Home » » Sinopsis Filem 2 Hati 1 Jiwa

Sinopsis Filem 2 Hati 1 Jiwa

Sinopsis Filem 2 Hati 1 Jiwa



Filem 2 Hati 1 Jiwa terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB), dijayakan oleh Fouziah Gous dan Yasmin Hani, Ziela Jalil, Mustapha Kamal dan Fahrin Ahmad menyelitkan unsur kekeluargaan dan komedi agar jalan ceritanya seiring dengan mesej yang ingin disampaikan.

Ringkas mengenai filem tersebut, ia mengisahkan kehidupan sepasang kembar siam yang hidup bercantum selama hampir 21 tahun.

Menginjak dewasa membuatkan pasangan tersebut mengambil keputusan nekad untuk berpisah.

Segalanya bermula apabila kedua-duanya merasakan kehidupan mereka sudah berubah sejak memasuki universiti.

Lana yang dibintangi oleh Fouziah Gous mengambil jurusan muzik manakala kembarnya Lina, lakonan Yasmin Hani pula mengambil jurusan komunikasi.

Ingin menikmati kehidupan normal seperti insan lain, Lana dan Lina bertemu pakar bedah walaupun tidak dipersetujui oleh ibu bapa mereka.

Konflik bertambah apabila kedua-duanya meminati doktor muda yang bertanggungjawab ke atas operasi pembedahan mereka.

Bagi A. Razak, pendedahan terhadap pasangan kembar jarang sekali dimuatkan dalam sesebuah filem.

Menyedari hakikat itu, beliau mengambil kisah tersebut untuk mengetengahkan isu kembar siam sebagai satu paparan menarik kepada penggemar filem tanah air yang dirasakannya suatu kelainan sempena tahun baru ini.

Selain menampilkan barisan pelakon hebat, antara tarikan lain dalam filem ini ialah kesan solekan yang menelan belanja sebanyak RM150,000.

Juru solek profesional yang bertanggungjawab merealisasikan 'kembar siam' itu diterbangkan dari Bangkok, Thailand dan merupakan pakar yang sama digunakan dalam filem Duyung.

Tiga jam diperlukan bagi menyempurnakan kesan solekan yang diinginkan sebelum memulakan penggambaran.

Pelbagai kesukaran turut ditempuhi oleh pelakon utamanya, Fouziah dan Yasmin apabila mereka terpaksa bercantum dan bersama ke mana-mana sahaja sepanjang tempoh penggambaran.

Ini merupakan cabaran besar buat mereka dalam menghayati watak sebagai kembar siam.

Filem yang diterajui seramai 53 orang krew itu menjalani penggambaran selama 25 hari di sekitar Shah Alam, Putrajaya, Sunway Lagoon dan Lembah Klang.

Selain itu, perancangan besar A. Razak adalah untuk membawa filem 2 Hati 1 Jiwa ini ke luar negara sekaligus mengenengahkan isu semasa yg bercorak kejiwaan.

Beliau percaya dengan teknik penceritaan yang berbeza dan menarik, filem ini mungkin membuka ruang bagi filem komedi tempatan untuk bersaing dengan filem Asia lain kerana ia jarang dijadikan isu dalam pembikinan filem khususnya di negara ini.

Beliau turut berharap dengan adanya filem seperti itu, dapat membuka mata masyarakat supaya lebih prihatin dan dapat mengurangkan beban golongan orang kurang upaya serta dapat mencerminkan keperibadian individu masyarakat tersebut.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom