Home » » Karoten khasiat terselindung kaya Vitamin A

Karoten khasiat terselindung kaya Vitamin A

Karoten dan sterol tumbuhan memberikan khasiat yang terselindung di dalam pemakanan serta meningkatkan kesihatan tubuh badan.

Karoten ialah molekul pro-vitamin A larut lemak yang khasiatnya sudah lama dikaitkan dengan tubuh badan yang sihat.

Pakar pemakanan mengesyorkan supaya kita memakan makanan yang seimbang dan melebihkan kepada buah dan sayuran. Wujudnya karoten dan phytonutrient di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran dapat dikenal pasti dari warna-warna buah-buahan dan sayur-sayuran itu sendiri.

Tumbuh-tumbuhan sebenarnya menyumbangkan lebih 500 jenis karoten yang kebanyakannya terkandung di dalam protoplasma buah-buahan dan sayur-sayuran itu sendiri.

Walaupun memakan sayuran hijau dan buah-buahan dapat membekalkan karoten yang cukup, kajian mendapati bahawa bioavailability sumber karoten adalah terhad. Ini adalah kerana enzim yang ada dalam sistem pencernaan kita harus memecahkan protoplasma dan membebaskan karoten untuk diserap oleh badan. Sekiranya karoten itu diserap di bersama minyak atau lelemak, bioavailabilitinya adalah lebih tinggi.

Di sini minyak sawit memainkan peranan yang penting. Warna minyak sawit mentah yang diekstrak dari buah sawit yang oren-kemerahan adalah disebabkan oleh kandungan karoten yang tinggi - lebih kurang 800 hingga 1000 m/kg.

Ia juga didominasi oleh karoten alpha dan beta yang tidak ada pada minyak sayuran yang lain.

Proses untuk mendapatkan olein sawit yang dilakukan secara konvensional tidak dapat membendung karoten daripada musnah akibat dari suhu pemprosesan yang tinggi. Dengan kaedah baru yang dipelopori oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kandungan karoten di dalam minyak sawit dapat dikekalkan.

Khasiat Karoten

Fungsi utama karoten ialah sebagai pro-Vitamin A. Isomer pro-Vitamin A yang paling aktif ialah ß-karoten diikuti oleh a-karoten.

Karoten dari minyak sawit didapati mengandungi kadar bioavailabiliti yang paling tinggi di antara semua sumber karoten tumbuhan. Ini telah mendorong ahli sains dan pakar pemakanan untuk mengkaji keupayaan minyak sawit merah dalam membantu mengatasi masalah kekurangan Vitamin A di mana membabitkan kira-kira 15 juta kanak-kanak di seluruh dunia yang berisiko menjadi buta.

Minyak sawit merah digunakan di dalam pelbagai bentuk untuk menyalurkan pro-Vitamin A kepada kanak-kanak yang menghadapi risiko kekurangan zat. Penemuan yang konsisten dari kajian mendapati bahawa masalah kekurangan Vitamin A di kalangan kanak-kanak itu dapat diatasi dengan pengambilan sekurang-kurangnya 1 sudu makan minyak sawit merah setiap hari.

Apabila ibu yang menyusu memakan makanan yang dimasak dengan minyak sawit merah, kandungan karoten di dalam susu ibu didapati meningkat secara mendadak. Dengan cara ini, karoten pro-Vitamin A dapat disalurkan kepada bayi melalui susu ibu dan dilihat pada peningkatan kadar plasma retina (plasma retinal level). Khasiat minyak sawit merah ini juga boleh di dapati dari makanan yang diberi kepada kanak-kanak yang baru berhenti menyusu.

Selain dari aktiviti pro-Vitamin A, karoten mempunyai fungsi-fungsi fisiologikal lain seperti pengantioksida, meningkatkan fungsi sistem imuniti dan aktiviti anti kanser.

Antara kesan positif hasil dari pengambilan makanan yang mengandungi sumber karoten yang tinggi ialah pengurangan risiko mascular degeneration, katarak, dan penyakit jantung.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom