Home » » Seminar Bahasa, Sastera Kebudayaan Melayu Ke-6 (SEBAHTERA VI)

Seminar Bahasa, Sastera Kebudayaan Melayu Ke-6 (SEBAHTERA VI)

SEBAHTERA VI di Universiti Malaya 29 Ogos

Seminar Bahasa, Sastera Kebudayaan Melayu Ke-6 (SEBAHTERA VI) akan diadakan di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, pada 29 Ogos ini dan ahli akademik yang berminat membentangkan kertas kerja boleh menghantar abstrak sebelum 15 Jun dan kertas kerja penuh (15 Julai).

Ucaptama pada seminar bertemakan Transformasi Pengajian Melayu: Menyusur Akar, Merungkai Alam itu akan disampaikan oleh bekas Profesor Psikologi Universiti New Brunswick, Kanada, Dr Chok Hiew, yang juga berpengalaman sebagai Presiden Majlis Ahli Psikologi Antarabangsa (2007-2008).

Dr Hiew yang dilahirkan di Pulau Pinang berkhidmat di Universiti New Brunswick selama 30 tahun dalam bidang kesihatan dan trauma psikologi, selain memberikan tumpuan kepada integrasi kesihatan berdasarkan peradaban Timur dengan perubatan moden.

Ucaptama SEBAHTERA VI turut disampaikan Profesor APM UM, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dan Sasterawan Negara (SN) Keenam, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.

Pembentangan kertas kerja berkisar mengenai tema bahasa, linguistik dan linguistik terapan, kesusasteraan seperti sastera bandingan dan kritikan sastera, isu kesenian Melayu membabitkan seni kontemporari, seni bina dan landskap Melayu serta warisan dan sains politik.

SEBAHTERA VI itu membabitkan kerjasama APM dan Pusat Pengajian Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Yuran penyertaan selain peserta UM dan UKM ialah RM300 untuk pembentang; RM100 (pembentang pelajar dan peserta umum) dan RM50 (pelajar). Maklumat lanjut hubungi Mohd Zamir Rusli di talian 03-79677204; e-mel mohdzamir@um.edu.my atau Maryani Ahmad (03-79677209/ranie_azzuri@yahoo.com).


 



 
Chatroom