Home » » Petua Elak Kutu Beras dan Petua-Petua Lain

Petua Elak Kutu Beras dan Petua-Petua Lain

Petua Elak Kutu Beras dan Petua-Petua Lain

Menyimpan beras terlalu lama akan menyebabkan kehadiran bubuk ataupun kutu beras. Walaupun beras terbabit masih boleh dimakan tetapi kewujudan kutu beras berkenaan amat menyakitkan mata.

Ada beberapa cara boleh dijadikan panduan untuk mengelakkan kehadiran kutu beras antaranya:

* Ambil beberapa tangkai cili kering dan serai lalu masukkan bahan terbabit ke dalam bekas beras.

* Letakkan daun limau nipis atau purut dan masukkan ke dalam bekas beras berkenaan. Ia bukan saja dapat mengelakkan kutu beras malah membuatkan berasa berbau wangi.

Selain itu, bau beras hapak juga kurang menyenangkan namun ia boleh diatasi dengan membasuhnya beberapa kali dan memasak beras seperti biasa. Apabila airnya kering, barulah masukkan sehelai daun pandan ke dalam periuk bagi menghilangkan bau kurang menyenangkan itu.

Di samping itu, ada kalanya kita tersilap membeli beras dan mendapatinya kurang enak serta kurang bermutu. Bagi mengatasinya goreng beras tanpa minyak terlebih dulu kemudian rendam dalam air selama beberapa minit dan barulah ia dimasak seperti biasa.

Harus diingatkan apabila membersihkan beras jangan membasuh beras, lebih daripada tiga kali kerana ia akan mengurangkan kanji dan khasiatnya juga akan hilang.

Sementara itu, bagi mereka yang menggemari hidangan berlada pasti bahan utama diperlukan ialah cili kisar. Untuk memastikan cili kisar digunakan tahan lama, apa yang boleh dilakukan ialah:

* Buang biji cili kering terlebih dulu dan rendam semalaman.

* Kemudian kisar sehingga halus. Rebus bersama sedikit minyak masak sehingga kering.

* Apabila sejuk, masukkan ke dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk.

* Selain itu, panduan lain yang boleh digunakan ialah dengan merebus cili dengan air dan sedikit garam. Apabila sejuk, kisar hingga hancur barulah disimpan dalam peti sejuk.

Bagi mereka yang sering menghadapi masalah untuk menghancurkan biji cili yang sudah dikisar, apa kata masukkan cili dan bahan lain ke dalam balang pe-ngisar. Kemudian tuangkan sedikit minyak masak ke dalam balang pengisar dan kisar hingga semua bahan hancur.

Satu lagi masalah yang sering dihadapi kebanyakan wanita ialah untuk membersihkan sisa susu dalam botol susu anak. Selain menggunakan berus, anda boleh merendamkan botol susu anak di dalam air panas.

Satu lagi cara, ialah ambil satu sudu teh garam kasar dan masukkan ke dalam botol susu. Tuangkan air panas di dalam, tutup dan goncangkan botol itu. Berhati-hati supaya tangan anda tidak terkena air panas berkenaan.

Bagi menghilangkan bau busuk puting, kaedah yang boleh digunakan ialah dengan merendamnya dalam air panas kemudian masukkan beberapa sudu teh garam. Rendam selama beberapa minit hingga kekotorannya hilang dan hasilnya puting botol akan bersih serta tidak lagi berbau.

Jika anda jarang memasak, asam jawa mungkin bukan satu bahan yang wajib ada di dapur. Namun asam jawa mempunyai banyak kegunaan sama ada termasuklah untuk kecantikan.

Andai berhadapan dengan masalah tangan dan hujung kuku berwarna hitam disebabkan kerja harian di dapur seperti mencuci periuk belanga selepas memasak, ramaslah asam jawa dan gosok bahagian yang kotor beberapa kali. Jika selalu dilakukan, kesan kuku hitam ini akan segera hilang.

Malah, asam jawa juga baik untuk mengatasi masalah tumit kaki pecah dan kehitaman. Caranya mudah, bersihkan kaki anda terlebih dulu kemudian sapukan sedikit asam jawa di sekeliling bahagian bermasalah.

Biarkan seketika kemudian mencucinya dengan air biasa. Lakukan amalan ini sebelum tidur, pasti masalah tumit kaki pecah dan kehitaman akan segera diatasi.



 
Chatroom