Home » » Telefon bimbit antara punca dan penyebab kemalangan

Telefon bimbit antara punca dan penyebab kemalangan

Telefon punca kemalangan

Menulis atau `bergayut' di telefon ketika kesesakan lalu lintas memang boleh hilangkan bosan tetapi buruk padahnya jika malang berlaku atas kecuaian sendiri.

Sudah banyak kes kemalangan yang kita dengar di televisyen dan baca di akhbar berlaku disebabkan kecuaian sendiri. Antara puncanya termasuklah leka membalas SMS (sistem pesanan ringkas) atau bercakap melalui telefon ketika memandu. Walaupun berbuih mulut mengingatkan bahayanya bertelefon ketika memandu, namun budaya ini tidak pernah luput dalam kalangan masyarakat.

BAHAYA SEPERTI BOM

Telefon bimbit umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa untuk meragut nyawa pemandu dan penumpang kenderaan. Kenyataan itu diungkapkan Ketua Polis Keningau, DSP Zahari pada 2010 dengan merujuk perbuatan menjawab SMS ketika memandu menjadi satu punca berlakunya kemalangan.

Jelas di sini, diri sendiri yang mendorong kepada kecuaian. Kegilaan menjawab SMS dan berinteraksi melalui laman sosial Facebook dengan rakan melalui telefon bimbit menjadi satu budaya dalam kalangan orang ramai, apatah lagi ketika sedang memandu.

Jika kita dapat menghidu malapetaka yang datang, pasti kita akan menjadi terlalu berhati-hati hinggakan sanggup digelar manusia paling sopan di dunia. Tak kiralah ketika memandu atau berjalan kaki, sikap peka akan meningkat berkali ganda.

PASANGAN DILAMUN CINTA LEBIH BERISIKO

Pasangan yang sedang dilamun cinta terdedah kepada risiko kemalangan memandangkan golongan itu adalah pelayar laman sosial Facebook paling aktif di samping pengguna perkhidmatan SMS yang paling tinggi.

Tak dinafikan, jika tersekat berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas, kita akan cuba untuk melakukan sesuatu bagi menghilangkan rasa bosan. Apatah lagi ada yang sanggup melayan kebosanan anda dengan tak putus-putus menjawab SMS, WhatsApp, Line atau apa saja aplikasi berkaitan.

Sekiranya kelajuan kereta kurang daripada 20km/j, mungkin risiko menyebabkan kemalangan maut bagi pemandu agak tipis tetapi masih membahayakan nyawa orang lain terutama pemandu motosikal.

Logiknya, apabila leka `membelek' telefon, ia secara tak langsung mengganggu tumpuan ketika memandu. Apatah lagi jika kereta dipandu laju, bahaya akan wujud di sekeliling kita. Walau apa juga kes kemalangan ngeri dilaporkan, namun budaya ini masih tidak dapat dilupuskan dalam kalangan masyarakat.

MAUT KETIKA SMS TEMAN LELAKI

Kes kemalangan (2010) Emy Brochu yang bermain SMS dengan teman lelakinya, Mathieu Fortin ketika dia sedang memandu boleh dijadikan iktibar dan ingatan kepada kita. Tragedi yang meragut nyawa Emy pada malam kejadian nyata meninggalkan kesan mendalam kepada teman lelaki dan keluarganya.

Laporan bertajuk `A Girlfriend's Last Words That Were Texted to Her Boyfriend' seperti dipaparkan di www.viralnova.com menjelaskan kekecewaan Mathieu kerana dia adalah orang terakhir yang berkomunikasi dengan mangsa. Leka menaip SMS ketika memandu menyebabkan kemalangan itu meragut nyawa teman wanitanya.

Lebih menyayat hati apabila SMS terakhir dihantar Emy berbunyi `Saya juga cintakan awak. Saya sanggup lakukan apa saja untuk membuatkan awak gembira Encik Fortin (I love you too and I'd do anything to make you happy Mr Fortin). Namun Mathieu tidak menyangka itu kata-kata terakhir Emy kepadanya. Pasangan itu juga dilaporkan bercadang untuk berkahwin tidak lama lagi.

Mathieu berkongsi kesedihan dengan menasihati orang ramai supaya sentiasa mengingati kes Emy sebagai pengajaran dalam kehidupan seharian.

"Adakah SMS dan e-mel lebih penting daripada nyawa sendiri? Apakah yang ada di telefon anda lebih bernilai daripada orang yang anda sayang? Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya berharap setiap kali anda melihat telefon ketika sedang memandu, anda akan terfikir mengenai Emy dan orang yang menyayanginya," katanya.

TAK SERIK

Hakikatnya, walaupun sejuta kes kemalangan dilaporkan berlaku setiap tahun disebabkan alat telekomunikasi ini, adakah masyarakat akan sedar mengenai bahayanya? Ada yang berkata, manusia tidak akan sedar selagi tidak kena batang hidung sendiri. Mungkin ada benarnya.

Justeru, penggunaan telefon bimbit ketika memandu dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyumbang kemalangan membabitkan pengguna jalan raya tetap wujud hingga ke hari ini.

Pada 2009, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan, Mohd Rusdi Ismail berkata, kesedaran mengenai bahaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu dalam kalangan pengguna jalan raya masih berada pada tahap yang membimbangkan.

"Berdasarkan pemerhatian dan rondaan yang dijalankan pihak JKJR, kami mendapati masih ramai pemandu yang leka menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan ketika memandu.

"Ia dikenal pasti sebagai salah satu penyebab kemalangan di mana pemandu gagal untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap pemanduan ketika berada di jalan raya," katanya.

~Harian Metro



 
Chatroom