Home » » Kepentingan air - Galak anak minum air

Kepentingan air - Galak anak minum air

Kepentingan air

Badan manusia terdiri daripada 60 hingga 70 peratus air. Air penting untuk pelbagai fungsi dalam tubuh seperti pengangkutan kepada nutrien dan oksigen ke sel badan, mengawal suhu badan, melancarkan sistem penghadaman dan sebagainya.

Kepentingan air tidak ternilai kerana ia menjadi kunci kehidupan dan membangunkan tahap kesihatan seseorang.

Keperluan air untuk orang dewasa dan kanak-kanak berbeza. Jika orang dewasa memerlukan sehingga lapan gelas atau dua liter air, kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun pula memerlukan empat cawan atau satu liter cecair sehari.

Sukatan itu juga meningkat apabila kanakkanak memasuki usia antara empat hingga lapan tahun, iaitu sebanyak lima cawan atau 1.2 liter air untuk tubuh.

Pakar Pemakanan dari Institut Jantung Negara, Chong Mei Kee, berkata kanak-kanak bergerak lebih aktif menjadikan mereka sentiasa memerlukan banyak air, jika tidak cukup tubuh mereka boleh lemah dan dehidrasi.

"Kanak-kanak yang kurang minum air boleh dilihat pada bibir dan kulitnya menjadi kering. Mereka juga kurang kencing dan jika kencing pula, ia menghasilkan bau yang kuat.

"Kurang minum air juga menyebabkan kanak-kanak sembelit, rasa letih, sakit kepala dan kurang air mata ketika menangis. Dehidrasi yang serius mungkin akan membawa maut," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Galak anak minum

Justeru, kanak-kanak wajar digalakkan minum banyak air kosong sejak awal usia supaya mereka suka minum air apabila dewasa.

Tidak kira apa saja jenis minuman sama ada susu, jus buah-buahan, minuman teh, kopi dan sebagainya, ia tetap baik untuk kesihatan, selain mengamalkan makan buah-buahan.

"Ibu bapa perlu menggalakkan anak meminum air selepas setiap hidangan. Ketika makan, biarkan mereka menghabiskan makanan dulu sebelum menyediakan dan memberikan mereka minuman.

"Kanak-kanak ketika dalam proses pembesaran begitu aktif. Jadi, galakkan kanak-kanak minum air sebelum dan selepas bersenam. Ketika bersenam, galakkan minum air setiap 30 minit akibat peluh yang keluar," katanya.

Minum lebih air

Cuaca panas, lama terdedah kepada penyaman udara juga boleh menyebabkan kehilangan air dari badan, sekali gus memberi kesan dehidrasi.

Biasakan diri dengan bekalan air dalam botol Bisphenol A (BPA) yang bebas kesan samping boleh menjejaskan kesihatan.

Galak anak minum air

* Sediakan botol air khas yang menarik untuk kanak-kanak yang mudah dibawa ketika berjalan atau aktiviti luar.

* Galakkan anak minum air sebelum dan selepas bermain atau bersenam.

* Galakkan minum air setiap 30 minit ketika bersenam.

* Sediakan minuman untuk setiap hidangan anak

* Minum lebih air ketika cuaca panas bagi mengelak dehidrasi.

* Minum air walaupun berada dalam kawasan berhawa dingin supaya kulit tidak mudah kering.

Oleh Hidayah Mohammad



 
Chatroom