Home » » Petua Kurus: Jangan Lupa Makan Bila Berdiet

Petua Kurus: Jangan Lupa Makan Bila Berdiet

Berdiet jangan sampai lupa makan

Semua orang ingin memiliki tubuh badan yang cantik, kurus dan ramping. Justeru, ramai sanggup berhabis ratusan mahupun puluhan ribu ringgit semata-mata untuk kelihatan kurus, cantik dan menawan. Itulah kesan daripada pengiklanan yang banyak menonjolkan imej model sebegitu. Hakikatnya kita perlu kurus untuk sihat. Jangan berlapar atau `diet' dengan cara yang tidak sihat untuk kurus. Ukurlah bentuk badan sendiri dan jangan mengukur dengan bentuk badan orang lain.



Petua kurus

Di sini ada beberapa petua mudah untuk kuruskan badan dengan makan makanan yang baik dan menjaga kesihatan yang boleh diikuti oleh anda. Sihat sepatutnya menjadi matlamat utama dalam usaha menguruskan berat badan dan bukanlah rupa cantik semata-mata. Kesihatan itu lebih mahal harganya.

* Petua pertama mengelakkan makanan ringan. Ini kerana makanan ringan tidak mengandungi sebarang khasiat lengkap untuk tubuh badan dan hanya mengandungi karbohidrat dengan kalori berlebihan di samping pelbagai pengawet dan perisa tiruan yang berbahaya untuk kesihatan.

* Petua kedua adalah makan makanan karbohidrat yang tinggi dengan kandungan serat atau fiber seperti roti berserat penuh (wholemeal), beras perang, oat dan sebagainya. Karbohidrat jenis ini berglisemik indeks rendah. Ambil makanan berkarbohidrat seperti nasi dalam jumlah terkawal bergantung kepada aktiviti fizikal dan makanlah nasi atau roti dengan sayur-sayuran dan ulam-ulaman dalam kuantiti yang banyak.

* Petua ketiga pengambilan protein sihat iaitu protein putih. Kurangkan sumber protein merah seperti daging yang kaya dengan lemak tepu. Makanan tinggi protein putih seperti ikan, tauhu, tempe, telur, udang atau sotong. Elok juga dipelbagaikan sumber protein untuk badan kita seperti daripada sumber kekacang.

* Petua keempat makan banyak buah-buahan. Seperti yang kita ketahui buah-buahan mempunyai pelbagai khasiat antioksidan, mineral dan vitamin untuk tubuh badan anda. Di samping itu, buah-buahan juga kaya dengan serat atau fiber walaupun rasanya manis, ia mempunyai indeks glisemik yang rendah. Jadi amalkan makan buah-buahan sebelum makan, terutama buah-buahan seperti jambu batu, mangga, limau, oren, epal, betik, belimbing dan sebagainya. Buah-buahan yang berglisemik indeks tinggi perlu dimakan sedikit sahaja seperti buah durian, pisang, anggur, kurma, tembikai dan sebagainya.

* Petua kelima apabila kita sarapan pagi, tengah hari dan malam pastikan menu makanan yang betul. Jangan berlapar dan meninggalkan makan. Pastikan setiap makanan atau menu yang diambil mengandungi khasiat seimbang iaitu lengkap dengan karbohidrat, lemak, protein, serat dan air.

Minum air kosong

* Petua keenam banyakkan minum air kosong atau air mineral. Air kosong membantu membakar kalori berlebihan dalam badan kerana berkalori kosong dan memerlukan kalori untuk diproses dalam tubuh manusia. Kesannya ia akan menjadikan air sebagai negatif kalori. Sentiasa minum air kosong dan amalkan lapan gelas air kosong sehari. Elakkan minuman manis dan berkarbonat kerana gula dalam minuman mempunyai kalori yang tinggi dan indeks glisemik yang tinggi.

* Petua ketujuh amalkan pengambilan suplemen seperti multivitamin, vitamin C, vitamin E , antioksidan, Omega 3, mineral kalsium, magnesium, zink, chromium, selenium dan lain-lain. Ini membantu mengekalkan sistem metabolisma tubuh ke tahap optimum. Banyak kajian membuktikan pengambilan suplemen seperti Omega 3 boleh menurunkan berat badan.

* Petua kelapan pengambilan probiotik secara kerap. Probiotik akan membantu membekalkan bakteria baik dalam usus yang membantu penghadaman yang lebih baik dan meningkatkan imuniti. Pelbagai jenis minuman dangan kultur hidup terdapat di pasaran sekarang yang kaya dengan probiotik.

Mudah-mudahan dengan petua yang diberikan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda memiliki berat badan ideal untuk tubuh anda.

Ada satu lagi petua makan untuk menurunkan berat badan anda iaitu 'makan masa'. Teruskan usaha secara konsisten untuk mendapat kesihatan yang baik, wajah berseri, tubuh kurus dan menawan. Semoga berjaya.




Oleh Dr Norman Mohd Norawi
* Penulis Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Anti Penuaan & Perubatan Regeneratif



 
Chatroom