Ramadan bulan rezeki. Ia juga bulan penuh cabaran. Walaupun berpuasa pada siang hari, kehadiran deretan gerai menjual pelbagai jenis makanan di bazar Ramadan boleh mengganggu diet harian.
Bagi mereka yang kecil-molek, inilah masanya untuk menambah berat badan tapi jika tahu kaedahnya, individu berbadan gempal pula boleh berusaha mengurangkan berat badan ketika berpuasa.
Jurulatih kecergasan, Kevin Zahri, berkata penurunan berat badan berkait rapat dengan jumlah kalori yang diambil setiap hari di dalam makanan.
"Apa juga jenis diet atau pelan senaman untuk menurunkan berat badan, semuanya berkembang daripada fakta asas bahawa ia bergantung sepenuhnya kepada kalori defisit iaitu jumlah tenaga makanan (kalori) yang diambil harus kurang daripada jumlah kalori yang digunakan.
"Untungnya ketika berpuasa, walau sebanyak mana yang anda makan, kira-kira 90 peratus daripada mereka yang berpuasa berpeluang mengurangkan berat badan kerana jumlah kalori diambil rendah dan jumlah tenaga makanan juga jauh lebih rendah," katanya.
Secara asasnya, setiap orang mampu mengurangkan satu kilogram (kg) berat badan mereka setiap minggu malahan bagi sesetengah individu, hilang lima kg sebulan juga tidak mustahil, bergantung kepada nilai kalori makanan dan senaman yang dilakukan.
Mengira jumlah kalori yang diperlukan secara terperinci memang sukar, namun, pada bulan puasa, jumlah kalori yang diambil berkurangan sebanyak 40 peratus berbanding hari biasa.
"Bagi yang berkemampuan, boleh juga melakukan senaman ringkas pada bulan puasa tapi untuk pengetahuan anda, sembahyang tarawih juga satu bentuk senaman malah 20 rakaat terawih boleh mengurangkan sekitar 80 kalori dalam badan.
"Malahan, saya sendiri menghentikan senaman sepanjang Ramadan bagi memberikan kesempatan kepada badan, minda dan jiwa berehat," akuinya.
Senaman kardiovaskular lebih sesuai diamalkan pada Ramadan seperti berenang, joging, berjalan laju, bermain pingpong atau aktiviti yang tidak mengejutkan badan.
Namun, beliau akui, hidangan bufet berbuka atau bazar Ramadan sememangnya menjadi cabaran paling hebat untuk mereka yang sedang berdiet, justeru, cuba tetapkan pendirian dengan memulakan hidangan dengan menu seimbang.
"Pilih hanya satu hidangan utama dan jika mahu menikmati pencuci mulut, kurangkan jumlah kalori di dalam hidangan utama, makan dengan perlahan, kurangkan minuman manis, kurangkan gula dan krimer untuk minuman panas dan jika anda suka mengunyah, gantikan makanan manis dengan hirisan lobak merah atau kekacang," katanya.
Ramadan juga masa terbaik membakar lemak kerana ketika ini, badan bebas daripada glikogen dan inilah masanya untuk anda menggunakan tenaga simpanan iaitu lemak.
"Membakar lemak secara maksimum tanpa membebankan badan, saya menyarankan senaman berjalan laju atau perlahan sekitar 30 minit atau 45 minit sebelum berbuka kerana ketika itu, cuaca lebih redup dan anda tidak perlu menunggu lama untuk berbuka selepas penat bersenam.
"Bagaimanapun, lakukannya secara berhati-hati. Peka dengan keadaan tubuh jika tubuh rasa melayang atau penat keterlaluan, hentikan senaman," katanya.
Jika anda mahu maklumat lanjut mengenai hidangan lengkap atau diet, boleh rujuk e-book Kevin Zahrin di www.kevinzahri.com.
Teruskan makanan sihat
JIKA puasa membantu anda mengurangkan berat badan ke timbangan ideal, apa kata teruskan usaha itu dengan memilih makanan sihat dan seimbang selepas berpuasa? Selain banyak minum air kosong dan banyak mengambil buah-buahan serta sayur-sayuran, beberapa cara boleh membantu.
* Kurangkan memakan kuih-muih yang manis. Tidak salah mengambilnya tetapi pastikan dalam kuantiti yang kecil atau sederhana.
* Jika membuat kek atau biskut raya sendiri, kurangkan penggunaan gula dalam resipi. Contohnya, kandungan gula dalam kek boleh dikurangkan kepada separuh tanpa menjejaskan rasa atau kualitinya.
* Ketika berkunjung ke rumah sanak saudara atau menghadiri rumah terbuka, boleh saja jika anda memilih untuk mengambil minuman manis, tetapi ketika di rumah, cukuplah sekadar minum air kosong.
* Pilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut. Kalau menggunakan buah dalam tin, pastikan memilih buah-buahan dalam tin yang menggunakan air atau jus semula jadi.
* Pastikan tidak menggunakan garam secara berlebihan kerana garam tidak baik untuk kesihatan.
* Kurangkan penggunaan minyak dalam masakan. Minyak berlebihan dalam masakan boleh mengundang penyakit. Jika untuk membuat rendang, cuba elakkan menggunakan minyak masak. Cukuplah hanya menggunakan santan kerana santan boleh bertindak sebagai minyak. Jadi, apabila minyak dan santan digunakan sekali, ia menyebabkan minyak berlebihan.
* Sayur-sayuran penting untuk kesihatan. Tetapi ketika lebaran kebanyakan juadah lebih menjurus kepada daging dan ayam. Jika tidak dihidangkan, anda boleh menjamahnya, tetapi apabila pulang ke rumah, banyakkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran sebagai ganti.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...