Home » » Kajian terhadap bakteria baik LcS

Kajian terhadap bakteria baik LcS

Kajian terhadap bakteria baik LcS

Dalam usus manusia, berbilion mikroflora atau bakteria dari lebih 300 spesies bertindak sebagai penyumbang kepada keseluruhan kesihatan mengikut jumlah fungsi fisiologikalnya.

Antara bakteria yang ada di dalam usus ialah Lactobacillus sp., Bifidobacterium sp., Staphylococcus aureus, Clostridium perfringens, Bacteroides sp. dan juga Escherichia coli (E.coli).

Bakteria-bakteria di dalam usus ini ada yang memberi kebaikan seperti Lactobacillus dan Bifidobacterium tetapi ada yang bersifat perosak seperti Clostridium perfringens, Staphylococcus aureus dan E.coli (toksid).

Menurut sejarah, Lactobacillus telah ditemui oleh seorang doktor perubatan dari Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Minoru Shirota pada 1933. Bakteria ini mempunyai hubungan simbiosis dengan usus dan dapat memberi kebaikan kepada kesihatan manusia. Dalam hal ini bakteria dan manusia mempunyai saling kebergantungan antara satu sama lain.

Bakteria yang dinamakan Lactobacillus casei Shirota (LcS) itu dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak di dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya.

LcS mempunyai tiga kebaikan iaitu meningkatkan usus kepada aktiviti lebih sihat, menghalang bakteria perosak daripada berkembang di dalam usus serta membantu meningkatkan aktiviti semula jadi dan imunisasi badan.

Sekali lagi LcS menunjukkan 'sikap baik' sebagai bakteria apabila baru-baru ini, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo di bawah Kajian Kumpulan ke Atas Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara mendapati ia boleh mengurangkan risiko kanser payu dara.



Kajian itu mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi LcS semenjak usia muda boleh mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

Menurut penyelidik Bahagian Pembedahan, Universiti Kyoto, Dr. Masakazu Toi dan penyelidik Bahagian Biostatistik, Universiti Tokyo, Dr. Yasuo Ohashi semasa membentangkan kertas kerja di Simposium Kanser Payu Dara di SanAntonio, Texas, Amerika Syarikat Disember lalu menyatakan bahawa kajian itu mengkaji hubungkait antara pengambilan minuman yang mengandungi LcS dan makanan yang mengandungi soya dengan penyebab kanser payu dara.

"Dalam kajian itu, seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

"Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

"Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu berbanding dengan mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu,'' kata Dr. Mazakazu.

Sementara itu, menurut Dr. Yasuo, sebanyak 40 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang menyatakan mereka tidak makan banyak produk soya tetapi minum Yakult empat kali atau lebih seminggu berbanding dengan mereka yang minum tiga kali atau kurang seminggu.

"Sebelum ini terdapat kajian yang mendapati pengambilan unsur soya turut memberi pengaruh dalam pengurangan risiko kanser payu dara,'' katanya.

"Penyumbang kepada pengurangan risiko kanser payu dara itu adalah disebabkan oleh pengaruh LcS kepada mikroflora yang terdapat pada usus yang sekali gus menambahbaikan metabolisme pada unsur soya,'' katanya.

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom