Home » » Sinopsis Drama Lagenda Budak Setan

Sinopsis Drama Lagenda Budak Setan

Sinopsis Drama Lagenda Budak Setan


Drama kehidupan ini bermula dengan kenakalan Kasyah (lakonan Farid Kamil), seorang pelajar nakal yang sering membuli dan mengenakan pelajar lain bersama beberapa rakannya. Mereka sering dikenakan tindakan disiplin dan turut melabelkan kumpulan mereka sebagai anti perempuan.

Namun, sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kemunculan pelajar baru bernama Ayu (lakonan Maslina Nasir). Kehadiran Ayu di sekolah itu telah berjaya menambat hati dan perasaan Kasyah lalu membuatkan lelaki yang sebelum ini tidak pernah kenal erti kasih sayang jatuh cinta. Ayu mencabar Kasyah untuk berubah dan sebagai syarat untuk dia menerima Kasyah. Episod baru hidup Kasyah pun bermula.

Hubungan Kasyah dan Ayu bertambah erat dan perasaan sayang mulai bercambah. Walau bagaimanapun, bekas kekasih Ayu bernama Azmi (lakonan Nas T) tiba-tiba muncul menagih semula cintanya. Azmi menggunakan kedudukan dan kemewahan keluarga bagi mempengaruhi ibu Ayu, Mak Leha (lakonan Arifah Damanhuri) untuk menambat hati Ayu semula. Ayu terpaksa menerima Azmi semula walaupun sebenarnya dia semakin menyayangi Kasyah.

Selepas menamatkan persekolahan, Kasyah membawa hatinya yang luka ke luar negara setelah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di sana. Tidak lama kemudian, Ayu juga ditakdirkan mendapat tawaran di universiti yang sama.

Di sini mereka bertemu semula dan Ayu yang sebenarnya memang berniat mencari Kasyah untuk menebus kesilapannya, berjanji untuk setia setelah mengecewakan Kasyah dan menerima Azmi dahulu. Di sinilah bibit cinta mereka bermula dan perasaan sayang kembali mekar.

Namun segalanya berubah apabila Azmi yang merupakan seorang kaki perempuan sedar yang dia tidak boleh hidup tanpa Ayu. Sekali lagi dia menggunakan Mak Leha untuk memenangi semula hati Ayu. Ayu dijemput pulang oleh Azmi dengan alasan ibunya sakit kuat tapi setibanya di Malaysia, segalanya sudah diatur untuk Ayu bernikah dengan Azmi, dengan izin dari ibunya yang sebenarnya sihat walafiat.

Dalam dilema dan kepedihan, jiwa Ayu tewas dengan rayuan emaknya. Tanpa kerelaan, Ayu terpaksa memenuhi permintaan itu walaupun di sudut hatinya dia terluka dan kecewa kerana dia tahu yang dia telah melukakan hati Kasyah untuk kali kedua.

Hati Kasyah sekali lagi hancur berkecai sewaktu mendapat tahu berita itu dan kini dia tidak lagi seceria seperti sebelumnya. Dia menjadi tidak terurus dan jiwanya tiada lagi cahaya dan harapan untuk menjalani kehidupan mendatang membuatkan dia lebih gemar bersendirian.

Masa berlalu, rumah tangga Ayu dan Azmi semakin berantakan lantaran sikap Azmi yang panas baran dan perangai "kaki perempuan"nya yang masih tidak berubah. Ayu sering dipukul dan disakiti. Pada satu malam setelah teruk dibelasah Azmi, Ayu telah melarikan diri dan di dalam kekalutan itu kereta yang dipandunya terbabas melanggar pokok.

Mujur nyawanya masih panjang tetapi seluruh wajahnya telah hancur, sehancur hati dan jiwanya. Azmi yang melihat wajah Ayu yang tidak lagi sempurna terus membawa Ayu ke Amerika untuk menjalani pembedahan kosmetik dengan seorang pakar yang terkenal dan Ayu hanya bersetuju jika wajahnya ditukar sama sekali. Ayu kemudiannya menuntut cerai kerana tidak mahu lagi kembali ke pangkuan suaminya dan Azmi terpaksa akur.

Dengan wang pampasan perceraian yang diterimanya dan wajah serta identiti yang baru, Ayu memulakan hidup baru dengan wajah baru serta nama barunya Emilia (lakonan Jue Aziz). Di sinilah satu episod baru bermula dan Ayu, yang kini dikenali dengan nama Emilia mencari semula Kasyah.

Ayu yang cuba mendekati Kasyah dengan identiti baru sebagai Emilia tetapi akhirnya Kasyah dapat juga mengesan identiti sebenar Emilia dan cinta Kasyah yang satu waktu dulu pernah dikongsi bersama Ayu masih tak berubah, malah sanggup menerima Ayu seadanya. Cinta mereka yang masih utuh membenarkan mereka kembali bersama.

Di sinilah keindahan hakiki mula berputik dan sesungguhnya cinta yang suci itu dicampakkan ke api menjadi seri, dicampak ke laut menjadi ikan. Bagaikan tiada apa yang berlaku sebelumnya, mereka meraih cinta sebagaimana pasangan bahagia yang lainnya.

Sehinggalah satu hari, Azmi sekali lagi muncul membawa petaka sehingga menyebabkan suatu kejadian. Kejadian yang membawa kisah cinta ini ke satu sisi yang lain dan menemukan Katerina (lakonan Melissa Maureen Rizal) dengan Kasyah. Siapakah pula Katerina? Dan apakah yang terjadi dan bagaimanakah pengakhiran jalan cerita cinta ini?

Untuk mengetahui jawapannya, saksikan drama Lagenda Budak Setan yang bakal bersiaran setiap Selasa bermula pada 10 Ogos ini jam 10.30 malam menerusi Astro Prima di saluran 105.



 
Chatroom