Home » » Bertengkar cara baik

Bertengkar cara baik

Pelbagai kajian oleh penyelidik telah membuktikan perhubungan yang renggang akan memberi impak negatif kepada kesihatan kita. Perkahwinan yang buruk juga didapati lebih cenderung menjadi punca wanita diserang sakit jantung dan masalah depresi.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Perselisihan faham adalah lumrah dalam hidup berpasangan. Cuma, ia mungkin perlu dilakukan dengan lebih baik.

Sebabnya, satu kajian baru ke atas pasangan yang telah berkahwin mendapati penggunaan perkataan yang betul sewaktu bertengkar boleh memberi impak yang berbeza.

Penggunaan bahasa bersifat analitikal seperti 'fikir', 'kerana' atau 'faham' sewaktu sesuatu perdebatan tercetus mampu mengurangkan tekanan dalam sesi debat itu.

Kajian itu disiarkan dalam edisi jurnal Health Psychology terbaru. Ia mendedahkan, secara umumnya bahan kimia cytokine dibebaskan oleh tubuh sepanjang tempoh tertekan dalam perdebatan. Cytokine mampu mengurangkan tahap imunisasi seseorang dan mendedahkan individu kepada risiko penyakit lain.

Seorang profesor madya dalam bidang kesihatan tingkah laku bio, Jennifer Graham berkata, seramai 42 pasangan heteroseksual telah terlibat dalam kajian perbincangan tersebut. Tahap cytokine mereka dinilai sebelum dan selepas perbincangan itu berlangsung.

Kemudian, setiap pasangan diminta mengadakan perdebatan hangat tentang isu-isu penting. Misalnya, isu benci tindakan ibu pasangan yang selalu datang ke rumah dan merasakan pasangan terlalu mengawal wang.

Sepanjang sesi yang berlangsung selama 30 minit itu, para penyelidik menggunakan satu perisian bahasa untuk mengira bilangan perkataan bersifat 'kognitif' yang digunakan oleh setiap peserta. Mereka mendapati dalam sesi perbincangan yang lebih hangat, penggunaan bahasa bersifat analitikal yang lebih banyak tidak meningkatkan kadar bahan kimia itu dalam tubuh.

Pengerusi Jabatan Psikologi dari Universiti Texas-Austin, James W. Pennebaker yang mengkaji peranan bahasa dalam sesebuah perhubungan berkata, perkataan kognitif sememangnya sangat hebat.

"Sebabnya, penggunaan perkataan-perkataan seperti ini bermakna seseorang sedang mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah dan menghargai perspektif pasangan masing-masing," katanya.

Kajian mendapati kepetahan seseorang wanita dilihat sebagai satu kaedah mengurangkan perasaan tertekan seseorang lelaki, selain membantunya 'melonggarkan' sedikit pandangan yang kompleks.

Wanita biasanya menghabiskan lebih banyak masa untuk menganalisis sesuatu perhubungan dan meluahkan perasaan mereka secara tidak langsung. Sekurang-kurangnya itu bermakna mereka mampu menyelesaikan masalah sendiri menerusi pelbagai sudut pandangan.

Oleh itu, golongan suami menerima manfaat daripada kata-kata yang keluar dari mulut si isteri.

Bagaimanapun, kata-kata baik yang keluar dari mulut kaum lelaki tidak begitu memberi kesan ke atas tahap keseimbangan cytokine golongan Hawa.

Mungkin atas sebab itulah sumbangan kata-kata kognitif seseorang lelaki tidak berupaya memberi tindak balas kepada tahap cytokine seseorang wanita.

Seorang profesor linguistik dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat, Deborah Tannen pula berkata, kebanyakan wanita lebih mementingkan perbincangan berbanding jenis bahasa yang digunakan. Penulis buku You Just Don't Understand: Women and Men in Conversation itu memberitahu, wanita bangga jika lelaki berusaha menyelesaikan sesuatu masalah.

Tambahnya: "Sudah tentu pemilihan perkataan-perkataan yang konstruktif penting tetapi ia tidak menjamin pasangan itu boleh mendapat jalan penyelesaian kepada masalah mereka." - MSN Lifestyle



0 Komen:

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom