INDUSTRI kecantikan berkembang maju dari semasa ke semasa. Penggunaan produk kecantikan sememangnya tidak akan berkubur sebaliknya akan terus maju dan berkembang kerana fitrah manusia yang sentiasa ingin tampak cantik dan muda.
Senario industri kecantikan tempatan masih belum menampakkan impak yang boleh dibanggakan walaupun hakikatnya ada puluhan jenama dihasilkan mempunyai mutu yang baik dan boleh dikatakan setanding jenama antarabangsa.
Kekurangan promosi, selain hanya tumpuan untuk pasaran kecil antara faktor dikenal pasti menjadi punca jenama produk kecantikan tempatan kurang menyerlah walaupun ramai pengusaha berjaya menjadi kaya-raya berikutan jualan memberangsangkan terutama di kawasan luar bandar.
Kebanyakannya hanya dijual di kedai jamu atau pengedar, bukan di farmasi utama yang diketahui mengutamakan standard pengilangan ketat atau mutu produk. Kesimpulannya masih belum ada yang boleh membina jenama kukuh di persada dunia kecantikan global.
Sebaliknya, begitu banyak produk asing berjaya menembusi pasaran Asia termasuk Malaysia. Jenama seperti SK II, Clinique, Shiseido, Estee Lauder, Dior dan Chanel mampu berdiri megah di setiap pusat beli-belah utama seluruh negara dan sudah meniti di bibir segenap lapisan masyarakat tempatan.
Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jenama dari Korea Selatan begitu ampuh menjajah pasaran Asia, malah di negara ini jenama dari negara itu berjaya bertapa kukuh walau baru diperkenalkan.
Cuba kita lihat, di manakah letaknya jenama kecantikan tempatan ketika ini? Bagaimana corak pemasaran barangan tempatan? Siapakah sasaran mereka? Dan, apakah jenama tempatan yang menjadi kegilaan pada masa kini yang sudah berjaya ke pasaran dunia?
Kerajaan sanggup mengeluarkan peruntukan bagi menggalakkan anak tempatan mengeluarkan produk mereka di samping menaikkan nama Malaysia dalam industri kecantikan, tetapi tidak ramai yang mengambil kesempatan untuk meningkatkan mutu produk mahupun promosi jenama mereka.
Justeru, industri kecantikan tempatan disaran meningkatkan mutu produk dihasilkan selain menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk digunakan. Strategi pemasaran begitu penting walaupun terpaksa mengeluarkan belanja besar seperti yang dilakukan pengeluar jenama asing.
Mungkin 2010, pengusaha kecantikan di negara ini boleh mengambil peluang dengan meningkatkan promosi dan publisiti. Walaupun kosnya tinggi, publisiti menerusi media cetak mahupun elektronik di samping perancangan mengadakan promosi memberi pulangan berlipat kali ganda.
Selepas berjaya meyakinkan masyarakat dengan produk tempatan, mereka perlu lebih berani membawa produk ke peringkat lebih tinggi dengan memperkenalkan jenama itu menerusi promosi dan publisiti di luar negara. Walaupun menelan kos besar, boleh dikatakan usaha itu sedikit sebanyak dapat memperkenalkan jenama ke peringkat global. Aspek pembungkusan juga tidak boleh dipandang remeh. Ada pelanggan yang bukan saja tertarik dengan kandungan, tetapi juga pakej luaran yang dilihat kontemporari dan menarik.
Tingkatkan penyelidikan
Antara kelemahan lain ialah jenama tempatan kurang mendedahkan kajian saintifik, teknologi dan kaedah menghasilkan produk kepada masyarakat seperti yang dilakukan jenama produk luar. Pengeluar jenama produk asing itu juga tidak kisah berkongsi maklumat dan kajian saintifik mereka supaya pengguna berasa yakin dengan kaedah teknologi yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu produk.
Contohnya, produk dari Jepun yang sesuai dengan kulit orang Asia, mendapat sambutan di pasaran Malaysia kerana keberkesanannya. Promosi mengikut strategi yang tepat, malah sanggup mengeluarkan belanja besar demi memperkenalkan produk mereka ke serata dunia. Malah kini, produk kecantikan kulit itu sudah berjaya mencapai sasarannya.
Tahun ini saja beberapa pameran kecantikan diadakan. Antaranya, pameran CosmoBeaute 2009 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Julai lalu. Pameran berkenaan memberi ruang kepada pengamal kecantikan memasar di samping memperkenalkan jenama mereka ke peringkat lebih tinggi.
Pameran berkenaan disertai lebih 18 negara bagi memperkenalkan produk mereka termasuk dari Korea, Amerika Syarikat, Perancis, Taiwan, Sepanyol, Itali, Jerman, Jepun, Kanada, Taiwan dan Hong Kong. Pameran sebagai satu peluang terbaik mengembang dan meluaskan lagi rangkaian pasaran mereka.
Selain itu, turut diadakan Ekspo Pengguna Dunia 2009 anjuran Asia World Expo Sdn Bhd (Asia World Expo) yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Jalil pada pertengahan tahun ini dengan membawa pelbagai jenama termasuk produk dan alat berkaitan kecantikan.
Selain itu, beberapa jenama antarabangsa turut mengeluarkan belanja lebih dengan menganjurkan program pertandingan solekan yang diharap dapat menarik pengguna baru.
Sejajar dengan hasrat untuk melengkapkan ilmu pengetahuan kepada pelanggan, ia perlu bermula daripada penjualnya. Jenama Clinique meneruskan kelangsungan nama baik jenama produk kecantikan terkemuka itu melalui Program Pentauliahan Perunding Kecantikan Clinique yang dipertanggungjawabkan membantu pelanggan mendapatkan khidmat nasihat terbaik mengenai pemilihan produk.
Industri kecantikan berkembang maju atas sokongan pengguna. Pengguna pula mempunyai matlamat sendiri iaitu menyerlahkan penampilan diri menerusi kecantikan yang didapati selepas penggunaan rejim produk kecantikan.
Oleh itu, pengeluar produk kecantikan tempatan harus berusaha untuk keluar daripada kepompong kecil ketika ini supaya keuntungan bukan sekadar di negara, tetapi juga di luar negara.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan