Home » » Pemakanan & Kesihatan: Khasiat buah, sayur

Pemakanan & Kesihatan: Khasiat buah, sayur

Pemakanan & Kesihatan: Khasiat buah, sayur

Makan terlalu banyak protein dan bijirin boleh menyebabkan pengeluaran asid secara berlebihan dalam badan yang seterusnya meningkatkan perkumuhan kalsium dan menyebabkan tulang menjadi lemah.

Bagaimanapun, satu kajian terbaru yang dikendalikan kumpulan penyelidik diketuai Prof Dr Bess Dawson-Hughes dari Pusat Pengajian Perubatan Tufts University, Boston, Amerika Syarikat, mendapati dengan menggalakkan paras alkali menggunakan pil atau mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, dapat menguatkan tulang.

Kajian itu berasaskan responden 171 lelaki dan wanita berusia 50 tahun ke atas yang dipilih secara rawak untuk menerima placebo atau dos mengandungi sama ada potasium bikarbonat, sodium bikarbonat atau potasium klorida selama tiga bulan.

Mereka yang mengamalkan bikarbonat menunjukkan pengurangan yang jelas terhadap perkumuhan kalsium dan penyerapan semula tulang.

Dr Dawson-Hughes, yang juga pakar dalam bahagian tulang dan metabolisme, berkata penyerapan tulang ialah proses tulang membebaskan mineral seperti kalsium, fosfat, dan garam (asas) alkalin ke dalam darah.

"Peningkatan penyerapan tulang mendorong ke arah pengurangan jisim tulang dan meningkatkan risiko keretakan tulang," katanya.

Menurutnya, d iet biasa yang diamalkan kebanyakan orang yang lebih dewasa akan menambah asid dalam badan dan apabila mereka semakin berusia, mereka kurang mampu mengeluarkan asid.

Jadi, penyerapan tulang ialah satu cara yang berkemungkinan cuba bertindak balas terhadap paras asid yang tinggi.

Bagaimanapun, apabila buah-buahan dan sayur-sayuran mengalami proses ungkaibina atau metabolisme, ia akan menambah bikarbonat, sejenis sebatian alkalin ke badan, katanya lagi dalam kajian itu yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism keluaran Persatuan Endokrin.

"Menerusi kajian itu, kami membuktikan bahawa dengan menambah alkali dalam bentuk pil telah berjaya mengurangkan penyerapan tulang dan mengurangkan kehilangan kalsium dalam urin selepas tempoh tiga bulan," katanya.

Kajian ini memerlukan penyelidikan lebih lanjut sebagai suplemen yang selamat dan baik bagi mengurangkan kehilangan tulang dan risiko keretakan tulang di kalangan lelaki dan wanita yang lebih berumur," katanya.

Dr Hawson-Hughes berkata, keturunan atau baka, diet dan faktor gaya hidup yang lain turut menyumbang kepada masalah penyerapan tulang dan keretakannya.

"Apabila ia berkaitan dengan amalan pemakanan berkaitan kesihatan tulang, kalsium dan vitamin D menerima paling banyak perhatian, akan tetapi terdapat bukti yang semakin meningkat menunjukkan yang keseimbangan asid/bes (asas) dalam diet juga penting," katanya lagi.

Oleh Shukri Matt Ali



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom