Home » » Kebaikan diet vegetarian

Kebaikan diet vegetarian

Kebaikan diet vegetarian

Kalau dulu masyarakat India terkenal dengan mengamalkan gaya hidup `vegetarian' kerana sudah menjadi hukum agama mereka untuk mengelakkan daging lembu, tapi hari ini budaya pola pemakanan ini sudah lebih meluas dalam masyarakat bukan India.

Golongan remaja antara yang ramai berpandukan gaya hidup ini bagi memastikan diet seimbang dan menjalani gaya hidup lebih sihat memandangkan terlalu banyak pengaruh makanan tidak elok hari ini.

Vegetarian adalah satu budaya pola pemakanan berasaskan sayuran dan buah-buahan. Ia adalah budaya pemakanan yang tidak membabitkan daging baik jenis daging merah seperti lembu mahupun daging putih seperti ayam dan makanan laut.

Bagaimanapun adakah mengamalkan pola pemakanan secara vegetarian benar-benar menjamin kesihatan seseorang individu dan sekali gus mengelakkan daripada terkena masalah keracunan makanan? Ia menjadi satu persoalan yang mungkin banyak pihak ternganga memikirkannya.

Mengikut rekod yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 3,500 kes keracunan makanan dilaporkan pada tahun 1995. Pada tahun 2010 pula, 12,519 kes dicatatkan atau 44.18 kadar kejadian per 100,000 populasi. Tahun 2011 mencatatkan peningkatan kepada 56.25 kadar kejadian per 100,000 populasi.

Amalan mengamalkan cara hidup vegetarian selalunya kerana didorong oleh pelbagai penyakit berbahaya yang diakibatkan oleh haiwan termasuk selesema burung. Selain itu, suntikan antibiotik, vaksin atau enzim tertentu bagi tujuan tumbesaran dan kawalan penyakit ke atas haiwan ternakan seperti ayam, menambahkan kebimbangan untuk dijadikan ia sebagai hidangan utama di meja makan.

Kebiasaannya bagi pengamal vegetarian, mereka menjadikan tempe, kentang, nasi putih, sayur-sayuran dan cendawan sebagai sumber makanan utama dan hidangan itu langsung tidak disifatkan membataskan nikmat pemakanan.

Nasi ayam, nasi lemak, nasi goreng dan makanan tempatan lain juga sebenarnya boleh diambil, cuma daging atau ikan itu digantikan dengan bahan lain seperti cendawan atau tauhu.

Bagaimanapun jika ada persepsi menyebut kononnya budaya vegetarian berkaitan aspek sensitif yang dikaitkan dengan kepercayaan agama, ia adalah tersasar jauh dan tidak relevan untuk dikekalkan terus menjadi stigma.

Vegetarian adalah alternatif pemakanan bukan ditentukan berdasarkan sesuatu bangsa atau kepercayaan kerana selagi ia halal dan menjamin kesihatan, tiada yang salah dengan mengamalkannya.

Namun seperkara perlu diakui, mental dan psikologi pengamal vegetarian perlu kuat terutamanya ketika hadir ke majlis barbeku yang menghidangkan makanan berasaskan daging yang sememangnya lazat.

Namun, cabaran paling besar sudah tentu apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha diraikan seluruh umat Islam di seluruh negara yang mana semua pengamal vegetarian perlu menjauhkan diri daripada rendang dan pelbagai jenis masakan berasaskan daging lain.

Menu vegetarian juga perlu seimbang dengan nutrisi yang diperlukan badan.

KEBAIKAN VEGETARIAN

Tidak ada salahnya jika anda mula menukar corak pola hidangan yang lebih baik. Jika sebelum ini anda kerap mengambil makanan berprotein dan tidak boleh meninggalkan ayam atau ikan, mungkin kebaikan menjadi seorang `vegetarian' di bawah boleh menarik minat anda.

Pertamanya, umur lebih panjang. Menurut kajian dari Universiti Loma Linda, Amerika Syarikat, pemakan sayur hidup 15 tahun lebih lama berbanding individu yang mengambil makanan berunsurkan daging.

Berdasarkan laporan China Health Project pula, masyarakat China yang kurang makan lemak haiwan berdepan risiko yang rendah menghidap kanser, penyakit jantung atau penyakit lain.

Kedua, kesihatan jantung terpelihara. Pola makanan yang salah di mana penyebab kepada kadar kolesterol darah yang tinggi, kurang bergerak dan tekanan menjadi punca kepada penyakit jantung menjadi penyakit nombor satu di dunia.

Di Amerika Syarikat, satu daripada sembilan wanita yang berusia 40 tahun ke atas menderita penyakit jantung malah kebanyakan lelaki pemakan daging berpeluang 50% meninggal dunia akibat penyakit jantung. Risiko ini menurun 15% jika berhenti makan daging dan mengamalkan makan sayur.

Ketiga, jauh daripada ancaman kanser kerana terdapat hasil kajian Harvard Nurses Health Study mengatakan daging mempunyai kaitan dengan kanser payudara. Malah The National Cancer Institute juga mengatakan wanita yang mengambil daging setiap hari berisiko empat kali ganda terkena kanser payudara.

Kajian di Jerman pula mengatakan bahawa sistem kekebalan wanita `vegetarian' lebih efektif membunuh sel kanser. Sayur-sayuran melindungi anda daripada kanser prostat, kanser usus besar dan kulit.

Keempat pula, tubuh menjadi lebih langsing. Secara umumnya, pemakan sayur mempunyai tubuh yang lebih langsing berbanding individu pemakan daging. Hal ini kerana sayur-sayuran seperti taugeh, kacang merah, bayam merah dan kacang panjang mengandungi lemak dan kalori lebih rendah.

Maka, tidak hairanlah pemakan sayur jarang mengalami masalah berat badan yang menjadi punca kepada sakit kencing manis.

JAUH PENCEMARAN

Kelebihan dan kebaikan kelima pula, pengamal vegetarian mampu menghapuskan toksin beracun dalam badan. Pencemaran hasil dari pengambilan makanan berproses seperti pengawet, pewarna dan pemanis tambahan boleh menimbulkan penyakit.

Jika anda mahu melakukan detoksifikasi, langkah pertama adalah mengurangkan makan daging dan diganti dengan buah-buahan dan sayur-sayuran atau jus buah serta sayur. Bahan-bahan ini mengandungi zat fitokimia yang membantu menghilangkan racun secara semula jadi.

Keenam, mengamalkan pola pemakanan vegetarian boleh melindungi daripada sebarang pencemaran. Hampir 95% pencemaran datang daripada daging, produk haiwan yang lain dan ikan.

Ikan mengandungi zat pemicu kanser hasil daripada semburan pestisid yang larut dalam air seperti DDT dan PCB, logam berat seperti merkuri dan kadmium. Bagi daging dan produk haiwan lain pula biasanya mengandungi steroid dan hormon tiruan. Meskipun anda sudah basuh ikan dan daging anda dengan bersih, ia tetap ada.

Ketujuh, menjadi vegetarian adalah lebih jimat sebenarnya. Makanan produk haiwan umumnya lebih mahal jika dibandingkan sayur-sayuran. Oleh demikian, pemilihan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menggantikan daging, ayam atau ikan memberi lebih penjimatan dalam kehidupan anda.

Sayuran dan buahan tempatan sudah memadai kerana pastinya yang import lebih mahal. Menggantikan sayuran dalam hidangan tidak mengurangkan zat gizi yang diperlukan tubuh. Cara mudah menyeimbangkan hidangan dalam seharian adalah memerhati warna makanan anda iaitu memastikan hidangan anda berwarna-warni.

Apa kata kita ubah gaya hidup dan pola pemakanan kepada vegetarian. Kita cuba mengatakan tidak kepada semua jenis daging selama satu hari dulu. Kalau anda lihat potensinya, usaha ini boleh diteruskan.

Oleh Murshid Eunos



 
Chatroom