Kurus itu cantik?
Kurus itu cantik? Apakah pandangan anda mengenai kenyataan ini? Kurus ataupun langsing menjadi impian semua orang, baik lelaki mahupun wanita. Sering kali cantik itu dikaitkan dengan kurus.
Kurus itu cantik. Dua benda yang sangat sinonim. Wanita berbadan gemuk dikatakan kurang menarik. Hakikatnya semua orang mahukan tubuh yang langsing. Bagi remaja, mempunyai bentuk badan yang ramping adalah sesuatu yang amat mereka inginkan.
Mereka sanggup melakukan apa saja semata-mata ingin mendapatkan bentuk badan idaman masing-masing. Ada yang sanggup melaburkan wang beribu-ribu ringgit untuk melakukan pembedahan membuang lemak yang ada dalam badan.
Bagi sesetengah remaja, kurus membolehkan mereka berjalan dengan langkah yang bertenaga dan lebih yakin. Berat 45 kilogram dan ke bawah adalah berat yang ingin dicapai bagi golongan yang berbadan besar.
Semakin kurus semakin mereka suka tanpa menyedari bahawa keadaan itu akan memudaratkan diri sendiri juga. Mereka mengandaikan bahawa berat badan berlebihan tidak cantik dan memalukan.
Keadaan ini sekali gus menyebabkan mereka menjadi seorang yang pasif dan kurang dalam pergaulan sama ada sesama jantina ataupun berlawanan jantina. Kurus, gemuk dan cantik biasanya menghantui diri golongan remaja perempuan berbanding lelaki.
Diet yang melampau, pil kurus mahupun ke pusat kecantikan menjadi pilihan remaja untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal mengikut ukuran BMI (body mass index). Mereka sanggup berbelanja besar membeli pil berkenaan tanpa menghiraukan kemudaratan yang menanti mereka pada kemudian hari nanti.
Mereka juga tidak mengambil kisah mengenai keberkesanan pil dan hanya percaya dengan kata-kata jurujual. Andai pil itu tidak berkesan, mereka akan mencari pil yang lain untuk ditelan tanpa menghiraukan baik buruk dan risikonya.
Walhal pil itu hanya boleh didapati di pasar malam dan di tepi jalan dengan harga yang murah. Sudah ramai yang menjadi mangsa, ramai yang terpedaya, namun sehingga kini tiada orang yang serik menggunakan bahan terlarang untuk mendapatkan bentuk tubuh badan yang ramping.
LAMBAKAN PIL
Jumlahnya tidak pernah berkurangan malah lambakan produk dan pil itu menunjukkan bahawa ia mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat dan remaja terutamanya.
Kebiasaannya, orang yang sering menjadi mangsa produk tiruan ini adalah mereka yang kurang berpengetahuan mengenai selok-belok sesuatu perkara. Ada juga yang mempunyai pengetahuan tetapi malangnya bersikap sambil lewa untuk mendapatkan produk yang murah secara cepat dan mudah.
Pernahkah kita berfikir mengapa saiz S menjadi pilihan si gadis? Tapi dengan pemakanan yang tidak boleh dikawal, bagaimana impian langsing akan jadi nyata? Makan itu boleh tetapi makan perlu cara yang baik.
Makan secara baik ini bukan saja boleh melangsingkan badan, malah sangat memberi kesan positif kepada kesihatan. Diet itu perlu bagi sesiapa yang bertubuh gempal melebihi tahap BMI, namun diet yang melampau dan melebihi batas kemampuan badan hendaklah dihentikan dengan kadar yang segera.
Terdapat beberapa tip atau petua yang mudah untuk menguruskan badan dengan cara makan yang baik dan menjaga kesihatan yang boleh diikuti oleh semua. Sihat sepatutnya menjadi matlamat utama dalam usaha menguruskan berat badan dan bukanlah rupa yang cantik semata-mata.
Kesihatan itu lebih mahal harganya daripada bentuk badan yang cantik. Petua pertama adalah mengelakkan makan makanan ringan seperti kerepek, biskut dan snek. Ini kerana biasanya makanan ringan ini tidak mengandungi sebarang khasiat yang lengkap untuk tubuh badan anda dan hanya mengandungi karbohidrat dengan kalori berlebihan di samping pelbagai bahan pengawet dan perasa tiruan yang berbahaya untuk kesihatan.
Jangan berlapar dan meninggalkan masa makan. Pastikan setiap makanan atau menu yang diambil mengandungi gizi yang seimbang iaitu lengkap dengan karbohidrat, lemak, protein, serat dan air.
Petua yang kedua ialah pengambilan protein sihat iaitu `protein putih'. Kurangkan sumber `protein merah' seperti daging yang kaya dengan lemak tepu. Makanan tinggi protein putih boleh diperoleh melalui ikan, tauhu, tempe, telur, udang atau sotong. Elok juga dipelbagaikan sumber protein untuk badan kita seperti daripada sumber kekacang.
Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran adalah petua yang ketiga. Seperti yang kita ketahui, buah-buahan dan sayuran hijau mempunyai pelbagai khasiat antioksidan, mineral dan vitamin untuk tubuh badan.
CARI SERAT
Buah-buahan juga amat kaya dengan serat atau fiber. Walaupun rasanya manis, ia mempunyai indeks glisemik yang rendah. Jadi amalkan makan buah-buahan sebelum makan terutamanya jambu batu, mangga, limau, oren, epal, betik dan belimbing. Sayur-sayuran pula mengandungi kadar serat yang tinggi dan baik untuk kulit.
Petua keempat adalah banyakkan minum air kosong atau air mineral. Air kosong membantu membakar kalori berlebihan dalam badan kerana ia berkalori kosong dan ia memerlukan kalori untuk diproses dalam tubuh manusia. Sentiasa minum air kosong dan amalkan lapan gelas air kosong sehari.
Elakkan minuman manis dan berkarbonat kerana gula dalam minuman mempunyai kalori yang tinggi dan indeks glisemik yang tinggi. Amalkan pengambilan suplemen adalah petua yang kelima seperti multivitamin , vitamin C, vitamin E, antioksidan, omega 3, mineral kalsium, magnesium dan zink.
Ini membantu mengekalkan sistem metabolisme tubuh ke tahap yang optimum. Banyak kajian membuktikan pengambilan suplemen seperti omega 3 boleh menurunkan berat badan.
Petua ini jika diamalkan akan menyumbang kepada berat badan yang idea dan juga kesihatan yang baik. Tidak salah kalau mencuba andai sememangnya mahukan tubuh badan yang cantik.
Namun janganlah menjadi seperti penghidap Anorexia yang memuntahkan semula makanan yang telah dimakan. Keadaan ini tidak elok untuk dituruti kerana akan memberi banyak kesan yang negatif daripada positif.
Memiliki badan yang gempal tidak menjadi masalah yang besar. Gempal atau gemuk tidak semestinya hodoh dan kurus itu tidak semestinya cantik. Mempunyai badan yang agak gempal juga akan menarik pada pandangan mata si pemerhati.
Kurus itu cantik, gemuk itu menawan.
Tiada masalah yang akan timbul sekiranya semua orang berfikiran sebegini. Masing-masing mempunyai cita rasa dan kehendak tersendiri apabila memasuki bab jodoh pula. Rupa paras tidak menjadi masalah penting tetapi hati dan niat yang tulus perlu dalam mendirikan rumah tangga.
Justeru, janganlah risau soal rupa paras dan bentuk badan, biarlah apa yang orang lain mahu katakan asalkan kita menjadi diri sendiri.
Maznira Abdul Razak
Pelajar jurusan Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam