Home » » Senaman Tarian: Muzik bangkit semangat bersenam

Senaman Tarian: Muzik bangkit semangat bersenam

Senaman Tarian: Muzik bangkit semangat bersenam

Apa jua bentuk senaman yang dilakukan, ia memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan tubuh.

Tidak kiralah berlari, mengangkat bebanan di gimnasium, aerobik atau senaman berasaskan seni mempertahankan diri, semuanya dapat membantu menggerakkan otot tubuh dan meningkatkan kecergasan diri.

Namun, apabila sasarannya untuk mengurangkan berat badan, sukar untuk menafikan kelebihan aktiviti tarian ini dan kebanyakan wanita berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh singkat apabila mula aktif senaman ini.

Tambahan pula, menari satu daripada cara paling berkesan untuk membakar kalori dan membantu meningkatkan kecergasan diri tanpa perlu terlalu menyekat diet harian. Andai yang sudah memulakannya, teruskan usaha sementara bagi yang masih ragu-ragu untuk melakukannya, satu saranan daripada pakar fisiologi senaman dan pensyarah di Fakulti Pusat Sukan Universiti Malaya, Dee Dee Mahmood dengarlah apa saja lagu dan mulalah goyangkan tubuh.

“Memulakan apa saja jenis senaman memang sukar kerana majoriti kita dihambat rasa penat dan malas. Tapi, perasan atau tidak, tubuh secara automatik bergerak atau bergoyang kala mendengar lagu kegemaran kita berkumandang.

“Itu saja sudah cukup menjadi pemangkin semangat untuk bergerak mengikut lagu lalu dijadikan sebagai salah satu aktiviti senaman.

“Yang penting segala otot yang selama ini ‘tidur’ mula bergerak dan tubuh mengeluarkan peluh,” katanya.

Bagaimanapun, masih ramai yang skeptikal dengan senaman tarian ini. Ia dilihat bukan senaman serius dan bukan memberi tumpuan kepada kesihatan kerana lebih kepada aspek berseronok.

“Saya pernah lakukan kajian mengenai pergerakan dan muzik dalam kertas kerja PhD dulu dan saya dapati muzik bertindak sebagai bantuan prestasi dengan mengurangkan sensasi penat, mempertingkatkan kebangkitan fisiologi (physiological arousal) dan mempromosikan relaksasi otot serta mempertingkatkan koordinasi motor dalam tubuh kita.

“Atas kajian itu, saya banyak gabungkan unsur muzik seantero dunia kerana ia memberi impak positif dalam kalangan peserta.

“Benar, menari membuatkan kita lebih seronok, tapi pada masa sama, muzik membantu memberi motivasi kepada individu untuk terus bersenam.

“Iringan muzik yang rancak memang dapat membangkitkan semangat untuk bersenam. Kerana keseronokan dendangan muzik itu membuatkan peserta tidak begitu tertekan dan kepenatan.

“Dengan penukaran rentak muzik perlahan kepada rancak juga membantu meningkatkan rangsangan kesan ergogenik di mana didapati tahap senaman yang tinggi dapat dicapai berbanding tiadanya muzik iringan,” katanya.

Dengan pelbagai jenis senaman tarian yang popular ketika ini seperti Zumbam Jazzercise, aerobik dan K-Pop (sekadar menyebut beberapa nama), bagaimana pula ia boleh memberikan impak atau kesan kepada tubuh kita secara keseluruhan?

Menurut Duta Reebok Singapura dan Malaysia ini, setiap aktiviti tarian perlu dilakukan dengan intensiti yang betul.

“Selain intensiti, seseorang individu itu perlu sedar mengenai cara penggunaan dan pergerakan otot yang selamat.

“Regangan sebelum dan selepas sesi juga mesti dilakukan untuk mengelakkan sebarang kecederaan,” katanya.

Pada masa sama, senaman tarian ini juga tidak semata-mata memberi kesan kepada tahap kesihatan fizikal kerana ia turut mengaitkan tahap kesihatan mental individu yang melakukannya.

“Wujud banyak teori membabitkan kaitan muzik dengan emosi (mood) dan pergerakan ini mendapati ia memberi kesan besar kepada psikologi juga fisiologi.

“Ia memberi keseronokan dan rasa puas pada seseorang invidiu itu dan ini membuat peserta dapat melakukan senaman dengan lebih baik dan di tahap optimum.

“Bagi mereka yang mengalami obesiti, di mana keupayaan kecergasannya di tahap rendah serta rasa sakit di sendi atau lutut, bersenam itu sesuatu yang sukar dilakukan

“Di sini bermulanya fungsi ‘reverse psychology’ dalam senaman tarian ini. Mereka rasakan aktiviti menari itu bukan salah satu jenis senaman kerana ia lebih bersifat seronok dan tidak membebankan.

“Justeru, ia memudahkan proses penurunan berat badan dan pada masa sama memberi impak besar kepada kesihatan mereka,” tambah penerima Anugerah Pingat Cabaran Konvensyen Kecergasan Idea Dunia 2011 ini.

Seterusnya, memilih jenis tarian turut memberi impak kepada keberkesanan senaman kerana pilihan ini lebih bersifat subjektif.

“Ada yang sukakan aerobik, ada pula yang sukakan tarian lain. Semuanya bergantung kepada pilihan dan kehendak diri masing-masing.

“Ramai yang mula menyertai aktiviti senaman tarian ini kerana mengikut rakan sedangkan diri tidak berminat dengan jenis senaman yang disediakan.


“Buat kajian terlebih dulu mengenai jenis senaman tarian yang ingin disertai dan dapatkan pandangan daripada mereka yang menyertainya.

“Dari situ kita akan lebih objektif dan dapat mengenal pasti jenis senaman tarian yang sesuai dengan diri.

“Juga, beri perhatian atau ‘dengar’ dengan kehendak tubuh kita. Jika dilakukan dengan kerap, ia membantu meningkatkan kecergasan, koordinasi tubuh dan kekuatan otot kita.

“Ia juga dapat membantu individu terbabit mendapatkan berat badan ideal, di samping meningkatkan kecergasan diri khususnya kekuatan kardiovaskular, fleksibiliti dan kompisisi tubuh yang lebih baik,” katanya. ~ Metro



 
Chatroom