Lumrah kehidupan anak seni bukan semuanya dilimpahi kemewahan seperti yang dibayangkan. Di sebalik kejayaan mengukir nama dan dikenali peminat, mereka turut melalui pelbagai pengalaman suka, duka malah ada yang melucukan.
Kunjungan Ramadan yang disambut umat Islam melakar sejarah kerana RTM tampil berkongsi pengalaman berpuasa dan sambutan raya sewaktu artis kita masih bergelar kanak-kanak.
Antara mereka Rosnah Mat Aris, Mamat Khalid, Salih Yaacob, Nabil Ahmad, Rosyam Nor, Datuk Aziz Sattar, Kartina Aziz, Khatijah Tan, Fauziah Nawi, Jalil Hamid dan Norlia Ghani menerusi program Nostalgia Ramadan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 4.10 petang di TV1.
Ia bermula dengan kisah Rosnah Mat Aris yang menceritakan kepada penonton mengenai pengalaman pertama kali berpuasa ketika zaman kecilnya.
Rosnah sayu berkongsi pengalaman pahit apabila rumahnya terbakar pada malam raya. Ini bermakna segala persiapan menyambut raya habis musnah.
"Memang kehidupan saya ketika zaman kanak-kanak susah. Malah sikap nakal ketika berpuasa di kampung membuatkan saya selalu tersenyum apabila terkenang semula. Budaya orang kampung dulu berpuasa dan raya memang tak macam orang sekarang," katanya.
Ketahui juga rahsia pengarah Mamat Khalid bagaimana cara kawan-kawannya mengejutkan Mamat bangun sahur iaitu dengan membakar mercun di tingkap bilik.
Yang lucunya, Mamat dan kawan-kawannya pernah tersalah tingkap apabila rupanya membakar mercun di tingkap bilik ayah kawan mereka.
Malah Mamat juga pernah 'membedal' juadah untuk imam ketika berbuka di surau kerana makanan itu dilihat sungguh menarik berbanding juadah orang lain.
Dengar pula gelagat Salih Yaacob yang kecur air liur sangat melihat susu getah yang rupanya macam air susu. Selain itu Salih teringat bagaimana cabaran puasa yang hebat apabila ibunya meminta dia menghantar kuih ke rumah jiran dan jiran itu pula membalas dengan kuih kegemarannya.
Akibat terlalu lapar, Salih terus menyorok dalam semak lalu memakan sebahagian daripada kuih itu.
Raja Lawak, Nabil pula pernah dicekup neneknya kerana mencuri makan ketika bulan puasa. Tatkala di surau pula, apabila orang solat terawih, Nabil merembat motosikal orang lalu meronda keliling kampung.
Bijaknya, sebelum orang habis bersolat, dia akan balik semula ke surau itu untuk memulangkan motosikal berkenaan. Lucunya tuan punya motosikal itu yang kehabisan minyak gara-gara kenderaannya, 'dirempit' Nabil.
Produser dan pelakon Rosyam Nor pula teringat zaman kanak-kanaknya apabila terpaksa menjual ais batu bersalut habuk kayu untuk mencari duit raya.
Rosyam turut mengimbau kesusahan keluarganya yang tinggal di rumah setinggan. Pada waktu malam, dia juga suka bermain bunga api buatan sendiri dengan menggunakan penggosok periuk.
Sedihnya pada hari raya ketiga, barulah Rosyam dapat membeli kasut baru. Itupun selepas mendapat duit raya yang diberi jiran dan saudara-mara.
Program menarik 26 episod ini turut berkongsi kisah menarik bintang veteran Datuk Aziz Sattar yang suka bermain ular-ular untuk menakutkan orang yang lalu-lalang di malam hari.
Berbeza pula dengan Kartina Aziz yang mesti 'kena dipuji' dulu untuk bangun bersahur. Rakannya, Khatijah Tan pula tidak ubah macam tomboy kerana mahu potongan baju rayanya seperti budak lelaki.
Selain itu, Fauziah Nawi berkongsi pengalaman bagaimana ayahnya membeli kasut raya dengan mengukur saiz kaki dengan tali rafia. Ini kerana ayahnya tidak mampu membawa semua anak-anaknya membeli-belah di bandar.
Jalil Hamid pula sangat nakal kerana pernah 'menganiaya' seorang budak apabila mengorek hidung budak itu kononnya hendak membatalkan puasanya.
Mama Norlia (Ghani) menceritakan, baju raya dia dan adik-beradiknya dulu sengaja dibuat besar-besar supaya boleh dipakai lagi untuk tahun akan datang. Jadi jangan lupa menyaksikan program yang menarik ini.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...