Home » » Pengakuan Mangsa Produk Pelangsingan Tiruan (Kurus)

Pengakuan Mangsa Produk Pelangsingan Tiruan (Kurus)

Pengakuan Mangsa Produk Pelangsingan Tiruan Jus Mate 5
Mereka inginkan tubuh cantik dan langsing persis model, tapi apa yang berlaku sebaliknya apabila padah pula menimpa.

Lebih malang, ada yang sukar membuang air kecil dan air besar hampir sebulan serta muntah darah, manakala tekak pula berasa panas.

Itulah kesan sampingan dialami Azlina Muhammad, 25, dan Muhammad Anas, 24, dua mangsa produk pelangsingan badan tiruan yang berlambak di pasaran.

Ikuti pengakuan mereka yang mengharapkan pengguna lain lebih berhati-hati dan tidak terkena perangkap sama berikutan sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang tergamak menjual produk tiruan semata-mata mahu mengaut keuntungan mudah.

PENGAKUAN A:

IMPIAN seorang ibu muda untuk menurunkan berat badan musnah selepas dia mengalami masalah sukar membuang air kecil dan air besar hampir sebulan sejak menggunakan produk pelangsingan badan tiruan yang dibeli di kios sebuah pasar raya besar di ibu kota.

Azlina Muhammad, 25, berkata, berat badannya mencecah 53 kilogram (kg) selepas melahirkan anak tunggalnya yang kini berusia lebih dua tahun, menyebabkan dia berhasrat menurunkannya kepada 46kg seperti sebelum hamil.

"Saya terbaca mengenai produk Jus Mate 5 (JM5) melalui akhbar lalu berminat menggunakannya kerana mahu menurunkan berat badan yang makin gempal dan tampak berisi.

"Semuanya berlaku pada 2010 apabila saya terlihat produk JM5 dijual di kios berkenaan dan berminat membelinya kerana sangka ia produk sama dengan produk asli JM5 keluaran dR Rozmey Group (dRG) yang diiklankan di akhbar.

"Saya tak sangka ia menyebabkan saya menderita kerana bungkusan dan harga produk tiruan itu hampir sama seperti yang tulen," katanya.

Azlina berkata, ketika itu hebahan mengenai produk tiruan JM5 tidak banyak didedahkan dan dia tidak tahu mengenai kesan ditanggung jika mengambil produk tiruan mengandungi sibuteramin atau bahan kimia berlebihan.

"Saya mengambil produk tiruan itu satu bungkus kecil sehari seperti disarankan jurujual. Namun selepas seminggu menggunakannya, perubahan ketara berlaku apabila kerap pening kepala, muntah dan cirit-birit walaupun baru menggunakan tidak sampai sekotak.

"Harapan untuk menurunkan berat badan musnah, malah berat badan tidak turun langsung. Masalah lain pula timbul apabila saya tidak boleh membuang air kecil dan besar, menyebabkan toksik dalam badan.

"Disebabkan itu, saya terpaksa merujuk kepada klinik swasta di Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan pundi kencing saya mengalami masalah yang mungkin disebabkan produk pelangsingan tiruan diambil.

Presiden dR Rozmey Group, Datuk Dr Che Rozmey Che Din menunjukkan Jus Mate 5 yang asli di tangan kanannya dan tiruan


"Doktor memberi saya ubat untuk membantu membuang air kecil dan besar, malah saya terpaksa bergantung pada ubat itu untuk proses perkumuhan," katanya.

Azlina berkata, dia kemudian menghubungi pengedar aktif dRG, Rozie Md Zain untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk JM5 tulen.

"Memang sah saya terbeli produk tiruan apabila Rozie beritahu ramuan digunakan dalam produk itu berperisa soya dan berwarna putih, sedangkan JM5 tulen berperisa oren.

"Berdasarkan nasihatnya, saya membeli tiga kotak produk tulen JM5 dan terasa kelainannya apabila berat badan mula turun selepas pembuangan air kecil dan besar lebih kerap serta badan terasa ringan serta selesa.

"Kini saya takut membeli produk di pasaran terbuka kerana banyak yang tiruan dan hanya menyebabkan penderitaan pada diri sendiri, sedangkan produk asli memberi kesan diidamkan," katanya.

PENGAKUAN B

"SAYA pernah mengalami muntah darah kerana tekak panas selepas terbeli produk pelangsingan badan tiruan Jus Mate 5 (JM5) yang dibeli di pasaran terbuka semata-mata hendak cepat kurus hinggakan saya menderita," kata Muhammad Anas Mohd Aris.

Dia yang menetap di Gombak, Selangor berkata, akibat pengambilan produk itu juga, pakar perubatan mengesahkan tekaknya dijangkiti kuman, malah pernah demam dan hilang selera makan hinggakan kelihatan pucat dan tidak bermaya.

Muhammad Anas, 24, berkata doktor terbabit bertanya sama ada pernah tersilap makan, tetapi dia hanya menggelengkan kepala dan tidak menceritakan pernah mengambil produk pelangsingan badan yang dibeli di sebuah toko jamu di Kuala Lumpur kerana bimbang dimarahi.

"Kejadian berlaku tiga tahun lalu tetapi pengalaman itu sungguh perit buat saya yang tidak menyangka ia akan terjadi pada diri sendiri kerana mahu kurus akibat berat badan mencecah 145 kilogram (kg).

"Bukan tak tahu produk tulen jenama itu hanya dijual menerusi on-line, tetapi disebabkan keliru dengan cara pembungkusan dan ramuannya yang serupa, saya tak kisah mengeluarkan RM200 untuk membeli sekotak kerana ia sama dengan harga produk tulen," katanya.

Muhammad Anas berkata, dia mengikut aturan makan di kotak itu dengan mengambil dua bungkusan kecil sehari iaitu pada waktu pagi dan malam tetapi tidak sampai seminggu, perubahan mendadak berlaku apabila hilang selera makan selama dua atau tiga hari selepas mengambil produk JM5 tiruan.

"Sebenarnya, bapa saya, (Mohd Aris Ahmad, 56,) yang mengesyorkan produk JM5 kerana kasihan melihat saya terlalu gemuk hingga sering letih dan penat jika banyak berjalan.

"Saya pernah mencuba pelbagai produk pelangsingan badan lain di pasaran terbuka tetapi gagal membantu, namun kini masalah lain pula timbul," katanya.

Muhammad Anas berkata, produk tiruan berlambak di pasaran, termasuk dijual di tepi jalan atau pasar malam, menyebabkan dia terkeliru kerana bungkusannya tidak banyak beza.

Katanya, produk tulen memberi kesan lebih ketara apabila berat badannya mula menyusut.

"Selepas hampir setahun berhenti mengambil produk JM5 tiruan, bapa memberi semangat supaya tidak berputus asa dan menyarankan saya membeli produk JM5 tulen di kaunter dRG di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

"Saya mencuba produk JM5 tulen sejak awal Ogos tahun lalu dan nampak perubahan apabila boleh duduk bersila atau tidur mengiring berbanding dulu," katanya.

PENGAKUAN C

SEORANG lagi mangsa JM5 tiruan yang hanya mahu dikenali sebagai Shahira, 30-an, mengakui mengambil produk itu sehingga berkotak-kotak tetapi langsung tiada kesan, malah nafsu makan dan minum semakin membuak-buak.

"Produk tiruan lebih manis dan pekat daripada asli tetapi langsung tidak berkesan walaupun saya banyak menghabiskan wang.

"Mungkin disebabkan ketika itu saya tak banyak tahu bahaya produk tiruan, saya tidak ambil kisah mengenai masalah itu hinggalah saya terasa berat badan naik.

"Disebabkan itu, saya berhenti mengambil produk tiruan dan merujuk masalah kepada pihak dRG sebelum mula mengambil produk asli JM5," katanya.

Shahira berkata, mungkin disebabkan semangatnya ingin cepat kurus menyebabkan dia mengambil jalan mudah membeli produk JM5 di kios pasar raya biarpun produk asli hanya boleh dibeli melalui on-line, pengedar sah dRG atau pembelian terus di kaunter dRG.

Menurutnya, dia turut mengalami masalah jantung berdebar-debar, sakit kepala dan tiada selera makan.

"Akibatnya saya kurang bermaya dan letih sehingga wajah saya pucat.

"Bagaimanapun, saya bersyukur masalah dialami tidak berpanjangan kerana cepat tersedar dan terus berhenti mengambil produk tiruan," katanya.

~ Metro Ahad



 
Chatroom