronik pada tangan, leher dan bahu serta kecederaan gerakan berulang seperti sindrom carpal tunnel.

Sebahagian besar penyakit ini boleh dicegah dan disingkirkan jika perhatian diberikan kepada kedudukan postur yang baik, penggunaan beg galas yang betul dan bagaimana serta berapa lama kanak-kanak patut menghabiskan masa di hadapan komputer.

"Kedudukan postur yang baik dapat memastikan tekanan pada otot dan ligamen dikurangkan," kata Bergin.

Menurut laman web Spine Universe.com, kedudukan postur yang baik boleh mencegah keletihan otot dan sakit belakang, mengurangkan kehausan pada sendi, ligamen, tulang serta dapat menyumbang kepada penampilan yang lebih menawan.

Jadi, apakah itu kedudukan postur yang baik?

Postur adalah kedudukan tubuh seseorang baik sewaktu berdiri mahupun duduk atau berbaring. Ia memerlukan keseimbangan otot dengan tulang belakang, fleksibiliti otot dan gerakan normal pada bahagian sendi.

Mereka yang memiliki kedudukan postur yang baik sedar apabila sebarang berlaku perubahan pada postur itu. Postur terbentuk daripada satu kombinasi kawalan otot yang baik, kekuatan dan keyakinan diri. Mereka yang mempunyai kedudukan postur yang baik duduk dengan tegak dan kepala mendongak.

Apakah jenis-jenis kedudukan postur yang bermasalah?

Penggunaan beg galas yang tidak betul boleh mengakibatkan pelbagai masalah belakang dalam kalangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang menghabiskan banyak masa di hadapan komputer, menonton televisyen dan bermain permainan video lazimnya memiliki kedudukan postur yang lemah. Membongkokkan tubuh sewaktu berjalan atau makan juga masalah biasa.

Apakah itu penggunaan beg galas yang betul?

Pastikan berat beg galas anak anda tidak melebihi 10 peratus daripada keseluruhan berat badannya. Sekiranya boleh, pastikan beg galas anak tidak tergantung lebih daripada empat inci di bawah pinggangnya. Jika ia sudah melebihi sepatutnya, pastikan kedua-dua tali diketatkan bagi mencegah kesakitan leher dan belakang.

Bagaimana jika anak membongkok ketika menggunakan komputer?

Sekiranya anak anda membongkok ketika menggunakan komputer, penggunaan meja dan kerusi yang betul boleh memperbetulkan kedudukan posturnya. Kaki mereka sepatutnya menyentuh lantai. Paling tidak, letakkan bantal di belakang tubuh atas kerusi untuk memberi sokongan yang diperlukan.

Jika mereka menggunakan kerusi orang dewasa, pastikan bangku kecil diletakkan agar terdapat sokongan pada kakinya.

Seorang profesor dari Jabatan Ortopedik Universiti Temple, Dr. Kritine Fortuna turut mengesyorkan tumpuan masa yang dihabiskan di hadapan permainan video atau televisyen dihadkan kepada 20 minit setiap sesi.

Ajar anak tentang kedudukan postur yang baik?

* Jadikan teladan yang baik. Tunjukkan kepada anak apakah itu kedudukan yang baik dan buruk. Berikan contoh jika perlu. Berikan komen apabila kedudukan postur anak tidak betul.

* Berikan peringatan. Jika anak membongkok ketika melakukan kerja, cuba berikan peringatan kepadanya agar berdiri tegak dan naikkan bahu bagi membetulkan kedudukan postur.

* Jadikannya satu permainan. Seorang deejay terkemuka pernah berkata: "Mulakan hari anda dengan bertanya anak-anak, Siapa yang duduk membongkok?, Siapa yang duduk menegak?"

Luangkan masa mendidik anak-anak bagaimana duduk pada kedudukan postur yang betul. Bagi membetulkan kedudukan postur, pastikan pelvis didepankan dan bahagian dada dinaikkan. Tindakan ini membantu anak belajar bagaimana mengawal kedudukan postur secara automatik.

* Bayangkan sebiji belon menaikkan anda. Memang tidak mudah untuk menerangkan apakah itu kedudukan postur yang baik. Tetapi, sebagai ibu bapa, anda boleh meminta anak-anak membayangkan perasaan itu seakan sebiji belon besar yang menaikkannya.

Terangkan bagaimana belon itu menaikkan tubuh tetapi kaki masih berada di atas lantai. Keadaan ini mungkin akan memudahkan mereka duduk tegak tanpa menghadapi banyak masalah.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom