Home » » Panduan mengurangkan rasa marah pada anak

Panduan mengurangkan rasa marah pada anak

Tip Mendidik Anak

Tidak mudah untuk mendidik anak, apatah lagi jika kanak-kanak itu sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa saja yang dilihat di kawasan persekitaran.

Mereka juga dikatakan tidak mendengar kata hingga membuatkan ibu bapa hilang sabar, naik angin dan geram.

Jalan termudah apabila ibu bapa meninggikan suara dengan muka bengis bagi menakutkan si anak.

Tetapi tahukah anda ia boleh menjejaskan perkembangan emosi dan mental kanak-kanak sekiranya ia berlarutan? Masalah anak `tidak mendengar kata' seperti yang selalu diperkatakan lazimnya berpunca daripada ketiadaan komunikasi antara ibu bapa dan anak.

Si anak tidak dapat menumpukan perhatian terhadap arahan kerana terlalu asyik meneroka kawasan persekitaran yang dirasakan baru buat mereka.

Justeru, ibu bapa tidak perlu menunjukkan kemarahan yang melampau pada anak, sebaliknya berikan tumpuan dan kasih sayang.

Berikut panduan untuk mengurangkan rasa marah pada si anak:

* Sebelum memarahi anak fikirkan jika anda dimarahi sedemikian. Walau apapun kesalahannya, pasti anda juga tidak mahu dimarahi.

* Beri kesedaran kepada anak, bukannya sentiasa marah pada mereka. Fikirkan juga cara untuk membuatkan mereka faham apa yang dilakukan itu salah dan tidak perlu diulang.

* Fahami si anak kerana mereka bukan robot yang hanya menurut arahan. Mereka juga ada kehendak, keinginan serta pemikiran sendiri.

Fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut. Pandang muka dan tatap matanya ketika bercakap kerana ia amat penting dalam apa jua bentuk komunikasi.

* Didik diri untuk menunjukkan rasa sayang melalui tindakan, suara dan mimik muka, barulah anak merasai kehadiran mereka diperlukan dan bukan sebaliknya.

* Elak daripada mengeluarkan perkataan negatif kepada anak atau menjatuhkan maruah mereka di depan orang lain kerana ia boleh menjejaskan keyakinan diri mereka.

Ingatlah sifat positif si anak serta segala keletahnya yang menghiburkan. Berikan tumpuan kepada kelebihan itu.



 
Chatroom