Home » » Latihan regangan mampu atasi kecederaan

Latihan regangan mampu atasi kecederaan

Apa yang dimaksudkan dengan latihan regangan? Adakah kita sedar kepentingan melakukan regangan sebelum dan selepas melakukan aktiviti senaman?

Secara umumnya, ramai yang tahu mengenai latihan regangan, tetapi tidak ramai yang tahu mengenai kepentingan dan faedah melakukan aktiviti ini.

Menurut kajian dilakukan pakar kecergasan, kadar kecederaan dapat dikurangkan sebanyak 25 peratus jika seseorang mengambil langkah pencegahan yang sesuai sebelum atau ketika melakukan aktiviti senaman.

Kali ini, saya akan kupas serba sedikit mengenai kepentingan dan faedah melakukan latihan regangan sebelum dan selepas melakukan aktiviti senaman.

Memanaskan badan atau latihan regangan yang betul penting untuk pencegahan kecederaan. Pastikan aktiviti memanaskan badan anda sesuai dengan sukan atau senaman yang hendak dilakukan.

Lakukan pergerakan membabitkan regangan dinamik dan melakukan aerobik yang mudah. Kecuali jika anda penari mahupun ahli gimnastik, elakkan regangan statik atau pasif kerana aktiviti pemanasan badan seperti ini sebenarnya meningkatkan risiko kecederaan.

Terdapat beberapa faedah dan kepentingan melakukan regangan sebelum atau selepas melakukan senaman. Ia memelihara fleksibiliti agar dapat mengelakkan kecederaan serta meningkatkan dan melancarkan perjalanan darah dalam anggota badan.

1. Meningkatkan fleksibiliti

Fleksibiliti untuk mengimbangi anggota badan amat penting agar kita dapat melakukan sesuatu aktiviti atau senaman dengan baik. Ia juga dapat mengelakkan risiko kecederaan semasa bersukan. Aktiviti regangan yang dilakukan dapat meningkatkan fleksibiliti kerana mengimbangi otot di sekeliling sendi sekali gus memperbaiki postur badan.

Selain itu, ia dapat mengimbangi koordinasi tubuh badan agar dapat mengurangkan risiko terjatuh. Kekurangan fleksibiliti boleh menyebabkan pergerakan anda menjadi perlahan selain terdedah kepada ketegangan otot serta menyebabkan kecederaan tisu otot yang lembut. Oleh itu, cara paling berkesan meningkatkan fleksibiliti adalah dengan melakukan regangan.

2. Mengelakkan kecederaan

Sering didengari kita harus melakukan regangan terlebih dulu sebelum dan selepas senaman. Ini kerana apabila melakukan regangan, kita dapat mengelakkan kecederaan dengan memanaskan dan menyejukkan otot tubuh badan.

Untuk makluman, konsep memanaskan badan dengan melakukan regangan ini untuk melindungi otot, tendon dan ligamen agar tidak mengalami kecederaan ketika melakukan pergerakan senaman.

Hal ini perlu dititikberatkan bagi senaman yang berat seperti membaling dan menendang bola yang memerlukan banyak pergerakan. Selain itu, jika berhenti secara tiba-tiba selepas melakukan senaman tanpa lakukan aktiviti regangan, ia berkemungkinan besar akan menyebabkan ketegangan sendi otot. Oleh itu, lakukan regangan terlebih dulu sebelum dan selepas melakukan sebarang aktiviti.

3. Melancarkan pengaliran darah

Pengaliran darah yang lancar di dalam tubuh badan akan membolehkan kita berada dalam keadaan yang selesa untuk melakukan sebarang aktiviti.

Ketika melakukan regangan, ia akan meningkatkan pengaliran darah melalui tisu yang lembut dengan melebarkan saluran darah dalam badan. Ia menyebabkan suhu meningkat dan anggota badan akan menjadi selesa dan bertenaga.

Terdapat juga kajian yang mengatakan regangan dapat meningkatkan fungsi arteri dan tekanan darah rendah.

Pengaliran darah juga dapat mempercepatkan pemulihan otot dan kecederaan sendi. Ini kerana, ia membekalkan nutrien kepada otot dan tulang rawan yang turut akan mengurangkan kesakitan otot selepas melakukan senaman atau sesuatu aktiviti.

Adakah perlu makan sebelum dan selepas bersenam? Selain melakukan aktiviti regangan sebelum dan selepas senaman, kita juga harus peka terhadap pemakanan yang diambil untuk melakukan senaman.

Terdapat perbezaan mengenai pemakanan yang diambil dengan senaman yang mempunyai matlamat berbeza. Sebagai contoh, jika seseorang ingin mengurangkan berat badan dan melakukan senaman kardio, elak atau kurangkan mengambil makanan yang bersumberkan karbohidrat dan lebihkan makanan protein sebelum melakukan larian atau senaman kardio.

Tubuh kita dapat membakar sumber tenaga iaitu lemak yang berlebihan. Bagi mereka yang ingin melakukan senaman untuk membina kecergasan badan, mereka boleh mengambil glukosa penambah tenaga.

Paling penting, ambil makanan seimbang daripada karbohidrat dan protein agar dapat memberi tenaga ketika melakukan senaman dan memberikan persembahan bertenaga untuk aktiviti yang dilakukan.

Seeloknya, pastikan anda mengambil makanan secukupnya mengikut keperluan kalori masing-masing dan jangan makan dengan jumlah yang banyak kerana ia juga akan mendatangkan kesan yang tidak elok semasa melakukan senaman.

Kesimpulannya, kita harus peka terhadap setiap perkara yang dilakukan untuk memulakan sesuatu senaman atau aktiviti yang diceburi.

Biasakan diri dengan melakukan aktiviti pemanasan atau regangan kerana ia amat penting bagi membolehkan otot badan kita bekerja dalam keadaan yang selesa dan sihat.

Kenal pasti terlebih dulu matlamat senaman dan aktiviti yang kita ingin lakukan iaitu sama ada mahu mengurangkan berat badan atau mempamerkan persembahan yang bertenaga ketika melakukan aktiviti sukan berkenaan. Ini kerana, terdapat perbezaan untuk pengambilan sumber makanan untuk aktiviti itu.

Oleh Kevin Zahri



 
Chatroom