Home » » Garis panduan pemanduan berhemah

Garis panduan pemanduan berhemah

Mengikut statistik sebelum ini, jumlah kemalangan jalan raya meningkat pada musim perayaan termasuk Aidilfitri.

Ketika Aidilfitri, kesibukan lalu lintas memang luar biasa kerana masing-masing mahu pulang beraya di kampung halaman.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan operasi bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta mengurangkan kemalangan jalan raya.

Justeru, bagi mengelak kemalangan di jalan raya, pastikan kenderaan anda dalam keadaan sempurna dan memandu mengikut peraturan, bukan perasaan.

Minta nasihat mekanik kereta yang berpengalaman dan ganti alat baru jika ia tidak berfungsi.

Seorang pemandu yang berhemat sentiasa menentukan kenderaannya dalam keadaan baik bagi memastikan keselamatan diri, penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Perkara asas perlu diberi perhatian ialah brek, minyak brek, lampu brek dan isyarat, minyak klac, air radiator, bunga tayar dan tekanan angin, lampu utama, pengilap cermin, hon, ekzos dan tali pinggang keselamatan.

Selain itu, pastikan lesen memandu, cukai jalan dan insurans masih boleh digunakan.

Pemandu juga dinasihatkan merancang laluan dan peruntukan masa untuk perjalanan.

Ada enam keadaan menjadi faktor berlakunya kemalangan, iaitu kenderaan, pemandu, cuaca, penglihatan, lalu lintas dan jalan raya.

Jika peralatan kenderaan tidak memuaskan ia akan menjejaskan sistem pemanduan anda.

Pemandu juga perlu mengetahui sedikit sebanyak selok-belok penjagaan kereta.

Laporan pasukan penunda mendapati kebanyakan kereta yang terhenti ketika dalam perjalanan tidak mengalami kerosakan serius sebaliknya hanya ada masalah bateri kereta lemah dan tiada minyak.

Justeru, bawa beberapa alat ganti yang mudah dan peralatan mekanik di dalam kereta kerana masalah boleh berlaku bila-bila masa.

Garis panduan pemanduan berhemah:

* Sesuaikan kelajuan berdasarkan keadaan kenderaan, pemandu, cuaca, penglihatan dan lalu lintas.

* Patuhi peraturan jalan raya dan papan tanda keselamatan.

* Tumpukan perhatian kepada jalan raya.

* Jangan tergesa-gesa, tunggu dulu jika tidak pasti.

* Rancang perjalanan lebih awal.

* Tunjukkan niat anda dengan menggunakan isyarat yang betul.

* Mahirkan diri anda dengan kenderaan yang digunakan.

* Sentiasa berwaspada ketika di persimpangan.

* Bersopan-santun terhadap pengguna jalan raya lain pada setiap masa.




 
Chatroom