Home » » Perlindungan kewangan pengguna

Perlindungan kewangan pengguna

Setiap pengguna memerlukan ketenangan fikiran apabila mengetahui bahawa simpanan mereka di bank adalah selamat. Perlindungan insurans deposit memberikan jaminan tersebut. Di samping itu, pengguna kini boleh berasa lega mengetahui bahawa manfaat takaful dan insurans mereka juga dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). PIDM merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 untuk melindungi penyimpan yang mempunyai deposit di bank serta pemilik sijil takaful dan polisi insurans sekiranya berlaku kegagalan institusi ahli.

Perlindungan bagi insurans deposit

PIDM melindungi simpanan deposit anda sehingga RM250,000 bagi setiap penyimpan di setiap bank ahli. Deposit yang layak dilindungi oleh PIDM adalah akaun simpanan, akaun semasa, deposit tetap, deposit mata wang asing, serta akaun perniagaan milikan tunggal, perkongsian, praktik profesional dan syarikat. Selain itu, akaun deposit konvensional dan Islam juga dilindungi secara berasingan sehingga RM250,000 bagi setiap penyimpan di setiap bank ahli. Had RM250,000 ini termasuk amaun prinsipal deposit dan faedah/pulangan.

Akaun yang dilindungi secara berasingan

Akaun Bersama: Akaun bersama mendapat perlindungan insurans deposit secara berasingan, asalkan rekod bank ahli menyenaraikan nama pemegang-pemegang akaun bersama. Bagaimanapun, perlindungan maksimum bagi akaun bersama ialah RM250,000 secara kolektif dan bukan RM250,000 bagi setiap pemegang akaun bersama.

Akaun Amanah: Bagi akaun amanah, benefisiari boleh mendapat perlindungan secara berasingan sekiranya pemegang amanah mengemukakan kepentingan setiap benefisiari dan amaun yang tertakluk bagi setiap benefisiari dalam rekod bank ahli. Setiap benefisiari dilindungi secara berasingan sehingga RM250,000 daripada deposit diinsuranskan bagi jenis akaun mereka yang lain.

Akaun Perniagaan Milikan Tunggal, Perkongsian atau Praktik Profesional dan Syarikat: Akaunakaun ini juga dilindungi secara berasingan sehingga RM250,000.

Jenis produk yang TIDAK layak mendapat perlindungan insurans deposit seperti deposit yang tidak boleh dibayar di Malaysia, instrumen deposit boleh niaga, deposit pembawa lain, amanah saham, stok dan saham serta produk atau akaun pelaburan berkaitan emas.

Bank-bank ahli PIDM ialah semua bank perdagangan berlesen di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan semua bank Islam berlesen di bawah Akta Bank Islam 1983, termasuk bank-bank asing yang beroperasi di Malaysia. Keahlian adalah wajib mengikut peruntukan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM). Sila perhatikan tanda keahlian ini di semua pintu masuk cawangan bank ahli anda.

Sekiranya anda mempunyai simpanan deposit dalam cawangan berbeza bagi sesebuah bank ahli, amaun yang layak dilindungi akan dijumlahkan bagi tujuan perlindungan insurans deposit.

Tempat tinggal atau kewarganegaraan anda tidak menjejaskan perlindungan insurans deposit. Deposit yang disimpan di bank ahli PIDM akan dilindungi sehingga RM250,000 bagi setiap penyimpan di setiap bank ahli.

Sekiranya berlaku kegagalan sesebuah bank ahli, anda tidak perlu mengemukakan sebarang tuntutan. PIDM akan membuat pengumuman untuk memaklumkan mengenai pembayaran balik deposit yang dilindungi. Pembayaran balik deposit akan dibuat berdasarkan rekod penyimpan yang diperoleh daripada bank ahli.

Sumber: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)



 
Chatroom