Home » » Vertigo - Rawatan vertigo, gejala dan penyebab

Vertigo - Rawatan vertigo, gejala dan penyebab

Vertigo - Rawatan vertigo, gejala dan penyebab

Pening adalah perasaan yang mungkin sukar diterangkan. Ia seperti kepala atau sekeliling berputar mahupun berpusing atau keadaan di mana seseorang itu tidak stabil dan berasa mahu jatuh atau pitam.

Pening juga boleh menyebabkan seseorang itu berasa kepala seakan-akan ringan atau pening yang menyebabkan sukar berjalan lurus.

Ramai orang yang berasa pening sebenarnya mempunyai gejala vertigo iaitu sejenis pening menyebabkan rasa berputar, bergoyang atau badan tidak seimbang.

Anda mungkin merasakan anda sedang bergerak atau berpusing atau berasa bilik yang bergerak juga berpusing di sekeliling anda. Vertigo boleh disebabkan beberapa masalah berbeza yang membabitkan telinga atau otak.

Sesetengah masalah ini tidak serius, manakala yang lain boleh mengancam nyawa. Ruangan hari ini akan menerangkan gejala vertigo dan membantu anda untuk tahu bila waktu sesuai mendapatkan bantuan.

Gejala vertigo

Gejala paling biasa termasuk perasaan:
Berpusing (anda atau ruang di sekeliling)

Perasaan bergoyang

Rasa hilang keseimbangan
Perasaan ini boleh timbul dan lenyap serta boleh berlaku beberapa saat, jam, atau hari. Anda mungkin berasa lebih teruk apabila menggerakkan kepala. Perubahan kedudukan badan (berdiri, baring) dan apabila batuk atau bersin.

Di samping itu, gejala lain ialah:

Muntah atau rasa loya
Mempunyai sakit kepala atau menjadi sensitif kepada cahaya dan bunyi
Penglihatan bertindih (double vision)
Mempunyai masalah bercakap atau menelan, atau berasa lemah
Kesukaran bernafas, berpeluh dan pergerakan jantung yang cepat
Jika bertemu doktor telinga, hidung, tekak (ENT) untuk rawatan vertigo, anda perlu menerangkan berapa lama gejala yang lepas, apa yang mencetuskan gejala itu, dan yang berkaitan masalah.

Petunjuk ini boleh membantu mencari penyebab vertigo.

Penyebab vertigo

Punca paling biasa termasuk:
Masalah telinga – Pemendapan atau pembentukan kalsium (otolith) di saluran semisirkular, keradangan dan jangkitan tertentu boleh menyebabkan masalah dalam sistem vestibular. Sistem vestibular termasuk bahagian telinga dan sistem saraf, yang mengawal keseimbangan.

Benign paroxysmal postional vertigo (BPPV), penyakit Meniere dan radang urat saraf vestibular (vestbular neuronitis atau labyrinthitis) adalah tiga jenis yang paling biasa menyebabkan vertigo disebabkan masalah telinga.

BPPV disebabkan pembentukan kalsium dalam telinga dipanggil otolith yang termendap di bahagian yang tidak sepatutnya di saluran semisirkular.

Vertigo dalam BPPV biasanya berlaku beberapa saat berkekalan hingga beberapa minit. Vertigo biasanya dicetuskan oleh pergerakan kepala ke arah tertentu.

Penyakit Meniere adalah keadaan yang menyebabkan berlaku berulang kali tiga gejala yang sinonim iaitu vertigo, kehilangan pendengaran dan bunyi dalam telinga (tinnitus).

Vertigo yang berlaku boleh berlanjutan beberapa minit hingga ke beberapa jam. Ia mungkin disebabkan pembentukan cecair dalam koklea telinga.

Radang urat saraf vestibular, juga dikenali sebagai labyrinthitis, mungkin disebabkan virus yang menyebabkan bengkakan atau keradangan di sekeliling saraf itu.

Mereka yang mengalami keradangan ini akan mengalami vertigo yang teruk, loya, muntah dan kesukaran berjalan atau berdiri. Masalah ini boleh berlarutan beberapa hari. Sesetengah orang juga mengalami kesukaran pendengaran pada sebelah telinga.

- Kecederaan kepala akibat kemalangan, trauma atau selepas pembedahan bahagian kepala boleh menjejaskan sistem vestibular dalam pelbagai cara, dan membawa kepada vertigo.

- Ubat-ubatan – boleh berlaku tetapi jarang ubatan yang menjejaskan fungsi telinga atau otak dan membawa kepada vertigo.

- Migrain – dalam keadaan yang dipanggil migrain vestibular, vertigo boleh disebabkan oleh migrain. Vertigo biasanya berlaku bersama sakit kepala, walaupun kadangkala gejala itu tidak berlaku serentak.

Masalah otak seperti strok atau TIA (serangan iskemia sementara), pendarahan dalam otak atau multiple sclerosis juga boleh menyebabkan vertigo.

Bila perlu dapatkan bantuan?

Anda perlu mendapatkan bantuan segera jika mengalami pening atau vertigo bersama dengan mana-mana daripada yang berikut:

Pening atau sakit kepala yang teruk
Suhu badan melebihi 38 Celsius
Penglihatan bertindih atau menghadapi masalah melihat dengan jelas
Masalah bercakap atau mendengar
Kelemahan di lengan atau kaki
Ketidakupayaan untuk berjalan tanpa bantuan
Pitam
Kebas di bahagian badan
Sakit dada
Muntah tanpa berhenti

Di samping itu, anda perlu mendapatkan bantuan segera jika mengalami vertigo yang berlangsung beberapa minit atau lebih jika:
Sudah berumur
Pernah diserang strok
Mempunyai faktor risiko untuk strok (tekanan darah tinggi, kencing manis, merokok)

Jika anda mengalami pening atau vertigo yang datang dan pergi tetapi tidak mempunyai masalah di atas, sila buat temujanji dengan doktor ENT atau neurologi.

Mereka akan melakukan pemeriksaan fizikal dan boleh menjalankan ujian selanjutnya, bergantung pada pemeriksaan dan sejarah perubatan anda.

Rawatan vertigo

Bagi kebanyakan orang, vertigo adalah mengganggu tetapi ia bukan disebabkan masalah serius. Rawatan untuk vertigo bertujuan merawat punca asas (jika punca dikenali), melegakan gejala menyebabkan vertigo dan membantu dengan pemulihan rehabilitasi vestibular.

Rawatan untuk gejala Jika anda mempunyai vertigo yang teruk dan berakhir untuk beberapa jam atau hari, doktor boleh mengesyorkan ubatan untuk melegakan gejala vertigo yang teruk seperti muntah. Rawatan dengan ubat biasanya tidak diperlukan jika vertigo berlangsung hanya beberapa saat atau minit.

Rawatan ubat-ubatan mungkin termasuk Antihistamin, ubat anti muntah atau ubatan yang sedatif mungkin digunakan bergantung kepada keadaan pesakit.

Kebanyakan ubat ini membuatkan anda mengantuk, maka jangan ambil sebelum bekerja atau memandu.

Anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan preskripsi untuk merawat gejala vertigo yang teruk dan perlu berhenti apabila simptom berkurangan.

Penyusunan canalith (otolith) adalah rawatan yang boleh disyorkan bagi orang yang mengalami vertigo akibat BPPV.

Rawatan akan dilakukan oleh jururawat atau ahli terapi di pejabat dengan menggerakkan kepala anda ke dalam kedudukan tertentu dengan kepala terjuntai di hujung kepala katil, kadangkala dipanggil maneuver Epley.

Anda mungkin diberi arahan mengenai bagaimana melakukan pergerakan sama di rumah, jika diperlukan. Pergerakan ini menggalakkan garam kalsium yang termendap untuk bergerak ke bahagian telinga yang sepatutnya, di mana ia akan diserap semula.

Anda mungkin mula berasa lebih baik selepas rawatan ini atau dalam satu atau dua hari. Doktor atau fisioterapi akan mengajar pergerakan tertentu yang boleh membantu untuk memulihkan vertigo itu.

Pemulihan cara kerja membantu otak anda menyesuaikan tindak balas kepada perubahan dalam sistem vestibular. Terapi ini juga boleh bantu melatih mata anda dan deria lain ‘belajar’ bagaimana untuk mengimbangi.

Terapi ini paling berguna apabila ia dimulakan secepat mungkin selepas mengalami vertigo. Ketika pemulihan, anda diajar melakukan senaman di rumah.

Sebagai contoh, anda mungkin bermula dengan memberi tumpuan pada objek berlatar belakang kosong dan menggerakkan kepala secara perlahan-lahan ke kanan dan kiri dan pergerakan kepala secara mendongak ke atas dan ke bawah. Anda akan melakukan senaman ini selama beberapa minit dua hingga tiga kali sehari.

Jika mempunyai masalah untuk berdiri atau berjalan kerana vertigo dan berisiko untuk jatuh, anda dinasihatkan berbincang dengan doktor, jururawat, atau ahli fisioterapi mengenai kebimbangan itu.

Untuk mengurangkan risiko jatuh, faktor yang membahayakan di rumah seperti talian telefon atau elektrik yang longgar dan permaidani licin perlu dielakkan.




 
Chatroom