Home » » Buah-buahan pulih tenaga selepas berpuasa

Buah-buahan pulih tenaga selepas berpuasa

Bulan Ramadan pasti memberi cabaran kepada umat Islam kerana mereka bukan saja terpaksa menahan lapar dan dahaga tetapi juga melakukan aktiviti harian seperti biasa. Dalam hal ini pastinya rasa letih, penat dan mengantuk sentiasa dirasai disebabkan kurang mengambil makanan berkhasiat yang membekalkan tenaga. Ramai tidak tahu kekurangan tenaga boleh menjejaskan kecerdasan dan tumpuan belajar serta menjalankan tugasan harian. Apabila ini berlaku badan menjadi lemah dan lesu serta boleh menyebabkan munculnya penyakit lain seperti demam, batuk atau selesema. Menurut pakar pemakanan, Indra Balaratnam, untuk mendapatkan bekalan tenaga dengan kadar segera, pengambilan buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, pear, prun, oren, jambu batu, anggur dan semua jenis beri adalah sangat bagus sepanjang berpuasa nanti. Buah-buahan ini boleh dimakan begitu saja atau enak dibuat jus bagi mengisi keperluan nutrien sama ada ketika berbuka puasa dan bersahur. "Anda boleh mencuba campuran jus tembikai bersama belimbing atau jus epal hijau bersama jambu batu dan oren untuk mendapatkan bekalan tenaga mencukupi," katanya. Selain itu masalah yang sering dihadapi ialah nafas berbau yang disebabkan kekurangan air dan bendalir dalam badan. Oleh itu, penting memastikan penghidratan mulut dan mencegah pengumpulan sebatian mengandungi sulfur yang boleh menjejaskan gusi. "Namun jangan bimbang kerana semua ini boleh dielakkan hanya dengan pengambilan buah-buahan dalam kadar mencukupi. Bagi mengurangkan masalah nafas berbau, masukkan nanas dan betik ke dalam masakan atau mengambilnya sebagai buah-buahan segar ketika berbuka puasa. Nanas boleh dimasak sebagai pajeri manakala betik muda boleh dibuat rojak yang enak dimakan bersama sajian tempatan berempah atau pedas. Untuk menghilang rasa pedas, kunyah beberapa potong nanas segar selepas makan," nasihat Indra. Selain khasiat dalam pemakanan sepanjang Ramadan, Indra juga menggalakkan orang ramai menjadikan buah-buahan sebagai hadiah ketika berkunjung ke rumah rakan atau sajian pada hari raya dan majlis rumah terbuka kelak. Perkara paling penting adalah mengawal nafsu makan sama ada ketika berpuasa atau musim perayaan nanti. Pelbagai juadah lazat dihidangkan di meja mungkin akan menyebabkan anda makan apa saja sehingga boleh menjejaskan kesihatan. "Selain keseronokan, musim perayaan juga boleh membawa tekanan. Namun perkara ini boleh dielakkan sekiranya individu mempunyai bekalan buah-buahan yang kaya vitamin C untuk membantu memperkuatkan sistem imunisasi dan menjauhkan selesema dan sakit tekak. Buah-buahan merah atau ungu kaya antioksidan dapat menguatkan kekebalan tubuh. Ambil lebih banyak buah-buahan yang kaya antioksidan, untuk membantu menentang kesan kerosakan pada badan," katanya. Jelasnya, ramai orang tidak dapat mengawal nafsu makan sedangkan pengambilan makanan secara berlebihan memberi kesan buruk kepada tubuh. Untuk mengelak masalah makanan tidak hadam pula, makan nanas selepas mengambil makanan berat kerana nanas mengandungi enzim bromelain yang membantu penghadaman. Sesiapa juga mampu kelihatan menarik dan kekal langsing dengan bantuan buah-buahan. Ini terbukti daripada kajian di Britain baru-baru ini yang menunjukkan pengambilan dua hidangan tambahan sayuran dan buah-buahan seperti lobak merah dan tomato membantu mencantikkan warna kulit. Menurut pakar penyelidik, pigmen karetonoid jingga kemerahan membantu menjadikan kulit lebih berseri. "Minum campuran jus tomato dan lobak merah bersama epal untuk mendapatkan tambahan karetonoid atau jus tembikai susu bersama mentimun yang membantu melicinkan kulit," ujarnya. Indra turut mendedahkan, daripada Tinjauan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga, 70 peratus rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dan tidak mengambil buah-buahan dan sayuran secukupnya. Memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia semakin sibuk dengan aktiviti harian sehingga lupa pada pengambilan makanan sihat, bersempena Hari Buah-Buahan Antarabangsa, kedai buah-buahan MBG berhasrat menghidupkan semula rasa cinta rakyat Malaysia kepada buah-buahan. Pada masa sama, ia memulakan tinjauan selidik di seluruh negara untuk mengetahui tabiat makan buah-buahan, kecenderungan dan pandangan orang ramai mengenai pentingnya buah-buahan dalam hidup mereka. Hasil kaji selidik ini akan membolehkan lebih banyak maklumat dan sumber dalam mendidik rakyat mengenai khasiat buah-buahan dan menyokong objektif kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara sihat pada masa akan datang. Menurut Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee, inspirasi menjalankan kaji selidik ini selepas melihat keberkesanan tinjauan yang dijalankan pelajar di Berlin. "Hasil kajian berkenaan menunjukkan cara terbaik mengeratkan hubungan ialah dengan berkongsi makanan berkhasiat seperti buah-buahan. Bersempena Hari Buah-Buahan Antarabangsa yang dirayakan di seluruh dunia pada Julai ini kami ingin menggalakkan rakyat Malaysia makan lebih banyak buah-buahan dan berkongsi di tempat kerja, rumah dan pergaulan sosial untuk menjaga kesihatan," katanya.



 
Chatroom