Home » » Susuk Ayat - Susuk Objek

Susuk Ayat - Susuk Objek

Susuk Ayat - Susuk Objek

Amalan susuk sudah sinonim dalam masyarakat Melayu sejak sekian lama bahkan ada segelintir yang masih mengamalkannya sehingga hari ini.

Susuk merujuk kepada amalan memasukkan benda asing ke dalam tubuh badan, dilakukan bagi tujuan kecantikan, awet muda, pelaris, pengasih dan bermacam-macam lagi yang dihajati penggunanya.

Menurut pengamal perubatan tradisional, terdapat dua jenis susuk iaitu susuk ayat dan susuk objek. Katanya, susuk ayat menggunakan ayat al-Quran manakala susuk objek, memasukkan bahan berharga seperti emas, perak dan berlian.



Pengguna susuk mempercayai bahawa pemakaian susuk dapat membantu melaksanakan keinginan masing-masing. Kegunaan susuk tidak terhad kepada tujuan kecantikan dan awet muda semata-mata malah kononnya berupaya menjadikan rumah tangga lebih harmoni, meningkatkan keyakinan diri, memajukan perniagaan dan banyak lagi.

Maka tidak hairanlah dalam era kecanggihan dunia masa kini masih ada yang berpegang kepada perbuatan yang boleh disifatkan agak mistik ini dan tidak kurang juga yang sanggup mengetepikan soal hukum agama demi mengejar apa yang diinginkan.

Biarpun terdapat pelbagai teknik baru dalam rawatan kecantikan, masih ramai yang lebih yakin dengan kaedah tradisional seperti susuk.

Demikian dakwa pengamal perubatan tradisional Melayu dari Pusat Zawil Hayat, Awang Mohd Yahya.

"Saya pernah diundang pakar kosmetik daripada Jepun untuk menunjukkan kepada mereka apakah perbezaan yang dapat dilihat bila seseorang itu disolek biasa berbanding `solekan' yang dibantu pemasangan susuk.

"Hasilnya, mereka memang kagum dengan keberkesanan rawatan tradisional kita hingga berhasrat membuat kajian untuk memahami keseluruhan proses susuk ini," katanya kepada i-Kon.

Berbeza dengan kaedah rawatan kecantikan moden, termasuk implan benang emas, Awang berkata, rawatan susuk tradisional lebih luas skopnya.

Susuk tradisional, katanya, tidak terhad kepada memasukkan objek asing ke dalam tubuh malah merangkumi susuk ayat, yang dikatakan lebih sesuai untuk pengguna Islam.

"Susuk objek, yang biasanya menggunakan emas dan berlian adalah haram bagi umat Islam tetapi tidak susuk ayat kerana ia `memasukkan' ayat al-Quran.

"Namun, beberapa barang seperti serbuk kayu, daun pisang, daun sirih dan limau nipis digunakan bagi menjayakan proses berkenaan," katanya.


Bercerita lanjut mengenai susuk objek, Awang berkata, beliau akan mengingatkan pelanggannya yang beragama Islam mengenai hukum perbuatan itu namun masih ramai yang tidak menghiraukannya dan mendesak supaya rawatan dilakukan.

Bila keadaan itu berlaku, Awang berkata, dia akan menunaikan hasrat pelanggan berkenaan tetapi memberi tunjuk ajar bagaimana ia boleh dikeluarkan.

"Mereka perlu tahu perkara ini kerana jika tidak ia akan mendatangkan masalah," katanya sambil menambah jasad mereka yang memakai susuk objek tidak akan diterima bumi.

Banyak tujuan orang memakai susuk, jelas beliau. Bukan sekadar menaikkan seri wajah, sebagai pelaris diri atau perniagaan, penunduk, malah pemakaian susuk juga, katanya, boleh mengeratkan hubungan suami isteri.

Siapakah pelanggan utama?

Kebanyakannya perempuan dan orang kenamaan, datin, artis dan ahli perniagaan, kata Awang. Tidak terkecuali, penuntut.

"Saya pernah memberi rawatan susuk kepada gadis semuda 17 tahun, yang putus cinta," katanya mengakhiri bicara.



 
Chatroom