Home » » Panduan dalam penjagaan emas / barang kemas

Panduan dalam penjagaan emas / barang kemas

Apabila kita meneliti barangan kemas, tentu perkara pertama yang menarik perhatian adalah kilauannya yang bersinar-sinar di bawah cahaya lampu hingga menonjolkan corak dan rekaan menawan.

Selain dijadikan perhiasan diri khususnya ke majlis atau sambutan perayaan, barangan kemas juga satu pelaburan dan harta berharga yang boleh diwariskan kepada anak dan cucu.

Apapun, kilauan emas boleh pudar jika tiada jagaan khusus. Justeru, berikut panduan dalam penjagaan emas supaya ia sentiasa tampil menawan.

* Tidak mendedahkan barangan emas kepada bahan kimia dan berasid.


Ada pelbagai bahan kimia yang boleh merosakkan kilauan emas di sekeliling rumah antaranya bahan peluntur dan klorin.

Bahan kimia ini boleh melemahkan struktur emas serta merosakkan permukaannya, selain menyebabkan barangan kemas terputus jika didedahkan dalam jangka panjang.

Sekiranya mahu berenang di kolam renang yang penuh dengan kandungan klorin, barangan emas perlu dibuka dan disimpan di tempat lebih selamat dan sesuai.

Ketika membersihkan rumah, turut digalakkan membuka barangan emas kerana bahan kimia untuk mencuci pakaian, lantai atau perabot rumah boleh merosakkan emas. Anda juga boleh memakai sarung tangan ketika kerja membersih untuk melindungi barangan emas seperti cincin dan gelang.

* Pastikan semburan minyak wangi tidak terkena barangan kemas.

 

Biarpun minyak wangi tidak merosakkan pakaian atau kulit, ia boleh memudarkan warna emas kerana sifatnya yang beralkohol. Justeru, jangan memakai barangan kemas ketika menyembur minyak wangi atau cuba tumpukan semburan ke bahagian kulit dan elakkan ia mengalir dan terkena barangan emas sama ada pada leher, lengan atau telinga.

* Mencuci barangan kemas secara konsisten

Barangan kemas perlu sentiasa dicuci selalu bagi memastikan kotoran termasuk sel kulit mati tidak melekat padanya. Hantar barangan emas ke kedai emas atau dilakukan sendiri.

Sekiranya mahu ia kelihatan berkilauan seperti baru, proses menggilap juga boleh dilakukan dengan menghantarnya ke kedai emas. Namun perlu diketahui, proses menggilap ini sedikit sebanyak mempengaruhi berat emas kerana permukaannya dikikis sedikit.

* Membuka emas ketika hendak mandi

Jangan memakai barangan kemas ketika mandi kerana produk mandian seperti sabun badan, pencuci muka, syampu ataupun pelembap rambut mungkin mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan warna emas menjadi sedikit pudar apabila sering didedahkan kepada bahan kimia.

Lebih baik menanggalkan barangan perhiasan itu dan hanya dipakai semula selepas semburan minyak wangi.

* Menyediakan kotak simpanan yang sesuai

Barangan emas juga perlu disimpan dengan baik di dalam bekas yang sesuai supaya tidak terdedah kepada persekitaran yang melunturkan kilauannya.

Kotak barangan kemas yang sempurna mempunyai bahagian dalaman yang dibalut dengan kain untuk mengelak barangan emas daripada tercalar.

Anda juga perlu memastikan ketika disimpan, barangan emas tidak terbelit atau berada terlalu hampir sehingga boleh bergeser antara satu sama lain.

* Memeriksa keadaan barangan kemas secara konsisten


Keadaan barangan kemas perlu sentiasa diperiksa terutama pada bahagian cangkuknya yang boleh rosak jika emas dibuka dan dipakai berulang kali.

Sekiranya cangkuk sudah lemah, barangan kemas boleh tercicir tanpa disedari terutama apabila sibuk melakukan urusan.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan (HM)



 
Chatroom