Home » » Senaman kuatkan torso

Senaman kuatkan torso

Seperti senaman yang ditampilkan minggu lalu, kali ini fokus senaman masih lagi kepada bahagian teras badan. Seperti diketahui, teras badan atau torso adalah bahagian yang penting bagi seseorang atlit olahraga.

Senaman yang ditunjukkan minggu ini adalah kesinambungan daripada senaman yang dipaparkan sebelum ini, namun ia lebih sukar dan lebih teknikal. Mengamalkan senaman ini dapat meningkatkan kestabilan serta menguat dan memantapkan bahagian teras badan.

Latihan kecergasan yang dikenali sebagai lower body torso rotation (putaran torso bawah badan) ini mensasarkan kepada otot obliques (tepi abdomen), dari tengah hingga ke sisi yang juga bahagian bingkai kepada otot six packs.

Bahagian otot ini penting serta banyak membantu atlit olahraga yang menyertai acara balingan dan lompatan seperti rejam lembing, galah panjang dan tukul besi.

Ikuti maklumat dan teknik senaman yang ditunjukkan jurulatih kecergasan Universal Fitness & Leisure, Mohd Hoesni Rahmat seperti berikut;

Langkah

1. Baring dengan kepala menghadap ke atas manakala kedua-dua belah tangan diletakkan di tepi badan.

2. Angkat kaki lurus ke atas kira-kira 90 darjah dan pastikan keadaan kaki sentiasa lurus sepanjang senaman. Namun, anda sebenarnya boleh juga memulakan senaman dengan posisi kaki yang bengkok seperti yang ditunjukkan dalam gambar.

3. Selepas itu, tarik nafas dan keraskan bahagian abdominal kemudian jatuhkan kaki anda ke sebelah kanan. Pastikan pergerakan dilakukan dalam keadaan terkawal dan seboleh-bolehnya rapatkan kaki ke permukaan lantai.

4. Sementara itu, pastikan bahagian atas badan kekal seperti kedudukan permulaan.

5. Berhenti seketika dan angkat semula kaki menegak seperti pergerakan awal tadi.

6. Ulang pergerakan yang sama, kali ini jatuhkan kaki ke sebelah kiri badan pula. Apabila anda siap melakukan pergerakan ke kiri dan ke kanan, anda dikira melengkapkan satu bilangan senaman ini.

Lakukannya sebanyak lima hingga 10 kali dalam tiga set.

TIP

Anda dinasihatkan supaya tidak melakukan senaman ini sekiranya mengalami sakit belakang badan. Kecederaan boleh berlaku akibat membengkokkan badan dari sisi ke sisi dalam senaman ini.



 
Chatroom