Home » » Ramadan: Berhati-hati ubah tabiat pemakanan

Ramadan: Berhati-hati ubah tabiat pemakanan

Dalam menjalani ibadat puasa dan melipatgandakan amalan pada Ramadan, penting untuk seseorang itu mengekalkan kesihatan baik sepanjang tempoh ini.

Tabiat pemakanan berubah secara mendadak ketika Ramadan, iaitu di antara tempoh berpuasa dan berbuka puasa.

Perubahan waktu makan secara automatik akan menukar tabiat makan dan jenis makanan diambil, sekali gus mungkin boleh mencetuskan gejala tidak selesa pedih hulu hati dan senak.

Makan terlalu cepat, dalam kuantiti banyak dan sebelum tidur antara punca lazim menyebabkan pedih hulu hati dan senak. Malangnya, ini paling kerap berlaku ketika Ramadan.

Ketika berpuasa, tiada makanan dalam perut dan secara teknikalnya, terlalu sedikit asid dalam perut. Bagaimanapun, terfikir mengenai makanan mahupun baunya akan menghantar isyarat otak untuk menghasilkan asid, menyebabkan ketidakselesaan dalam perut apabila tiada makanan dihadam.

Apabila berbuka puasa, pilihan hidangan biasanya mengandungi makanan berlemak dan pedas. Makanan berlemak biasanya mengambil masa lama untuk dihadam. Oleh itu, perut mengeluarkan lebih banyak asid yang boleh menyebabkan pedih hulu hati atau ketidakhadaman.

Gejala pedih hulu hati, termasuk rasa terbakar pada bahagian dada disebabkan oleh refluks asid, yang boleh melarat hingga ke tekak, menyebabkan seseorang itu boleh merasai rasa masam dan pahit asid.

Selain pedih hulu hati, senak juga biasa dialami ketika Ramadan. Senak merujuk kepada kesakitan dirasai di bahagian atas abdomen, menyebabkan rasa loya.

Perunding gastroenterologi, Dr Ganesanathan berkata, beliau menerima banyak aduan pedih hulu hati dan senak dalam tempoh Ramadan.

"Pelbagai makanan lazat diambil dalam tempoh itu adalah punca ketidakselesaan pedih hulu hati dan senak. Biasanya, saya menetapkan beberapa ubat bagi menangani masalah refluks asid dan menasihatkan pesakit meneliti semula apa yang mereka makan dan bagaimana mereka makan iaitu makanan kurang lemak dan pedas, makan dalam jumlah kecil dan makan sebelum tidur," katanya.

Menurutnya, untuk mengelak pedih hulu hati, amalkan makan secara sederhana, pilih makanan kurang pedas atau berminyak dan tidak makan berlebihan.

Tip sihat untuk mengekalkan kesihatan baik sepanjang Ramadan ialah kunyah makanan perlahan-lahan, ambil buah-buahan segar dan kacang.



 
Chatroom