Home » » Ikhlas memberi kemaafan menghapus dendam

Ikhlas memberi kemaafan menghapus dendam

Ikhlas beri kemaafan hapus dendam

Hidup kita di dunia ini tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan dan kesenangan dengan mudah. Mesti ada yang terluka dan bersedih hati dalam perhubungan sehari-hari dengan pelbagai ragam perwatakan manusia. Ia salah satu cabang daripada ujian Allah SWT kepada manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbiyaa', ayat 35)

Sebagai manusia biasa, sudah semestinya perasaan sakit dan terluka hati sukar untuk dibuang. Jika terlalu lama memendam rasa sakit dan terluka, maka perasaan dendam pula akan mengambil alih tempatnya.

Apabila mendapat tahu seseorang mengumpat dan memfitnah diri kita, maka rasa sakit hati dan marah akan serta merta muncul. Rasa diri dikhianati atau mungkin maruah yang ada pada diri tercalar dan tercabar. Ini perasaan yang normal pada seorang manusia biasa.

Tatkala pihak yang melakukan kesalahan itu datang memohon maaf, ada antara kita dengan rela hati memaafkan tetapi ada juga yang berkata maaf, tetapi masih menyimpan dendam dalam hati. Itu bukan kemaafan yang dituntut oleh Islam.

Kemaafan tidak datang dari jiwa

Apabila kemaafan bukan datang dari jiwa maka dendam akan menguasai hati dan jiwa. Boleh jadi seseorang yang masih berdendam itu akan melakukan perkara yang lebih kurang sama dengan orang pernah mengaibkan atau menjatuhkan air mukanya.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak sempurna keimanan seseorang, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari)

Ingatlah, orang yang bersalah, apabila datang kepada kita untuk memohon kemaafan dan kita memberi kemaafan dengan tidak sepenuh hati, maka urusannya dengan kita telah selesai. Selebihnya, urusan kita dengan Allah SWT pula.

Orang yang memberi kemaafan dengan ikhlas akan terlepas daripada perasaan dendam dan sakit hati. Ketenangan hati dan kelapangan jiwa akan wujud dalam dirinya sehingga melebarkan senyuman setiap hari seolaholah tiada apa yang berlaku antara pesalah dengan dirinya.

Sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah." (Riwayat Bukhari)

Sebagai manusia biasa ada kala kita berhadapan kesukaran untuk memaafkan orang lain, tetapi sifat orang yang mudah memaafkan adalah akhlak Muslim terpuji. Janganlah ada dalam kalangan kita yang berdendam sehingga bersumpah tidak memberi sebarang bantuan kepada orang yang bersalah.

Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu. Dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah an-Nuur, ayat 22)

Rasulullah SAW seorang yang pemaaf dan sebab itu Baginda menuntut umatnya untuk memaafkan kesalahan orang lain. Sungguh malu apabila terkenangkan perjalanan hidup Rasulullah SAW yang bukan saja diumpat, dikatakan gila, malah dibaling batu sehingga luka berdarah.

Baginda SAW boleh saja meminta kepada Allah SWT untuk diturunkan bala seksaan, tetapi menolak untuk berbuat demikian.

Kemaafan adalah ubat yang boleh menyejukkan dendam membara dalam hati. Mudah-mudahan dengan adanya sifat memberi kemaafan terhadap orang lain akan memudahkan juga orang lain memberi kemaafan terhadap kita sekiranya mempunyai kesalahan terhadap mereka.

Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus; Wan Sulaini Wan Ambak



 
Chatroom