Home » » Biodata Dayang Nurfaizah (Dayang Nurfaizah Awang Dowty)

Biodata Dayang Nurfaizah (Dayang Nurfaizah Awang Dowty)

Biodata Dayang Nurfaizah

Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau lebih mesra dengan sapaan Dayang Nurfaizah berada dikelasnya tersendiri dalam persada seni tempatan. Memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun, Dayang masih berdiri kukuh dalam bidang nyanyian kerana vokalnya yang mantap.

Bakat penyanyi kelahiran Sarawak ini mula dikesan di pertandingan Golden Teen Search 1997 dimana dia bukan saja meraih gelaran juara tetapi juga menarik perhatian komposer terkenal, Adnan Abu Hassan, sehingga dia menawarkan diri untuk menerbitkan album sulung Dayang yang diberi judul ‘Dayang Nurfaizah’ (1999).

Namun begitu, nama Dayang hanya betul-betul meletup dengan lagu “Seandainya Masih Ada Cinta”. Lagu tersebut dinobatkan sebagai Lagu Paling Popular Serantau di Anugerah Planet Muzik 2001 selain memenangi kategori Balada di Anugerah Juara Lagu (AJL) 16 dan Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke 9.

Meskipun antara tahun 2002 hingga 2005, Dayang terlibat dalam kes saman yang melihatnya bertindak menyaman tiga buah syarikat kerana mempercayai dirinya telah menandatangani Perjanjian Pengurusan yang dikatakan mempunyai unsur tindasan serta merugikan, kerjaya seni Dayang masih diteruskan biarpun dalam keadaan yang mencabarkan.

Pemasaran album ‘Dayang Sayang Kamu’ terbantut seketika disebabkan kes mahkamah tersebut menyebabkan Dayang terpaksa menjualnya ketika mengadakan persembahan tertutup. Namun dalam duka ada juga sukanya bila lagu “Erti Hidup” (Afdlin Shauki & Aji selaku composer dengan lirik oleh Afdlin) menjuarai kategori Etnik Kreatif di AJL 19.

Tidak pernah gentar dalam menghadapi apa jua dugaan meskipun mengundang pandangan negatif masyarakat, Dayang mempunyai logiknya sendiri dalam melakukan setiap keputusan termasuk tindakannya menyertai program realiti One In A Million (berjaya sehingga ke Top 4) dan Ikon Malaysia (mendapat naib johan).

Sebagai tanda terima kasih serta meraikan para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya, Dayang telah mengadakan konsert solonya pada 3 November 2014 di Dewan Filharmonik Petronas. Tiket ke konsertnya dilaporkan telah habis dijual beberapa hari sebelum persembahan.



 
Chatroom