Home » » Kembar seiras, kembar tidak seiras dan kembar siam

Kembar seiras, kembar tidak seiras dan kembar siam

Kembar seiras, kembar tidak seiras dan kembar siam

Hidup sebagai pasangan kembar boleh diibaratkan seperti mempunyai kawan baik yang sama-sama berkongsi detik pertama melihat dunia. Keakraban bukan hanya boleh dilihat dari segi hubungan fizikal contohnya percantuman badan atau bahagian tapi turut membabitkan emosi dan perasaan.

Meskipun seseorang itu mempunyai rakan karib yang boleh dikatakan tahu apa saja berkaitan dirinya, tapi hakikat sebenar adalah mereka tetap dua individu berbeza. Berlainan bagi pasangan kembar, tahap keserasian berada pada tahap tidak dapat disangkal lagi kerana mereka ibarat bayang-bayang yang berkongsi pahit manis hidup sejak kecil.

Secara umumnya, kembar terbahagi kepada tiga iaitu kembar seiras, kembar tidak seiras dan kembar siam.

Dari segi saintifiknya, kembar seiras berlaku apabila telur disenyawakan (zigot) terbahagi kepada dua individu yang biasanya setiap satu mewarisi gen sama. Kembar tidak seiras pula terjadi apabila dua telur disenyawakan oleh dua sperma berbeza manakala kembar siam atau kembar melekat berlaku apabila zigot tidak membahagi secara sempurna.

Istilah kembar siam terawal dikatakan tercipta dari pasangan kembar siam terkenal Chang dan Eng Bunker (1811-1874) yang dilahirkan di Thailand. Kedua-duanya mengembara bersama ahli sarkas P.T. Barnum selama bertahun-tahun sekali gus menjadikan mereka popular dengan panggilan `Kembar Siam'. Difahamkan, kejadian kembar siam banyak dilaporkan di Asia Tenggara dan Afrika dan dipercayai kerap berlaku pada bayi perempuan berbanding lelaki.

Seperti yang diketahui, pasangan kembar selalu menghabiskan masa bersama dan akrab antara satu sama lain. Meskipun ketika meningkat usia dewasa mereka menyukai atau berkawan rapat dengan orang lain, namun hubungan itu pasti tidak akan terputus. Dan ini dibuktikan apabila masih ada pasangan kembar yang gemar menggayakan baju corak sama walaupun sudah dewasa.

Ada sumber mengatakan individu dengan paras rupa sama ini biasanya memilih untuk membentuk identiti sendiri selepas usia sembilan atau 10 tahun. Fasa kematangan dalam hidup menjadikan mereka untuk tidak bergantung antara satu sama lain.

Sejak berabad lamanya, kewujudan kembar berjaya menarik perhatian orang kebanyakan. Mereka dilihat sebagai entiti istimewa dalam kelompok masyarakat biasa. Justeru, tidak hairanlah pasangan kembar menjadi lebih dikenali dalam satu-satu kawasan kejiranan, sekolah mahupun universiti.

Antara selebriti terkenal tempatan dan luar negara yang berjaya mencuri perhatian termasuk pemain bola sepak, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, anggota kumpulan Good Charlotte, Benji dan Joel Madden serta pelakon, Mary Kate dan Ashley Olson.

Jika segelintir pihak menganggap leceh sekiranya mempunyai adik beradik kembar, tapi tahukah anda pelbagai perkara menarik dapat dilakukan dengan individu yang menyerupai wajah anda. Pengalaman manis ini dikongsi pasangan kembar yang menceritakan keseronokan dan cabaran hidup dengan `bayang-bayang' sendiri.

SAMA TAK SERUPA

1. Tanda lahir

Tanda lahir adalah `alat' yang sangat diperlukan untuk orang lain sebagai membezakan sepasang anak kembar, terutama bagi kembar seiras. Anda boleh bezakan melalui tahi lalat atau parut di badan pasangan kembar. Tapi, bagi orang terdekat seperti ibu bapa, tanda lahir tak begitu penting. Mereka boleh membezakan antara salah seorang dengan hanya dengan mendengar suara saja.

2. Suara

Suara saudara kandung tak akan sama, tapi sebahagian besar anak kembar mempunyai suara hampir sama. Walaupun sama, tapi lenggokan suara tetap berlainan. Ada yang lantunan suara lebih lembut dan ada yang kasar. Jadi, fokus dan ingat nada suara rakan kembar anda supaya anda tidak diperdaya mereka.

3. Gerak-geri

Cuba perhatikan sepasang anak kembar. Cara mereka berjalan, berbicara atau melakukan aktiviti pasti seakan-akan sama. Hal ini biasa terjadi kepada pasangan kembar yang tak terpisah sejak lahir dan membesar bersama. Seorang anak kembar akan melihat perilaku saudara kembarnya sebelum meniru pada dirinya sendiri. Tapi caranya pasti tidak akan 100 peratus sama.

4. Saiz badan

Mungkin ia jarang berlaku kerana setiap pasangan kembar selalunya membesar dalam pakej sama. Tetapi ada juga kembar yang berlainan bentuk dan saiz badan. Ada kurus dan gemuk, dan ada juga tinggi dan rendah. Bentuk muka seperti mata juga boleh jadikan anda senjata untuk kenal pasti mereka.

Kembar 3:

Kelantan.

Kehadiran pasangan kembar tiga Nurul Aiza Farhana Shahrul Aswan, Nurul Aina Farhana dan Nurul Aida Farhana, kini berusia lapan tahun ternyata menarik perhatian ramai pada hari pertama persekolahan mereka.

Kembar 4:

Guangdong, China

Jiang Yunlong, Jiang Yunxiao, Jiang Yunhan dan Jiang Yunlin.

Pasangan kembar empat seiras itu menghadiri sesi persekolahan pertama mereka di bandar Shenzhen, wilayah Guangdong dengan kepala bertanda nombor untuk memudahkan guru kelas membuat pengecaman.

Kembar 5:

Melaka

Pasangan beradik kembar lima - Alya Zulaika, Muhammad Azhar, Muhammad Azfar, Muhammad Azzam dan Alya Su'aidah meraikan kejayaan mereka ketika memperoleh keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Kelima-lima mereka kini berusia 22 tahun.

Kembar 7:

Tujuh adik beradik kembar iaitu Kenny, Alexis, Natalie, Kelsey, Nathan, Brandon dan, Joel McCaughey yang dilahirkan pada 1997 menyambut hari kelahiran mereka dengan penuh kemeriahan. Difahamkan, mereka adalah kembar tujuh pertama di dunia yang dapat bertahan hidup hingga dewasa.

Kembar 8:

Kembar lapan dengan enam daripadanya lelaki dan dua perempuan ini dilahirkan pada 2009. Ibu kepada pasangan kembar ini adalah Nadya yang wajahnya dikatakan mirip selebriti terkenal, Angelina Jolie.

Kembar 12:

Shanghai, China.

Jinan Huang, seorang ibu yang berumur 33 tahun melahirkan bayi kembar 12 di Shanghai dan difahamkan tempoh melahirkan kesemua bayinya adalah selama 31 jam.




 
Chatroom