Home » » Pelakon Fathia warisi kejelitaan ibu

Pelakon Fathia warisi kejelitaan ibu

Pelakon Fathia warisi kejelitaan ibu

Pelakon Fathia mewarisi kejelitaan ibunya, Badriyah Hassan yang berdarah campuran Arab dan Melayu.

Fathia juga tinggi seperti ayahnya, Abdul Latiff Mohd Tahir, 54.

Menurut Badriyah sejak kecil Fathia, 27 atau nama penuhnya, Nur Fathia Abdul Latiff memang cenderung meminati bidang seni.

"Fathia seorang yang aktif dan `happy go lucky' di mana sikap periangnya itu kekal sehingga kini. Saya jarang lihat dia bersedih. Walaupun sudah bergelar pelakon sikapnya tidak pernah berubah dan apabila dia berada di rumah bersama kami, saya dan adik-adiknya tak rasa pun yang dia seorang bintang atau pelakon.

"Sehinggalah kami berjalan ke mana-mana dan ada peminat yang mahu bergambar dengannya barulah saya sedar Fathia adalah milik masyarakat.

"Yang jelas sikapnya yang tidak pernah berubah sama ada dengan keluarga, kawan-kawan, saudara mara dan sepupu-sepupunya. Dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai insan terkenal dan popular.


"Kalau kami mengadakan acara keluarga bersama saudara mara, pasti dia akan jadi MC (pengacara) majlis. Fathia juga pemurah, tidak pernah berkira mengenai wang ringgit.

"Walaupun Fathia anak sulung tetapi dia lebih manja dengan saya dan abahnya berbanding adik-adiknya. Dia juga amat rapat dengan Farhana kerana beza usia mereka satu tahun setengah saja. Satu-satu adik lelakinya yang bongsu, Mohd Ilham (18 tahun) pula seperti sudah mengambil alih peranan sebagai anak sulung dan dia yang menjaga kakak-kakaknya.

"Fathia mudah mesra dan dia tidak pernah buruk sangka dengan orang. Baginya semua orang baik sehingga saya perlu mengingatinya selalu agar berhatihati," katanya.

Melanjutkan bicara sambil membelek gambar ketika Fathia dan adik-adiknya, Nur Farhana, 25, Nur Fasiha, 21, dan Ilham masih kecil, jelas Badriyah, sejak di sekolah tadika sehingga dia bersekolah rendah dan menengah Fathia suka mengambil bahagian dalam kebudayaan dan persembahan sekolah.

"Kalau ada persembahan di sekolah dia orang pertama akan menawarkan diri. Barangkali tak ramai yang tahu sebenarnya Fathia suka menyanyi dan sebab itu saya tak sangka dia akan jadi pelakon.

"Dia selalu mengambil bahagian dalam pertandingan menyanyi di Shah Alam dan menang. Kalau kami sekeluarga pergi ke mana-mana, sepanjang perjalanan dalam kereta dia akan menyanyi dan adik-adiknya akan menjadi suara latar.

"Fathia mewarisi minat abahnya yang suka pada seni. Ketika saya dan suami menuntut di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) abahnya suka bermain muzik.

"Meskipun kami memahami minatnya terhadap dunia seni, kami mahu dia tamatkan pengajiannya dalam jurusan Undang-Undang di UiTM, Shah Alam kerana dia perlukan kekuatan akademi untuk membentuk masa depan yang lebih terjamin.

"Dia juga berjanji akan mengutamakan pengajiannya dan Insya-Allah dia akan tamat pada penghujung tahun ini. Tidak selamanya dia akan berlakon dan sebab itulah kami mahu dia berjaya dalam pelajaran," katanya.

Mampu belajar, hafal skrip serentak

Cerita Badriyah lagi kadang dia kasihan melihat anak sulungnya itu yang terpaksa terkejar ke sana ke mari antara pelajaran dan lakonan.

"Dia baru saja selesai menduduki peperiksaan semester dan pada masa sama sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Ariana Rose. Dia tiba di rumah sudah lewat malam, belum sempat berehat dia terus `study' dan undang-undang adalah subjek yang agar sukar. Saya pun pelik macam mana dia nak hafal skrip dan mengingati pelajarannya.

"Untuk menghilang mengantuknya dia akan bertemankan secawan Nescafe panas dan coklat, dia akan belajar sampai pagi. Adakala dia akan panggil kawan-kawannya datang ke rumah menemaninya belajar, ada yang jadi pensyarah tak bertauliah menerangkan setiap subjek kepadanya agar mudah untuk diingati.

"Fathia juga bernasib baik kerana Farhana turut belajar undang-undang di UiTM, Shah Alam, jadi mereka boleh berbincang subjek yang sama," katanya.

Manakala Fasiha pula sedang melanjutkan pengajiannya di Ireland dalam jurusan perubatan.

Badriyah selalu bertanya kepada Fathia, tidakkah dia penat dengan situasinya sebagai pelajar dan pelakon. Jawabnya `tidak' kerana dia berlakon kerana minat dan apabila dia buat perkara yang disukai, rasa penat lenyap begitu saja.

"Ada juga dia mengajak saya dan Farhana menemaninya di lokasi, tetapi saya tak sanggup berada lama-lama di set.

"Setiap kali dramanya ditayangkan dia mahu kami sekeluarga menonton dan memberi komen. Kalau dia bawa watak ceria, itulah diri Fathia yang sebenarnya apabila di luar lokasi," katanya.

Cerita Badriyah lagi, sejak kecil juga Fathia pandai bergaya dan suka bergambar. Dia juga anak dan kakak yang bertanggungjawab serta melindungi mereka.

"Bakat lakonannya mula jadi perhatian ketika dia berlakon dalam iklan Sunsilk pada usianya 21 tahun dan kemudian dia ditawarkan watak dalam drama Nur Kasih arahan Kabir Bhatia. Saya dan suami `melepaskan' dia berlakon dengan syarat dia mesti tamatkan pengajiannya.

"Dalam perkara ini ayahnya tidak melarang dan tidak juga menggalakkan sangat," katanya.

Apabila merelakan diri menjadi anak seni, populariti yang hadir boleh membuatkan yang empunya diri tidak lena tidur dan keluarga turut terkena tempiasnya apatah sebagai ibu yang melahirkannya setiap cerita buruk pasti melukakan hatinya.

"Saya kena terima kerana gosip sudah menjadi asam garam dalam hidup artis dan atas dasar itu juga saya selalu mengingatkannya supaya berhati-hati. Saya sering mendoakan kejayaan dan keselamatannya," katanya.

Menyentuh hubungan Fathia dengan pelakon Aiman Hakim Ridza, menurut Badriyah dia terima siapa saja yang menjadi pilihan anaknya.

"Setiap ibu pasti mahu anak-anaknya hidup bahagia dan siapa saja jodohnya nanti, saya merestuinya," katanya.


Oleh Nor Akmar Samudin
~ Metro



 
Chatroom