Home » » Sijil Faraid tentukan hak harta elak waris dizalimi

Sijil Faraid tentukan hak harta elak waris dizalimi

Ilmu faraid menetapkan pembahagian waris yang berhak iaitu bagi lelaki dan perempuan serta status hubungan keluarga dengan si mati iaitu ibu/bapa, isteri/suami, anak lelaki dan anak perempuan. Ini bukan satu perkara mudah dan jangan sekali-kali dipandang ringan kerana status tidak tepat atau tidak benar boleh membenarkan proses bantahan dibuat waris lain sehingga mengakibatkan waris terbabit hilang hak.

Begitu juga sebaliknya, jika ada pemalsuan waris sehingga hak sebenar dipindah dan diberi kepada mereka yang tidak berhak. Kita sebagai umat Islam disaran dan diperlukan untuk memberi keterangan tepat dan betul agar kebenaran dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Bagi peringkat awal pelaksanaan pentadbiran pusaka, umat Islam perlu mendapatkan Sijil Faraid.

Bagi tujuan ini juga, umat Islam sebenarnya dikehendaki menyenaraikan waris sebelum Sijil Faraid dikeluarkan. Sijil Faraid amat penting kerana senarai yang disebut dalam sijil itu sudah menyatakan jumlah bahagian setiap waris. Sijil Faraid ialah instrumen diguna pakai bagi mengelakkan waris dizalimi daripada hak sebenar.

Masalah timbul apabila senarai waris dikemukakan didapati tidak tepat. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Lazimnya perkara ini berlaku apabila timbul keraguan di kalangan waris sendiri yang memungkinkan banyak persoalan bahawa waris itu ialah anak tidak sah taraf. Ini mungkin juga disebabkan ketiadaan bukti sokongan dikemukakan terhadap waris terbabit oleh si mati ketika hayat.

Keraguan ini kebiasaannya menyentuh kepada status anak si mati iaitu sama ada waris itu sah taraf atau tidak sah taraf untuk mendapat hak bahagian pusaka si mati. Ini satu proses yang sihat kerana dengan cara ini, maka waris yang berhak dapat menerima bahagian mereka secara sah dan tiada lagi perkara berbangkit sehingga boleh menggugat hubungan kekeluargaan sedia ada. Perkara ini juga tidak boleh dianggap menganiayai seseorang kerana kita sedar dan tahu mengambil atau menerima pusaka bukan hak hukumnya haram.

Justeru, bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku di kalangan ahli keluarga sendiri maka sebagai ketua keluarga, suami/ayah perlu mengesahkan taraf anak dan juga isteri. Perkara ini amat penting kerana status sah atau tidak membolehkan seseorang itu membuat perancangan lain mengikut ketetapan yang dibenarkan syarak. Tidak syak lagi tanggungjawab ini perlu dipikul ketua keluarga. Untuk itu, kita perlu mengamati dan mengambil perhatian kepada perkara di bawah agar ahli keluarga dilindungi di dunia dan akhirat serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Sumber Rujukan: Portal Rasmi Fatwa Malaysia: Status Penwartaan I Diwartakan: Tarikh Diwartakan: 27 October 2005 Nombor Rujukan: PMM/0020 Jld.6Akta/Enakmen: M.P.U. 42 )

Majlis Fatwa pada 14 Oktober 2005 sudah memutuskan Anak Tak Sah Taraf ialah

(i) Anak dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

(ii) Anak dilahirkan kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan Syubhah; dan

(iii) Anak dilahirkan lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak berkenaan ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri itu atau salah seorang daripadanya) atau empat orang saksi yang memenuhi syarat mengikut hukum syarak.

Sesungguhnya keterangan/hujah di bawah boleh melengkapkan lagi pemahaman kita bagi tujuan melenyapkan segala keraguan dan juga mengelakkan perdebatan di kalangan ahli waris sendiri.

Pensabitan nasab kanak-kanak hendaklah mengikut kaedah sudah ditetapkan hukum syarak seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah)." (Riwayat Jama`ah melainkan Tirmizi)

Menurut Imam Nawawi, maksud hadis di atas ialah jika seseorang lelaki itu mempunyai isteri atau hamba, maka dia seolah-olah menjadi hamparan tempat tidurnya. Apabila perempuan itu melahirkan anak bagi suatu tempoh yang memungkinkan anak itu wujud, maka anak itu disabitkan menjadi anaknya dan hak bagi lelaki berkenaan. Dengan itu, berjalanlah antara mereka hukum pewarisan dan hukum-hakam yang lain.

Ada tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah iaitu:

1. Ada kemungkinan anak itu ialah daripada suami berkenaan, maknanya suami ialah orang yang mempunyai faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.

2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li'an.

3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.

Ulama bersepakat menetapkan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan tempoh enam bulan itu adalah berdasarkan maksud dua ayat al-Quran yang menerangkan mengenai masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.

1. Firman Allah SAW bermaksudnya: "Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan." (Surah Al-Ahqaf 46:15)

2. Firman Allah SAW yang lain bermaksud: "Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun."(Surah Luqman 31:14)

Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu dua tahun atau 24 bulan daripada tempoh 30 bulan (masa keseluruhan hamil dan menyusukan anak), bererti masa yang bakinya, iaitu tempoh hamil ialah enam bulan.

Ash-Shaykh Muhammad `Ali As-Sabuni dalam kitabnya Rawa'i` Al-Bayan menyebutkan sudah diriwayatkan, seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak selepas enam bulan daripada perkahwinannya. Dia dihadapkan kepada khalifah Uthman. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu 'Abbas berkata kepada Uthman: "Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah."

Allah berfirman bermaksud: "Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan." (Surah Al-Ahqaf 46:15)

Firman Allah selanjutnya bermaksud: "Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu." (Surah Al-Baqarah 2: 233)

Maka, tempoh hamil ialah enam bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Saidina Uthman pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam kitab Tafsir Al-Maraghiy turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama enam bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap dua tahun.

Masa tinggal untuk mengandung hanya enam bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat berkenaan ialah Saidina Ali yang kemudian dipersetujui Uthman bersama sahabat Nabi SAW. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab As-Sirah meriwayatkan daripada Ma`mar ibn `Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

"Ada seorang lelaki daripada kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhay-nah. Wanita itu melahirkan anak selepas perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui Uthman untuk menceritakan perkara itu. Selepas itu, Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis.

Lalu wanita itu berkata kepadanya, "Mengapa kamu menangis? Demi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah SWT yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah SWT pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendak-Nya." Ketika wanita itu di tempatkan di hadapan Uthman, maka Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh Ali, beliau pun menemui Uthman lalu berkata: "Apakah yang kamu lakukan?" Uthman pun menjawab: "Wanita itu bersalin selepas usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku."

* Rencana ini disediakan oleh Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan. Untuk keterangan lanjut boleh menghantar e-mel kepada siti.khadijah@arb.com.my



 
Chatroom