Home » » Tip Menjaga Bentuk Badan

Tip Menjaga Bentuk Badan

Memang bisa dikata orang, tetapi kerana kata-kata berbisa itulah menyebabkan Aaron berusaha hendak menurunkan berat badannya. Bukan setiap hinaan itu buruk, ada kalanya di situlah datangnya booster untuk berubah.

Seorang anak yang malas, kerjanya asyik tidur sepanjang hari, sesekali perlu mendengar apa orang kata terhadap dirinya. Andainya dia mendengar jiran berkata, “Jangan jadi macam anak orang sebelah. Dah besar panjang, tapi tak kerja, pemalas, kerjanya asyik tidur sepanjang tahun.”

Kata-kata begitu memang berbentuk hinaan, tetapi ia juga boleh membangkitkan semangat untuk berubah. Kata-kata pedas yang didengar oleh Aaron itu adalah sehari sebelum dia menyertai rancangan realiti mengenai individu gemuk, “The Biggest Loser Asia” (TBLA) untuk musim pertama tahun 2009.

Berat Aaron ialah 159kg sedangkan baru berusia 30 tahun. Dia menghidap hipertensi, tahap kolesterol terlalu tinggi, kadar degupan jantung yang laju dan mudah penat apabila melakukan sesuatu kerja.

Kini hidup Aaron telah berubah sepenuhnya. Dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 60kg sejurus program berakhir. Sejumlah 46kg diturunkan sepanjang empat bulan berada di dalam kem manakala 14kg lagi sewaktu menjalani rutin diet dan senaman di luar program iaitu apabila pulang ke rumah masing-masing.

Kini, Aaron dengan berat badan 99kg kembali menjalani kehidupan biasa. Jurulatih kecerdasan TBLA, Kristy dan Dave yang telah memberikan Aaron ‘kehidupan’ baru berkata, dalam menanam impian mendapatkan berat badan yang ideal, ia memerlukan kesungguhan dan menuntut pengorbanan yang tinggi.

Bagaimanapun, faktor utama yang mampu menyumbang ke arah penurunan berat badan ialah kombinasi antara amalan pemakanan dan cara hidup sihat perlu diseimbangkan dengan aktiviti kecerdasan sehari-hari.

“Jangan memilih jalan singkat seperti pengambilan pil kurus atau pembedahan sedut lemak yang memang ketara hasilnya dalam tempoh jangka pendek kerana ia terbukti bukan cara selamat untuk kurus. Sebaliknya, berusahalah untuk kurus dengan mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat dan luangkan masa untuk bersenam. Itu cara paling ideal yang tidak boleh dinafikan,” kata Kristy.

Iringi dengan muzik
Bagi Dave pula, paling tidak seseorang itu perlu bersenam setiap hari walaupun ia hanya satu pergerakan ringkas kerana dengan cara itu, mereka dapat mendidik diri menjadi individu yang cergas.

Ya, saya setuju dengan kedua-duanya, bahkan saya sendiri menjadikan aktiviti berjoging setiap hari selama 20 minit hingga sejam sebagai rutin. Jika saya bosan berjoging saya akan melakukan senam ria mengikut DVD yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Jika bosan bersenam ria saya akan melakukan senam terapi pula, senaman ini lebih relak kerana ia adalah gerak-gerak terapi untuk mengekalkan kesihatan mental dan fizikal.

Sememangnya solat itu adalah yang terbaik apabila kita bercakap tentang senaman ringan yang melibatkan pergerakan tubuh, namun senam ria mahupun senam terapi ini, apabila diiringi dengan muzik yang sesuai membolehkan kita rasa enjoy dan kurang penat.

Setakat hari ini, saya berjaya mengekalkan berat badan pada tahap sedang-sedang meskipun selalu terpaksa makan berlebihan dalam program-program motivasi terutama yang lama hingga beberapa hari, di hotel mewah pula.

Falsafah yang saya pegang dalam isu pemakanan ini ialah, makanlah berpada-pada sepanjang masa kecuali ketika makan percuma. Apabila makan free maka belasahlah. Jangan risau, makan free tidak selalu terjadi.

Sumber: MW



 
Chatroom