Home » » Sindrom ADHD orang dewasa, cabaran dan rawatan

Sindrom ADHD orang dewasa, cabaran dan rawatan

Sindrom ADHD orang dewasa

Sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) tidak hanya berlaku kepada kanak-kanak, malah ia juga boleh dihadapi orang dewasa.

Jika anda sukar mengurus tugasan dengan baik, pelupa dan tidak dapat memberi tumpuan dalam perbincangan, ia mungkin petanda masalah ADHD.

Lazimnya, ADHD dikaitkan dengan masalah pembangunan kanak-kanak. Penghidap ADHD mempunyai ciri khusus seperti kurang tumpuan, hiperaktif dan suka mengikut gerak hati. Kira-kira 60 peratus kanak-kanak ADHD berisiko menghadapi masalah berkenaan yang berlanjutan sehingga dewasa.

Orang dewasa yang mengalami ADHD biasanya sukar mengikut arahan, mengingat maklumat, hilang daya tumpuan, gagal mengurus atau menyiapkan tugasan dalam masa ditetapkan.

Jika kesukaran dialami tidak diurus dengan baik, ia mungkin menimbulkan masalah berkaitan tingkah laku, emosi, sosial, kemahiran dan akademik.

Kesedaran mengenai ADHD sangat penting untuk membantu individu berkaitan mendapatkan rawatan sepatutnya.

Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh berkata, ADHD dikategorikan sebagai masalah perkembangan saraf dan ia berkaitan dengan tingkah laku seseorang.

"Ia boleh berlaku ketika kecil dan berterusan hingga dewasa. Ciri seperti hiperaktif, tidak terurus dan tumpuan yang lemah antara masalah biasa dihadapi. Ia boleh menjejaskan emosi sekaligus mengganggu hubungan dengan pasangan, ibu bapa atau rakan sekerja," katanya.

Tambahnya, pesakit mungkin mampu memulakan sesuatu tugasan diberi dengan baik tetapi penamatnya kurang memuaskan.

Apabila tugasan disiapkan tidak sempurna, pemikiran bercelaru dan sering menjadi pelupa sekaligus menimbulkan masalah dalam organisasi.

Lazimnya, mereka ini tidak fokus dan kurang sabar. Namun, akan menjadi sangat fokus jika melakukan sesuatu tugasan yang diminati.

Masalah mereka ini hanya disedari apabila ada rakan sekerja atau pasangan merungut mengenai tingkah laku dan kegagalan seseorang itu menyiapkan tugasan.

Justeru, bantuan segera diperlukan jika individu berkenaan mengalami tekanan yang menyebabkan kemurungan, kegelisahan, sentiasa panik dan berkemungkinan dibuang kerja.

Mungkin ketika kecil ADHD tidak menjadi masalah besar kerana mempunyai ibu bapa yang sering memberi perhatian kepada anak. Namun, apabila dewasa, ia akan mengganggu perjalanan hidup individu ADHD kerana perlu berdikari.

Sebagai penyelesaian, ada individu mengambil jalan singkat dengan menggunakan dadah untuk menjadikan mereka lebih fokus bagi menyiapkan tugasan.

Rawatan

Satu ketika dulu, rawatan pertama yang ditawarkan kepada penghidap ADHD orang dewasa adalah ubat perangsang. Kajian melaporkan kira-kira dua pertiga orang dewasa yang diberi ubat perangsang menunjukkan perubahan ketara dalam gejala ADHD.

Namun, kadangkala ubat perangsang ini ada kekurangannya kerana kesannya tidak lama. Oleh kerana pesakit dewasa mengawal sendiri pengambilan ubat mereka, berlakulah masalah kegagalan mematuhi jadual pengambilan ubat kerana terlupa atau tidak mengikut dos ditetapkan.

Kesannya, mereka mungkin menghadapi masalah membabitkan kerja rumah, membayar bil, membantu anak menyiapkan tugasan sekolah, memandu atau terdorong menggunakan ubatan lain untuk menenangkan fikiran.

Selain itu, rawatan berbentuk psikologi seperti terapi tingkah-laku akan diberikan kepada individu ADHD bagi membantu mengubah kelakuan atas kemahuan diri sendiri.

"Rawatan akan memberi tumpuan cara mengurus tekanan, mengurangkan kebimbangan dan membantu meningkatkan keyakinan diri.

"Bimbingan diperlukan untuk membantu mengubah individu itu menjadi lebih terurus dalam menyiapkan tugasan harian di pejabat mahupun di rumah.

"Bukan itu saja, mereka juga akan diberi latihan untuk membina hubungan lebih baik dengan rakan sekerja dan pasangan di samping membantu meningkatkan prestasi," katanya.

Penilaian mendalam, perancangan rawatan, pengurusan ubat, terapi, pendidikan dan sokongan keluarga diperlukan untuk membantu pesakit membina keyakinan diri.

Disebabkan ADHD sering dikaitkan dengan gangguan seperti masalah pembelajaran, kebimbangan dan emosi, penilaian yang mendalam adalah langkah komprehensif kepada pesakit.

INFO

* Menurut laman web Canadian ADHD Resource Alliance (CADDRA), CADDRA.ca, sesetengah orang dewasa yang menghadapi masalah ADHD akan berhadapan dengan beberapa cabaran. Antaranya:

* Masalah dalam memberi perhatian, tingkah laku yang mengganggu orang lain atau impulsif sepanjang hayat.

* Cabaran dalam organisasi. Ia membabitkan kesukaran mengurus masa, terlupa janji temu, kerap lewat dan tidak menyiapkan projek atau tugasan diberi.

* Kerja tidak menentu kerap bertukar kerja, kurang persediaan, terlupa tarikh akhir tugasan dan ulasan cara kerja sangat lemah.

* Masalah mengawal kemarahan mungkin akan menyebabkan pertengkaran, terlalu mengongkong dan konflik antara rakan sekerja atau guru yang mengajar anak-anak.

* Tekanan dalam perkahwinan. Pasangan pernah mengadu isteri atau suami yang tidak memberi perhatian ketika bercakap, lupa janji dan tarikh majlis penting.

* Lebih banyak bercakap, mengganggu dan bercakap dengan nada yang kuat.

* Masalah keibubapaan. Ia mungkin menyebabkan masalah kesukaran membentuk sikap sebagai ibu bapa, rutin isi rumah dan tidak konsisten apabila berurusan dengan kanak-kanak.

* Isu pengurusan kewangan membabitkan pembelian secara tergesa-gesa, kegagalan membayar bil atau cukai dan masalah muflis.

* Penyalahgunaan dadah atau gemar mengambil kafein dan alkohol.

* Ketagihan. Misalnya, mengumpul barangan, membeli-belah, makan dan bersenam secara berlebihan, mengelak melakukan hubungan kelamin atau sebaliknya.

* Kerap mengalami kemalangan di tempat kerja atau dalam aktiviti sukan.

* Masalah dalam pemanduan seperti memandu melebihi had laju, kemalangan atau terlampau berhati-hati untuk mengelakkan masalah tumpuan.

* Dianggap berjaya tetapi menunjukkan kemerosotan jika dibandingkan dengan potensi ditunjukkan rakan sekerja lain dalam menyiapkan tugasan sama yang diberi.

* Terlalu memikirkan strategi untuk mengimbangi kelemahan dimiliki, namun masih mengalami masalah dalam kerjaya atau terlalu kuat bekerja.



 
Chatroom