Home » » Kebaikan Bersukan Mampu Elak Kegiatan Negatif

Kebaikan Bersukan Mampu Elak Kegiatan Negatif

Kebaikan Bersukan

Islam tidak pernah menghalang sebarang bentuk aktiviti sukan, malah sangat menggalakkan umatnya bersukan sebagai aktiviti riadah yang menyihatkan. Malah, bersukan juga amat disyorkan ketika anak masih kecil supaya apabila dewasa kelak, mereka sudah terbiasa melakukan aktiviti sihat ini.

Antara aktiviti sukan yang boleh dilakukan adalah bersenam, berbasikal dan berenang. Bersukan juga menjadikan tubuh badan sihat, bertenaga serta dapat menguji daya kekuatan mental dan fizikal seseorang.

Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah. (Riwayat Muslim)

Namun begitu, perlu diingatkan ketika bersukan, aurat hendaklah terjaga dan ditutup rapi seiring kehendak syarak baik lelaki mahupun wanita.

Perkara ini penting bagi menjaga kemaslahatan diri dan agama.

Islam tidak menghalang umatnya membabitkan diri dalam sukan jika mereka tidak melanggar syarat yang ditetapkan khususnya bagi wanita.

Wanita Islam perlu jaga aurat


Majlis Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi menegaskan: Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya.

Aurat bagi seorang wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.

Oleh itu, aurat ini haruslah dijaga ketika bersukan mahupun dalam aktiviti harian. Namun, kita melihat lelaki dan wanita Islam memandang remeh akan aurat mereka ketika bersukan. Majoriti tidak mengikut syarat ditetapkan.

Masyarakat Islam seharusnya faham jika aurat mereka sudah terjaga, tidak kira lelaki mahupun wanita, barulah mereka berhak untuk memenuhi kehendak dan dapat menjalankan kewajipan yang dituntut agama.

Imbangi fizikal, mental

Sekali gus berjaya mengimbangi keperluan fizikal serta mental kerana sesungguhnya Islam menyukai umatnya sihat dan kuat.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggup dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. (Surah Al-Anfal, ayat 60)

Ayat ini mengingatkan umat Islam supaya memiliki tubuh badan yang sihat untuk menghadapi perkara yang tidak dijangka.

Namun, perkara paling utama dalam kalangan masyarakat Islam mendapatkan fizikal yang sihat adalah untuk beribadat kepada Allah Taala.

Jika kita mempunyai tubuh badan yang lemah, bagaimana mampu untuk beribadat, apatah lagi menjalankan kehidupan seharian. Kita seharusnya sentiasa ingat ketidakupayaan segi jasmani, secara automatik menjadikan rohani turut lemah.

Lantaran itu, bagi mendapatkan rohani yang sihat, kita perlu mempunyai tubuh badan yang cergas terlebih dulu. Kata pepatah Arab, akal yang sihat adalah daripada tubuh badan yang sihat.

Rasulullah amat menyukai aktiviti sukan. Antara acara sukan yang sangat terkenal pada zaman baginda ialah memanah, menunggang kuda serta berenang seperti sabda baginda: Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pupuk akhlak seseorang
Selain itu, bersukan dapat memupuk keperibadian akhlak seseorang. Apabila bersukan, kita akan cuba mendisiplinkan dan sentiasa merendah diri. Kita akan ingat bahawa kesihatan yang diberi oleh Allah sewajarnya dijaga sebaik mungkin.

Perlakuan dalam kehidupan seharian juga harus diambil kira supaya tidak memudaratkan tubuh badan dan akal fikiran yang boleh mengundang keruntuhan moral serta akhlak. Justeru, sukan satu cabang positif dalam hidup yang mampu menghindarkan diri daripada perkara negatif.

: Oleh Wan Madihah Wan Yusoff



 
Chatroom