Berhati-hati dengan ubat tiruan
Ubat palsu merupakan sediaan ubat yang mempunyai nama dan serupa dengan sediaan ubat asli yang sememangnya telah diuji serta diluluskan untuk digunakan. Bahan ini yang juga dikenali sebagai ubat tiruan yang disedia menggunakan label serta nama dagangan yang sama dengan sediaan tulen dan dikilangkan di premis yang tidak diluluskan serta menggunakan bahan mentah yang tidak berkualiti.
Ubat palsu ini wujud kerana peniaga haram mahu mengaut keuntungan berdasarkan keyakinan pengguna terhadap sediaan ubat tulen yang telah teruji keberkesanannya dan dipercayai oleh pengguna. Selain daripada itu, ubatan tulen dihasilkan melalui operasi pengilangan yang diakui benar-benar sesuai dengan operasi pengilangan ubat serta ubat tersebut telahpun diuji dengan tiga kriteria penting iaitu selamat, berkesan dan berkualiti.
Ubat-ubatan tulen di negara ini telah menjalani penilaian yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebuah badan kerajaan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai badan kompeten dalam penilaian ubat. Piawai penilaian ubat yang digunakan oleh badan tersebut memenuhi standard yang digunakan oleh mana-mana agensi kawalan ubat di negara-negara maju.
Walaupun terdapat beberapa cara menyediaan sesuatu ubat, bentuk sediaan umum yang dihasilkan pada masa kini dapat digolongkan kepada dua jenis:
1. Sediaan sistemik - yang meliputi sediaan oral seperti kapsul, ampaian dan emulsi dan sediaan parenteral (sediaan suntikan). Sediaan jenis ini biasanya menggunakan proses penyerapan ubat ke dalam darah sama ada melalui jalan seperti oral atau suntikan dan kesan ubat diperolehi apabila ubat dibawa oleh darah ke tapak tindakan.
2. Sediaan setempat - yang digunakan untuk mendapatkan kesan setempat seperti sediaan transdermal yang diletakkan di atas kulit, sediaan semburan yang disampaikan terus ke dalam paru-paru atau pada kawasan kulit, supositori, sediaan mata dan sediaan telinga. Walaupun sediaan setempat digunakan untuk mendapatkan kesan pada sesuatu kawasan tertentu sahaja, sediaan tersebut juga digunakan untuk menyampaikan ubat ke dalam saluran peredaran darah.
Penghasilan bentuk sediaan bagi sesuatu ubat merupakan langkah pemilihan gabungan terbaik antara ubat dengan bahan lengai yang lain. Bahan lengai yang terpilih mestilah membebaskan bahan aktif atau ubat supaya ubat tersebut dapat bertindak dengan tapak tindakan dan juga memastikan ubat dapat disampaikan untuk tujuan penggunaannya.
Bentuk sediaan yang dihasilkan mestilah juga menarik supaya pengguna dapat mengambil bentuk sediaan seperti yang diarahkan. Sesuatu ubat biasanya disediakan dalam beberapa bentuk sediaan bergantung pada masa permulaan tindakan ubat penerimaan pesakit. Sebagai contoh, ubat hidrokortison yang digunakan bagi rawatan penyakit inflamasi, alergi dan kekurangan fungsi kelenjar adrenal disediakan dalam dua bentuk sediaan, iaitu tablet dan suntikan.
Sekiranya sesuatu penyakit memerlukan rawatan kecemasan, maka bentuk tersebut akan menghasilkan tindak balas ubat yang cepat. Untuk penyakit yang tidak serius, pemberian secara oral digunakan untuk memudahkan penerimaan ubat tersebut.
Pada kes tertentu, seperti pesakit kanak-kanak yang sukar menerima dalam bentuk tablet, maka sediaan tablet diubah suai menjadi bentuk ampaian atau larutan.
Apabila sesuatu ubat dipasarkan, ahli farmasi bertanggungjawab menentukan bahawa sesuatu yang diberikan kepada pesakit atau pengguna benar-benar selamat.
Perhatian ini penting kerana pada peringkat awal pembentukan sesuatu ubat, ujian yang dilakukan hanyalah melibatkan sampel pesakit yang terhad. Oleh itu, apabila bilangan pengguna meningkat serta ubat digunakan untuk tempoh masa yang panjang, terdapat kemungkinan timbulnya kesan mudarat ubat yang belum diketahui.
Proses pemantauan dilakukan untuk mendapatkan kesan ubat daripada bilangan pesakit yang lebih besar. Selain aspek kesan ubat, seseorang pengguna mungkin juga menghidapi pelbagai komplikasi penyakit yang memerlukan pengambilan beberapa jenis ubat.
Apabila keadaan polifarmasi ini timbul, maka persoalan tentang interaksi ubat menjadi mustahak dan keserasian ubat dengan kehadiran ubat-ubat lain perlu diperiksa. Interaksi ubat dapat berlaku dari segi gangguan dalam proses penyerapan dan ubat-ubat lain, persaingan terhadap tapak pengikatan protein didalam serum, perubahan metabolisme ubat dan persaingan proses ekskresi ubat lain.
Maklumat ubat juga penting semasa peringkat pemasaran ubat. Maklumat ubat yang tepat berkenaan dengan mekamisme tindakan ubat, kegunaan ubat dalam rawatan, dos ubat yang disyorkan untuk rawatan, profil farmakokinetik dan kesan sampingan yang mungkin timbul berguna bagi membantu para pengamal perubatan menimbang rasional pemberian ubat kepada pesakit.
Pengguna haruslah ingat bahawa melalui perolehan maklumat yang lengkap dari sumber yang bersesuaian sebelum mengambil sesuatu ubat seperti dalam hal pengubatan sendiri dapat sekurang-kurangnya mencegah pengguna dari ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur.