Home » » Sinopsis Mak Lang Datang Kompang Bergendang

Sinopsis Mak Lang Datang Kompang Bergendang

Sinopsis Mak Lang Datang Kompang Bergendang

Drama bersiri komedi Mak Lang Datang Kompang Bergendang menceritakan Mak Lang yang terkenal sebagai pakar mencari jodoh di kampungnya. Tugasan terbaru Mak Lang ialah mencari seorang `gadis Melayu terakhir' untuk anak lelaki Che Yah iaitu Fitri. Salah satu syarat yang ditetapkan oleh Che Yah bakal menantunya mestilah memiliki ciri-ciri seorang perempuan Melayu yang ayu, cantik, bersopan-santun serta pandai memasak terutama acar buah seperti Mak Lang.

Fitri tidak bersetuju kerana dia sudah mempunyai kekasih dan tidak akan berpisah dengan gadis itu. Fitri bersumpah dia tidak akan berkahwin dengan gadis lain melainkan kekasihnya. Selepas mendengar kata-kata Fitri, Mak Lang berada dalam dilema kerana sudah berjanji dengan Che Yah untuk carikan calon isteri berdasarkan kriterianya. Kini, Mak Lang berasa kasihan pula dengan Fitri yang akan kecewa dan dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak dicintai.

Ketika Mak Lang ligat berfikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah Che Yah, Maya muncul. Maya memberitahu Mak Lang dia datang kerana ingin belajar memasak dengan Mak Lang. Pada mulanya, Mak Lang enggan dan menyuruh Maya balik tetapi Maya tetap merayu serta sanggup menunggu di depan pintu rumah pada waktu malam. Akhirnya Mak Lang mengalah dan menerima Maya sebagai anak murid serta mengajaknya tinggal bersama Mak Lang dan anak lelakinya, Zahar.

Kehadiran Maya menjadi titik bermulanya kisah lucu apabila ramai jejaka di kampung itu cuba mendekatinya. Tarmizi selalu mengambil kesempatan datang ke rumah Mak Lang. Untuk melindungi aktivitinya daripada diketahui isterinya, Jamilah, Tarmizi selalu mengajak Ehsan menemaninya.


Ketika Maya berdepan dengan masalahnya, Fitri juga tidak dapat lari daripada masalah. Che Yah semakin kerap memaksanya memberi sepenuh perhatian kepada syarikat perabot milik keluarga kerana tidak lama lagi dia akan berkahwin. Fitri juga diingatkan agar jangan memandai mencari calon isteri sendiri kerana Che Yah sudah ada caranya tersendiri untuk mencari calon menantunya.

Bagaimana Mak Lang menyelesaikan masalah mendapatkan calon menantu untuk Che Yah kerana dia juga tidak mahu mengecewakan Fitri? Siapakah sebenarnya Maya?


Drama bersiri komedi Mak Lang Datang Kompang Bergendang disiarkan TV3 mulai 7 Januari 2013, setiap Isnin jam 10.00 pagi dalam slot Senda Pagi.

Drama bersiri 13 episod terbitan Pujangga Kreatif Sdn Bhd itu diarahkan M Nazir Juhan dengan barisan pelakon hebat seperti Fauziah Nawi (Mak Lang), Nabil Ahmad (Fitri), Wan Raja (Tarmizi) Leez Rosli (Maya), Fazlina Ahmad Daud (Jamilah), Acong (Ehsan), Norman Hakim (Zahar) dan Norseha (Che Yah).



 
Chatroom