Home » » Biografi Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015) - Biodata

Biografi Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015) - Biodata

Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015)

Nik Abdul Aziz yang dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam. Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.

Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan. Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Nik Abdul Aziz dan keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Yusuf Rawa.
Biodata Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015)

Pada 1978, Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990.

Sebelum terpilih menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semut Api dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Sejak 1967, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Ahmad Abdullah pada 1969.

Beliau menyandang jawatan MP Pengkalan Chepa selama 19 tahun sebelum berpindah untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api (kini Chempaka) pada 1986.

Dalam sejarah politiknya sebagai MP, Nik Abdul Aziz pernah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen iaitu antara 1983 hingga 1986.

Walaupun sudah menjadi Menteri Besar, Nik Abdul Aziz tetap meneruskan rutinnya memberi kuliah di Masjid Pulau Melaka dan di dewan Zulkifli Muhammad yang terletak di bangunan PAS serta meneruskan program-program dakwah yang dilakukannya sebelum itu.

Sebagai ahli politik dan pemimpin utama PAS, Nik Abdul Aziz juga tidak terlepas dari kontoversi. Tidak sedikit kata-katanya yang menjadi sensasi namun beliau tetap gagah menerajui pentadbiran Kelantan hingga PRU13.

Biarpun dikenali sebagai seorang yang tenang, namun Nik Aziz juga seorang yang tegas. Sebagai Mursyidul Am PAS, beliau lantang menegur pemimpin parti itu jika ada yang dirasakan tidak selari dengan perjuangan parti.  Antaranya pada 19 Jun 2009, beliau mendesak Nasharuddin meletakkan jawatan Timbalan Presiden PAS dan ahli parlimen Bachok ekoran polemik kerajaan perpaduan bersama UMNO.

Polemik kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Parlimen yang menolak idea kerajaan perpaduan.

Pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Desakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Itulah ketegasan Nik Abdul Aziz dalam perjuangannya bersama PAS.

 Kepimpinan Ulama

Pada mulanya pelantikan Nik Abdul Aziz yang berpendidikan agama sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990 dianggap perkara biasa.

Ia berikutan beliau bukanlah pemimpin berlatarbelakangkan agama yang pertama diangkat mengetuai sebuah kerajaan negeri.

Untuk rekod, ketika PAS menguasai Kelantan pada 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak Lotfi Omar ialah seorang yang mendapat didikan agama di Makkah.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz berjaya mewujudkan era 'kepimpinan ulama' yang luar biasa di Kelantan.

Nik Abdul Aziz melihat koleksi dinar emas miliknya untuk lelongan amal pada Muktamar PAS ke-59.
Imejnya yang lebih selesa berjubah dan gaya hidupnya yang sederhana mencerminkan keperibadian tokoh agama terkenal itu.

Malah selama 23 tahun mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz memilih untuk tidak berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Baru, sebaliknya beliau lebih selesa untuk tinggal di rumah asalnya di belakang masjid Pulau Melaka.

Lebih menarik, walaupun menggalas tugas besar sebagai ketua sebuah kerajaan, Nik Abdul Aziz tidak pernah berhenti melakukan tugasnya sebagai pendakwah.

Bekas guru yang pernah mengajar di Ma'ahad Muhammadi di Kota Baru itu tidak pernah berhenti memberi kuliah dan menyampaikan ceramah agama.

Walaupun memikul tanggungjawab yang besar, Nik Abdul Aziz tetap memilih untuk menjadi pendakwa sepenuh masa.

Kontroversi

Ketika hayatnya, Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Kelantan paling lama berkhidmat iaitu sejak 1990 hingga 2013 tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi.

Sama ada ucapan, kenyataan media, serta komen-komen Nik Abdul Aziz yang lebih senang dipanggil 'Tok Guru' sering ditunggu-tunggu oleh kawan dan lawannya dalam politik.

Menariknya, ahli politik berimej ulama itu ternyata mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan kontroversi yang diciptanya sendiri.

Nik Abdul Aziz sentisa menjadi tumpuan pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai isu politik semasa.

Sekadar mengimbas kembali beberapa kenyataanya yang sering menghangatkan dunia politik negara, Nik Abdul Aziz pernah mengemukakan kiasan "Tak salah berkawan dengan syaitan" bagi menjustifikasikan kerjasama politik antara PAS dan DAP.

Bukan itu sahaja, Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'Tuhan pun mencarut' serta mendakwa 'Umno menolak ajaran Islam'.

Bagaimanapun politikus hebat yang mengabdikan diri dalam dunia politik sejak 1967 itu amat 'berseni' mengilas hujah dan kritikan terhadapnya.

Walaupun ada kalanya kenyataan kontroversi yang diungkapnya meletakkan PAS dalam situasi yang merumitkan, Nik Abdul Aziz sangat tenang mematahkan hujah dan kritikan lawan politiknya.

Sikap dan kebijaksanaan beliau itu ternyata sentiasa dipandang tinggi oleh penyokongnya.

Tegas

Dalam kelembutannya berbicara, Nik Abdul Aziz merupakan pemimpin PAS paling 'pantang' mendengar idea kerajaan perpaduan antara parti itu dengan Umno.

Idea kerajaan perpaduan BN-PAS mula timbul selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 apabila menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ketegasan Nik Abdul Aziz itu kian memuncak apabila pada 19 Jun 2009, beliau mendesak supaya Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan.

Bagaimanapun desakan berkenaan ditarik balik tiga hari selepas itu apabila polemik kerajaan perpaduan berjaya dihentikan segara menerusi kenyataan media bersama pimpinan pakatan pembangkang di Parlimen menolak idea berkenaan.

Nik Abdul Aziz bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul PAS, Datuk Dr Haron Din.

Namun ia tidak terhenti di situ apabila pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS itu mencadangkan PAS mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu 'dua tiga kerat pemimpin bermasalah' dalam PAS.

Kali ini 'sasarannya' ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Pengganti

Pemergian Tok Guru sukar diganti. Idea, nasihat serta komen-komennya sudah pasti akan dirindui.

Buktinya walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selepas Mei 2013, Nik Abdul Aziz tetap menjadi sasaran pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai situasi politik semasa.


Biodata Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015)

Pemergian Seorang Ulama

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disahkan menghidap kanser prostat tahap empat dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari 2015 di rumahnya di Pulau Melaka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka. Jenazah bekas Menteri Besar itu disemadikan bersebelahan pusara ayahandanya, Allahyarham Nik Mat Raja Banjar yang meninggal dunia pada tahun 1975.

Nik Abdul Aziz meninggal pada usia 84 tahun.



 
Chatroom